Saturday, 30 June 2012

Ulasan Buku




ULASAN BUKU 
TAJUK : Islam dan Melayu : Martabat Umat dan Daulat Rakyat
PENERBIT: Akademi Kajian Ketamadun
URUS CETAK: Aras Mega Sdn Bhd.
KARYA:  DATO DR USTAZ SIDDDIQ FADZIL (USF)
oleh Ibnu  Alishah Ahmadshah

Dalam kata pendahluannya, secara jelas pengarangnya, Dato’ Dr Siddiq Fadzil (USF)  menyatakan bahawa,”buku ini bukanlah sebuah himpunan makalah semata-mata , tetapi semuanya terpadu dalam satu tema : Islam dan Melayu. Pengangkatan tema ini dilatari oleh keresahan melihat kenyataan bahawa setelah  lebih 50 tahun merdeka, Melayu terus lemah. Persoalan yang berbangkit ialah bagaimana keadaan malang ini sampai terjadi? Mungkin ada yang tidak beres  dalam proses pemerkasaan  Melayu sepanjang dekad-dekad yang dilalui ( hlm.xi).

Malahan dengan jelas, pengarangnya meragui pelbagai gagasan besar yang cuba dilaksanakan di dalam mengangkat martabat Melayu ke persada kelas pertama.Semasa  beliau meluahkan rasa kecewanya  di dalam Bab 1 , buku ini dengan judul Menatap Wajah: Citra Melayu Dalam Sejarah,  dengan ungkapan ,”gagasan-gagasan besar tersebut tidak dapat menghasilkan perubahan watak bangsa dan sudahnya sirna dalam kemelut politik yang menggerahanakan ketokohan pengasasnya” (hlm 5). Malahan kadang-kadang usaha memartabatkan Melayu sekadar ,”tidak merakyat dan gagal membawa high impact baik dari segi pembinaan watak bangsa mahupun dari segi pembinaan citra Islami kepimpinan politik,dan akhirnya menemui jalan mati” (hlm. 6).


Perancangan yang gagal menanggapi dan menterjemahkan  citra Islami membawa bencana turun temurun umat Melayu dalam lingkaran kebejatan hidup dengan pelbagai persoalan yang tidak berkesudahan. Buktinya wujud sekelompok pengurus dan pemimpin yang terpukau dengan citra Barat berulangkali mencuba pelbagai pendekatan dan strategi dan  kaedah  berpaksi  individualisme, materialisme dan rasionalisme  akhirnya kecundang  sebagaimana disebut Syyid Qutb membawa kepada kehancuran insan. Kerosakan insan dicernakan dengan pelbagai petaka baik dalam bidang sosial, pendidikan, politik, kepimpinan , ekonomi  mahpun kehidupan berkeluarga.

Malahan pengarang dalam bab berjudul.”Pantang Melayu Diaibkan : Bangsa Bermaruah Tidak Rela Dihina” memaparkan kehilangan maruah dan kehormatan Melayu  kerana kehilangan disiplin  dalaman  yang paling berkesan sehingga merutinkan perbuatan hina dan keji  seperti rasuah, penipuan dan fitnah  dalam kehidupan tanpa rasa malu dan insaf. Persoalan yang ditimbulkan oleh pengarang adakah Melayu mahu terus dengan sifat al-kibr, yang dimaksudkan oleh Dr Wahbah al-Zuhayliy  sebagai sikap angkuh, tidak menghormati hak orang lain dan tidak tahu hakikat diri. Adakah Melayu tidak mahu sifat  al-izzah  yang dihuraikan oleh Sayyid Qutb sebagai  rasa mulia ,unggul, perkasa dan mampu menundukkan runtutan nafsu dan melawan kehinaan (hlm 23).

Apakah Melayu tidak ada jalan pulang dengan penuh kehormatan dan kemuliaan?  Sampai bilakah Melayu terus hanyut dengan idea, pemikiran dan jalan hidup yang menyongsong kebenaran dan keadilan. Tidak puas-puaskah Melayu bereksperimen dengan retorika khurafat Barat atau kejahiliahan tradisi  yang tidak ke mana-mana, kecuali terus menjadi boneka, pak turut dan pencacai  yang kehilangan harga diri dan maruah hidup. Pun begitu, di kalangan pemikir dan cendikiawan pula dilanda sindrom kemandulan intelektual yang parah, kerana kehilangan neraca bimbingan Ilahi semata-mata terpukau silauan  ghanimah , kuasa dan habuah dunia yang fatmorgana (Dr Yusuf al Qaradhawy, Al Hururiyyat, 2010).

