Thursday, 30 August 2012

55 Tahun Merdeka


MENSYUKURI NIKMAT,
MENGINSAFI AMANAT.
(Dr Siddiq Fadzil)



Bagi orang yang memahami makna dan harga kemerdekaan, 3l Ogos adalah tarikh istimewa. Justeru, pada hari itulah, lima puluh tahun yang  lalu (1957) tercapainya cita- cita yang telah diperjuangkan turun-temurun sejak entah berapa keturunan. Sejarah merdeka bukan baru bermula pada pertengahan abad 20. Perjuangan heroik melawan penjajah sudah bermula seawal abad ke-16M dengan perang Melaka-Portugis. Sejak itulah darah dan air mata perjuangan tidak pernah berhenti mengalir. Tidak siapa berdaya menaksir berapa kawah darah yang tumpah dan berapa telaga air mata derita yang mengalir demi mempertahankan atau mendapatkan kemerdekaan. Harga kemerdekaan memang mahal tak ternilai, dan kerana itu harus dihargai secara yang benar-benar bermakna. Bagi umat beragama kemerdekaan adalah nikmat kurnia Tuhan lang wajib disyukuri dengan cara yang diredhai dan disenangi Penganugerahnya. Mensyukuri nikmat sebagaimana yang diajar oleh agama ialah menggunakannva dengan cara yang benar, dan tidak menyalahgunakannya. Dalam konteks nikmat kemerdekaan ia harus disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan setulennya. Mudah-mudahan roh para pejuang yang gugur, bahagia dalam peristirehatan apabila pengorbanan dan perjuangan mereka menghasilkan umat merdeka yang benar-benar merdeka. Dengan semangat syukur nikmat sempena berlalunya setengah abad kemerdekaan, kita bermuhasabah, menilai diri, sudah sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa telah menepati makna merdeka.

Islam dan Makna Merdeka

Islam pada hakikatnya adalah agama pembebasan. Mesej liberatif-emansipatif agama Ilahi ini jelas terungkap dalam misi utamanya ikhraju ‘n-nasi mina ‘z-zulumat ila ‘nur. Dengan kata lain, risalah Islamiah dapat dirumuskan sebagai misi pembebasan dan pencerahan  (tahririy-tanwiriy).  Kerana itu kehadiran Islam dan gerakan pendakwahannya di mana-mana selalu dirasakan sebagai a liberating and enlightening force. Demikianlah citra agama ini di mata kaum peribumi rantau Melayu ketika berlakunya transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan dalam gerakan pengislaman yang memesat pada abad ke-13-16M. Ternyata pembebasan dalam konteks misi keislaman mencakupi bidang yang cukup luas, meliputi pembebasan daripada segala bentuk pembelengguan termasuk kemerdekaan daripada penjajahan. Memang al-zulumat adalah kata yang jami’ dan inklusif meliputi segala rupa bencana kemanusiaan: kesesatan, kebingungan, kejahilan, kebodohan, kebekuan, kemunduran, kebejatan, kegilaan, kezaliman, kecurangan dan lain-lain sejenisnya. Umat Islam harus dibebaskan dan dimerdekakan daripada segala bencana tersebut. Pembebasan (tahrir) dalam konteks misi pengislaman selamanya tidak terpisah daripada pencerahan (tanwir). Apalah erti bebas daripada suatu kegelapan, jika kemudiannya dijerumuskan ke dalam kegelapan yang lain.

Tuesday, 14 August 2012

Ulasan Buku


Yusuf al-Qaradhawi Dan Kebangkitan Rakyat
Oleh: Amidi Abd Manan, Presiden ABIM



Membaca  buku Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi yang  baru diterjemahkan serta diterbitkan baru-baru ini, menggamit kenangan ketika memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dahulu. Peristiwa berlaku sekitar tahun 1996, sebagai pemangku presiden, saya mewakili PKPIM, berbuka puasa dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang ketika itu Menterinya adalah Tan Sri Muhyidin Yasin.

