DEMOKRASI,
PLURALITI DAN PRU-13
Siddiq
Fadzil Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
(Teks ucapan di Konvensyen
Pencerdasan Rakyat, di Dewan Kompleks Belia dan kebudayaan, Shah Alam, pada
9hb.Mac 2013).
Pilihan raya dalam sistem demokrasi
adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harus disambut dengan semangat hormat
terhadap suara rakyat, yang bukan lagi “suara anjing menyalak bukit”, tetapi
suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah
sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya akan benar-benar menjadi hari
kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak demokratiknya dengan bebas
dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab. Dalam kaitan inilah
relevannya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat
pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan
pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi
mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat,
untuk rakyat.
Demokrasi
dan Media
Dalam era kekuasaan media, rakyat
seringkali tidak dapat melihat sesuatu dalam realiti seadanya. Banyak negara
yang masih mengamalkan pilihan raya, tetapi tidak mengamalkan kebebasan media (freedom of the press), yang diamalkan
adalah kebebasan daripada media (freedom
from the press) dalam pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan
sorotan media. Media yang telah kehilangan kebebasan dan diperburuk dengan
kehilangan etika tidak lagi mampu memaparkan kebenaran, tetapi lebih banyak
bertindak sebagai alat propaganda politik, termasuk menghitamkan yang putih dan
memutihkan yang hitam. Demikianlah orientasi sebahagian media masa kini
sehingga kita harus mengajak rakyat lebih tekun berdo`a: Rabbana arina ‘l-haqqa haqqan wa ‘rzuqna ‘ttiba`ah, wa arina ‘l-batila
batilan wa ‘rzuqna ‘jtinabah (Ya Tuhan, perlihatkan kami kebenaran itu
nyata benarnya dan kurniakan kami keupayaan mengikutinya, dan perlihatkan kami
kebatilan itu nyata batilnya dan kurniakan kami keupayaan menghindarinya).
Kebebasan media adalah bahagian integral daripada demokrasi. Kerana itu pilihan
raya tanpa kebebasan media hanya akan menghasilkan pemerintahan yang kehilangan
legitimasi demokratik (democratic
legitimacy).
Sebagai image maker media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang
tampak bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon.
Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana
ia bererti menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan
seimbang tentang calon dan parti yang bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan
membuat pilihan yang tepat jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media
propaganda.
Mengundi
Sebagai Kesaksian
Dilihat dari perspektif agama, mengundi
dalam pilihan raya bukan sekadar hak, yang boleh diterima dan boleh pula
ditolak. Lebih daripada itu sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Shaykah Yusuf
al-Qaradawiy, ia adalah kewajiban pelaksanaan kesaksian (shahadah) yang tidak
boleh ditolak apabila dipanggil, “…Dan janganlah saksi-saksi itu menolak
apabila dipanggil. …” -- al-Baqarah:282. Tidak keluar mengundi bererti
menyembunyikan kesaksian (katm
al-shahadah), suatu kesalahan berat yang dicela dalam al-Qur’an, “…Dan
janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana barangsiapa menyembunyikannya,
sungguh, hatinya kotor (berdosa)…” --- alBaqarah: 283. Kesaksian dalam
konteks pilihan raya bererti pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap
kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya)
dan hafizun `alim (berintegriti moral
dan berkompetensi intelektual). Kerana itu yang harus layak bukan hanya calon
dan parti, tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat
kesaksian yang terumus pada kata al-`adl
(keadilan), “…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu…”
-- al-Talaq:2. Kesaksian adalah amanah. Mengundi parti atau calon yang tidak
layak adalah penghkhianatan terhadap amanah yang menepati istilah qawla ‘zur (kesaksian palsu) dalam
al-Qur’an. Memberikan kesaksian palsu adalah dosa berat yang digandingkan
dengan syirik sebagaimana yang firmankan oleh Allah s.w.t., “…,maka
jauhilah (penyembahan) berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan
dusta.” -- al-Hajj:30. Ternyata mengundi dalam pilihan raya tidak hanya
memerlukan kefahaman serba-serbi tentang demokrasi, tetapi juga kesedaran
tanggungjawab moral. Justeru, kesaksian harus dilaksanakan dengan jujur,
semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan diri, kaum kerabat dan
suku-sakat, “…dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah.” --.
al-Talaq:2. Untuk memungkinkan rakyat melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya
dalam pilihan raya, mereka tidak boleh naïf -- tidak mengerti bahasa politik,
tidak mampu memahami sepak teranjang serta simpang-siur politik, dan tidak
dapat mengenal mana wajah asli dan mana wajah hiasan citra kosmetik. Ranah
politik memang banyak jebakan dan jerangkap samarnya, ada angguk yang bererti tidak,
ada geleng yang bermakna ia, dan banyak sumpah yang mengandung fitnah.