Justru itu, UAF mengungkapkan kembali  peringatan Allah  dalam Surah Fatir:10 yang bermaksud, “Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya. KepadaNyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang salih mengangkatnya. Dan orang yang merencanakan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) bagi mereka azab yang keras. Dan rencana jahat mereka (sudahnya) akan hancur”.  Buku melakarkan kembali  harapan segar dan bugar  kepada umat Melayu untuk bangkit dari lena (diingatkan oleh Allah dalam surah Al Muzzamil) , sementara menunggu tidur yang panjang di alam kubur. Sejarah membuktikan bagaimana dengan kata-kata Umar  ibn al-Kahattab,”Kita dahulu adalah sehina-hina manusia, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam , andainya kita cuba mencari kemuliaan dari selain Islam, nescahaya Allah akan menghina kita”. Di sinilah  pengarang menegaskan semula perlunya umat Melayu  kembali kepada hayatan tayibah, idealisme kualiti  hidup berpaksikan  iman dan amal salih. Tidak ada yang utama dan diutamakan dalam kehidupan seorang insan kecuali ugamanya dan barulah diikuti bangsanya. Ketaksuban kepada bangsa terbukti gagal mengangkat umat Melayu dan oleh itu “bangsa harus kembali mengakar pada tradisi Islamnya, di samping menyesuaikan diri seperlunya  dengan realiti kini dan nanti”.

Menelusuri dari bab 1 hingga bab 13,  mengingatkan pengulas pada karya-karya USF sebelum ini yang sarat dengan idea, pemikiran dan alternatif  pencerahan  selaras dengan misi dan visi dakwahnya yang dimana beliau pernah memimpin PKPIM, ABIM dan kini WADAH. Gagasan besar  haluan perjuangan  dan siri-siri ucapan  yang pernah diungkapnya ketika Muktamar ABIM dulu, terus menjadi landmark segar acuan unik buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Sesuai dengan makna al Quran ,”mengeluarkan kamu dari kegalapan kepada cahaya” (al-Hadid:90),sekurang-kurangnya buku ini cuba memaknai banyak isu secara tuntas untuk diperdebatkan , dimanfaatkan dan diamalkan. Seolah-olahnya pengarang cuba menyeru dan merayu  kepada pembaca, “ inilah Islam, yang cukup istimewa dan utama dalam memperkasakan Melayu supaya keluar dari kemelut kebejatan yang cukup hina-dina. Marilah kembali kepada Islam yang menyeluruh dan lengkap. Marilah saudara-saudaraku umat Melayu”.

Selaps itu USF yang juga Presiden  Kolej Dar al-Hikmah,Kajang  dengan penuh semangat menghuraikan  pelbagai aspek pemerkasaan bangsa dari perspektif Qurani  dalam beberapa bab, termasuk bab yang berjodol Memaknai Kemerdekaan: Pembebasan,Pencerahan dan Pemerkasaan (hlm 27). Katanya lagi ,”Pemerkasaan bangsa adalah babak perjuangan yang kritikal  memerlukan gemblengan  pelbagai kekuatan: landasan fitrah dan strategi yang bijaksana. Perjuangan ini harus bertolak dari keyakinan bahawa al-izzah (kekuatan, kemuliaan dan keunggulan) hanya mungkin diperolehi dari Allah, kerana hanya Dialah yang memilikinya (Fatir:10). Maka itulah hakikatnya, hanya Allah yang berkuasa memuliakan sesiapa yang dikhendaki-Nya dan menghina sesiapa yang dikehendaki-Nya (Ali-Imran:26).” Kedaulatan syariat  adalah kedaulatan rakyat dan bangsa yang meletakkan hakimiyyatulLlah (kuasa Allah)  di atas hakimiyyatul-bashar (kuasa rakyat) (hlm 71).

Buku setebal 206 halaman juga menghuraikan “kelirusisme”  beberapa isu seperti konsep wasatiyyat al- Islami, kepimpinan politik Melayu, bahasa dan globalisasi. Sayang jika buku sarat dengan fakta dan ilmu ini tidak dapat ditelaah dan dimanfaatkan umat. Banyak persoalan yang dikupas dengan gaya bahasa sastera yang menarik  dapat menjana idea-idea baru di dalam mewarnai  aliran pemikiran dan tindakan  kehidupan umat Melayu.  Rugilah mereka yang terus seronok dengan keangkuhan intelek sendiri (syok sendiri)  dengan menolak adab perbezaan pendapat dari ilmuan lain  yang sebenarnya sudah berbudaya di alam Melayu. Pembugaran dan pelestarian Islam dan Melayu akan membawa pencerahan kepada Umat Melayu, di dalam menyongsong abad mendatang.  Hanya dengan bermodalkan  RM22 sebuah ,insya-Allah akan memperkayakan khazanah ketamadun umat Melayu supaya terus berada pada landasan yang tepat, jitu dan mantap. Islam akan memartabat umat dan kedaulatan rakyat Malaysia. Daulat  Islam, daulatlah rakyat, umat bermartabat dan insan bersyariat.

No comments:

Post a Comment