Ketika  dalam majlis berkenaan, Sheikh Yusof al-Qaradhawi  telah ditanyakan mengenai jurang generasi (generation gap), antara yang muda dan yang tua dalam sebuah gerakan Islam. Beliau menjawab kedua-dua generasi ini amat penting dalam memastikan kejayaan sebuah perjuangan. Beliau mengungkapkan "hamasatu al-syabab wa hikmatu al-syuyukh" amat diperlukan dalam satu formula perjuangan yang ideal. Ia adalah gabungan yang diperlukan bagi menghasilkan kejayaan yang dinanti ummah.

Thursday, 2 August 2012

Tazkirah Ramadhan


KEKUATAN TRANSFORMATIF 
SEBUAH KITAB SUCI

Oleh: Dr Siddiq Fadzil


Ramadhan dengan segala kelainan dan kepelbagaian amal intensifnya telah mencetuskan suatu momentum perubahan. Momentum ini seharusnya dimanfaatkan untuk merealisasikan self-improvement yang berterusan. Untuk itu kita memerlukan kekuatan motivasi yang berkelanjutan. Andainya memang itu yang kita cari, satu-satunya sumber pencetus perubahan bertenaga mukjizat, tidak lain adalah Kitabu 'Llah. Sebagai mukjizat agung al-Qu'ran memang cukup menakjubkan. Kemukjizatannya meliputi pelbagai dimensi termasuk dimensi saintifik, kebahasaan dan kesasteraan. Tetapi yang lebih penting daripada semuanya ialah kekuatan daya rubahnya, kekuatan transformatif atau qudrah taghyiriyyahnya. Khalayak pembaca yang serius akan terkesan dengan ayat-ayatnya dan seterusnya mengalami perubahan yang mendasar pada dirinya, dan dari segala seginya - worldviewnya, sistem nilainya, pemikirannya dan seluruh watak serta perilakunya. Jelmaan paling sempurna transformasi Qur'ani adalah Nabi s.'a.w. sendiri, Muhammad penyandang gelar al-Amin yang mendapat pengiktirafan dari langit sebagai berperibadi khuluqin 'azim (pekerti agung), peribadi terjemahan nilai-nilai Qur'ani (kana khuluquhu ‘l-Qur’an). Kekuatan impak dan daya rubah al-Qur'an diberikan pemerian secara simbolik dalam surah al-Hashr:21. 

Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an kepada sebuah gunung. Pasti kamu akan melihatnya terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir.

Friday, 20 July 2012

Mujahadah Ramadhan


MUJAHADAH RAMADHAN: PENJANAAN DAYA JUANG
Dr. Siddiq Fadzil


Ramadhan dengan segala amal penghayatannya memberikan sejenis pengalaman rohaniah yang unik dan istimewa. Kita semacam dalam keasyikan menjalani pelbagai amal yang disebut ihya' Ramadhan, sehingga peralihan waktu dari hari ke hari terasa begitu cepat. Andainya Ramadhan itu suatu deraan, tentu perjalanan waktunya terasa lambat dan panjang. Mungkin itulah yang namanya kelazatan ibadah atau ladhdhatu 'l-`ibadah. Mudah-mudahan kita dapat menikmati tahap kelazatan yang setinggi-tingginya.

Selain itu, kita juga dapat merasakan bangkitnya motivasi dari pedalaman hati nurani untuk melakukan self-improvement, meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai-nilai unggul yang terumus dalam istilah inklusif taqwa. Memang sudah selayaknya bulan ini disebut madrasatu Ramadan, persekolahan Ramadhan yang intensif, padat dan terfokus pada komponen-komponen utama pendidikan nabawi: tilawah, tazkiyah dan ta`lim (3T).

Sungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
(Ali-‘Imran: 164)

Wednesday, 4 July 2012

Syarahan Pengantar Buku Islam & Melayu oleh Dr Siddiq Fadzil



TEKS SYARAHAN PENGANTAR
PELANCARAN DAN DISKUSI BUKU
MELAYU DAN ISLAM: MARTABAT UMAT DAN DAULAT RAKYAT
(Hotel De Palma, Ampang, 25 Jun 2012, 8.45mlm)

Kami dahului dengan pernyataan tahmid kesyukuran  al-hamdu li'Llah  dan rasa terharu atas sambutan terhadap buku Melayu dan Islam:  Martabat Umat dan Daulat Rakyat.  Di tengah suasana seperti ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa takut-takut dan malu-malu,  kerana ketika mengerjakan buku ini,  saya tidak membayangkan sambutan bersemangat begini.  Tidak ada yang luar biasa dalam proses penerbitannya.  Bermula dengan pertanyaan teman-teman tentang nasib  tulisan-tulisan saya yang terbiar dan berserakan,  saya terdorong mengumpul,  memilih dan mengeditnya untuk diterbitkan dalam bentuk sebuah buku yang seadanya dan  sejadi-jadinya.    Andainya saya tahu bahawa buku ini akan diberi perhatian  sebegini rupa  -   dilancarkan, dibedah dan didiskusikan    -     mungkin saya tidak akan berani menerbitkannya. 

Bagaimanapun,  buku ini telah telanjur terbit dan kerana itu ia harus siap untuk ditanggapi oleh khalayak pembacanya.  Mudah-mudahan penulisnya dikurniakan ketahanan ruhaniah dalam menghadapi  segala kemungkinan  --  dukungan dan kritikan,  tidak lupa diri kerana dukungan,  dan tidak berkecil hati kerana kritikan.  Terlepas dari soal setuju atau tidak dengan pemikiran  dalam buku ini,  sebagai penulis saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh khalayak yang sudi memberikan perhatian kepada buku ini. 

Saturday, 30 June 2012

Ulasan Buku




ULASAN BUKU 
TAJUK : Islam dan Melayu : Martabat Umat dan Daulat Rakyat
PENERBIT: Akademi Kajian Ketamadun
URUS CETAK: Aras Mega Sdn Bhd.
KARYA:  DATO DR USTAZ SIDDDIQ FADZIL (USF)
oleh Ibnu  Alishah Ahmadshah

Dalam kata pendahluannya, secara jelas pengarangnya, Dato’ Dr Siddiq Fadzil (USF)  menyatakan bahawa,”buku ini bukanlah sebuah himpunan makalah semata-mata , tetapi semuanya terpadu dalam satu tema : Islam dan Melayu. Pengangkatan tema ini dilatari oleh keresahan melihat kenyataan bahawa setelah  lebih 50 tahun merdeka, Melayu terus lemah. Persoalan yang berbangkit ialah bagaimana keadaan malang ini sampai terjadi? Mungkin ada yang tidak beres  dalam proses pemerkasaan  Melayu sepanjang dekad-dekad yang dilalui ( hlm.xi).

Malahan dengan jelas, pengarangnya meragui pelbagai gagasan besar yang cuba dilaksanakan di dalam mengangkat martabat Melayu ke persada kelas pertama.Semasa  beliau meluahkan rasa kecewanya  di dalam Bab 1 , buku ini dengan judul Menatap Wajah: Citra Melayu Dalam Sejarah,  dengan ungkapan ,”gagasan-gagasan besar tersebut tidak dapat menghasilkan perubahan watak bangsa dan sudahnya sirna dalam kemelut politik yang menggerahanakan ketokohan pengasasnya” (hlm 5). Malahan kadang-kadang usaha memartabatkan Melayu sekadar ,”tidak merakyat dan gagal membawa high impact baik dari segi pembinaan watak bangsa mahupun dari segi pembinaan citra Islami kepimpinan politik,dan akhirnya menemui jalan mati” (hlm. 6).