Demokrasi hanya akan sihat dan subur di
tengah rakyat yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened.
Demokrasi akan mati dalam oreintasi politik ke-fir`aun-an yang mengekalkan
kekuasaan dengan strategi pembodohan rakyat, “(Dengan yang demikian) maka
Fir`aun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka
itu adalah kaum yang fasiq – derhaka..” -- al-Zukhruf:54. Rakyat yang
telah lama diperbodoh tidak lagi mampu membezakan keadilan daripada kezaliman,
mereka tidak tahu bahawa hak-hak asasinya dirampas, dan tidak sedar kekayaannya
dirompak. Yang mereka tahu siapa yang memberikan wang adalah orang baik yang
wajar disokong, tanpa menyedari bahawa si pemberi sebenarnya adalah penyamun
yang telah merompak habis harta-bendanya. Jadilah mereka rakyat yang senasib
dengan kaum Nabi Hud `a.s. yang setia menyokong kezaliman, “…dan (mereka) menuruti perintah
semua penguasa yang sewenang-wenang lagi durhaka.’ -- Hud:59; atau menjadi
rakyat yang bodoh sombong seperti kaum Nabi Nuh `a.s., “…dan mereka mengikuti
orang-orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah kerugian baginya.” -- Nuh:21.
Perubahan
Politik dan Politik Perubahan
Bagi warga gerakan Islam, yang penting
bukan sekadar perubahan politik dalam erti pertukaran parti pemerintah
semata-mata. Yang diperjuangkan oleh gerakan Islam adalah politik perubahan
dalam pengertian berlakunya perubahan hakiki ke arah aktualisasi cita-cita
Islamiah -- prinsip dan nilainya, hukum dan maqasidnya. Aspirasi politik
gerakan Islam adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya
nilainilai moral amanah, ketelusan dan kesederhanaan; terjaminnya keselamatan
dan ketertiban, dan terlaksananya pemerintahan rule of law yang religius dan berintegriti. Politik perubahan yang
kita perjuangkan meliputi realisasi maqasid
al-shari`ah dalam erti yang setepat dan selengkapnya, bukan sekadar
slogan-sloganan dan pidato-pidatoan. Objektif memelihara jiwa (hifz al-nafs) harus dilaksanakan dalam
pengertian bukan sekadar melindungi nyawa, tetapi juga jaminan kualiti hidup
yang selayaknya sebagai manusia bermaruah dan bermartabat. Objektif memelihara
agama (hifz al-din) harus
dilaksanakan dalam pengertian pendaulatan dan penghayatan ajaran-ajarannya di segala
ranah kehidupan. Objektif memelihara akal (hifz
al-`aql) harus dilaksanakan dalam pengertian membangun daya fikir dan
membina rakyat yang cerdas dan enlightened. Objektif memelihara harta (hifz al-mal) harus dilaksanakan dalam
pengertian pembangunan ekonomi dan pengawalan kekayaan negara dari pembaziran,
pembolotan dan segala bentuk penyelewengan. Objektif memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula harus dilaksanakan
dalam pengertian pembinaan generasi yang bersih, kuat dan terdidik dengan
sempurna.
Sistem
Dua Parti
Yang harus menjadi perhitungan utama
dalam demokrasi elektoral adalah khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Untuk
itu parti pemerintah perlu disaingi dan ditandingi oleh parti alternatif yang
kuat, a formidable force yang
sewaktu-waktu boleh menggantikannya sebagai pemerintah. Kehadiran dua kekuatan
politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat
yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti
yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami
penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik. Keadaan seperti
itu akan menumbuhkan sikap taken for
granted, “sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana tidak ada
alternatif.”. Dengan kata lain, dalam konteks masa kini, sistem dua parti
adalah suatu keperluan bagi menjamin wujudnya persaingan yang real dan bererti. Rakyat akan mendapat
khidmat yang lebih baik dalam politik yang memungkinkan berlakunya pertukaran
kuasa pemerintahan dari semasa ke semasa.
Politik
Baru dan Tahaluf Siyasiy
Setelah lebih setengah abad merdeka,
rakyat Malaysia mulai memperlihatkan tandatanda keinginan menerokai politik
baru. Politik kapitalisme kroni dan perkauman sempit tidak lagi dapat
dipertahankan dalam arus kebangkitan politik moral dan idealisme keadilan dan
kebersamaan. Tahaluf siyasiy (pakatan
politik) Muslim-bukan Muslim dalam ranah politik plural adalah suatu eksperimen
yang wajar diberi ruang dalam konteks politik baru yang realistik berasaskan
nilai-nilai luhur yang disepakati bersama. PRU-12 telah memperlihatkan isyarat
bermulanya politik pembebasan dari kepompong politik perkauman. Rakyat membuat
pilihan tidak lagi berasaskan kaum, tetapi berasaskan idealisme -- keadilan dan
kebebasan, maruah dan martabat keinsanan, integriti moral dan pelayanan yang
lebih baik.
Dalam masyarakat majmuk seperti
Malaysia, kehadiran warga bukan Muslim harus diakui sebagai realiti yang
diambilkira dalam penggagasan sebarang formula politik. Umat Islam yang semakin
terdedah kepada wacana-wacana politik Islam kontemporari, semakin bersikap
terbuka dan bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan warga bukan
Muslim. Ternyata antara impak terbesar fenomena kebangkitan Islam adalah
kefahaman yang lebih mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk dasar-dasar
politiknya. Sikap mejauhi golongan bukan Muslim semata-mata kerana
ketidak-Islaman mereka telah berubah setelah memahami hakikat konsep ukhuwwah (persaudaraan) yang luas,
meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair
dan persaudaraan kemanusiaan sejagat. Al-Qur’an tidak hanya menyebut
persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya orang-orang mukmin itu
bersaudara) – al-Hujurat:10, tetapi menyebut juga persaudaraan
kebangsaan lewat pengkisahan tentang hubungan antara para anbiya’ dan mursalin
(Nuh, Lut, Hud dan Salih `a.s.) dengan kaum masingmasing yang menolak dakwah,
(tetap dalam kekafiran kesyirikan) tetapi masih dianggap saudara, (…akhuhum
Nuh…) – al-Shu`ara’: 105, 106, (…akhuhum Lut…) -- alShu`ara’:
160,161, (…akhuhum Hud) -- al-Shu`ara’:124, dan ( …akhuhum Salih )
-al-Shu`ara’:142. Kata akhuhum dalam ayat-ayat tersebut
bererti saudara.
Memang tidak semua orang bukan Muslim
itu musuh, malah tidak sedikit yang memperlihatkan semangat setiakawan sehingga
kaum Muslimin berasa terharu dengan kebaikannya. Ketika Rasulullah s.`a.w.
menderita kelaparan dalam kepungan dan pemulauan oleh Quraysh di Shi`b Abi
Talib selama tiga tahun tanpa bekalan makanan, seorang bukan Muslim, Hisham ibn
`Amr al-`Amiriy tidak sampai hati menyaksikan kezaliman yang ditimpakan ke atas
saudara-saudara sebangsanya. Beliau nekad melanggar larangan Quraysh demi
simpatinya terhadap umat Islam yang kelaparan. Setiap malam, setelah semua
orang tidur nyenyak Hisham menghantarkan bekalan makanan sebanyak yang terdaya
dibawa oleh seekor himarnya. Nama Hisham ibn `Amr al-`Amiriy abadi dalam
sejarah sebagai orang bukan Muslim yang berjasa besar meringankan derita umat
Islam ketika tidak ada orang yang sanggup melakukannya. (Khalid, `Amr, 2006:70)
Tahaluf
siyasiy
dalam konteks masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi elektoral tentunya
akan membawa kepada pembahasan isu pengangkatan calon bukan Islam sebagai wakil
rakyat. Dalam kaitan ini al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa isu
pengangkatan wakil rakyat tidak sampai dan tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah. Wakil rakyat bukan amir, bukan wazir dan bukan juga wali.
Ia hanya mewakili sejumlah warga di kawasan tertentu. Tugasnya hanya
menyuarakan kepentingan rakyat yang diwakilinya, kalau pun ikut menggubal
undangundang, ia tidak melibatkan hukum-hakam agama yang dinaskan secara muhkam. (AlQaradawiy, Yusuf, 1999:
194-195).
Seandainya pengangkatan mereka sebagai
wakil rakyat akan berhujung dengan pelantikan mereka sebagai menteri sekalipun,
ia tidak menjadi isu, kerana pada zaman tamadun Islam dahulu pun, para ulama
mengharuskan pelantikan orang bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai menteri
pelaksana (wazir al-tanfidh). Sejarah
mencatatkan ramai orang bukan Islam yang menjadi menteri dalam kerajaan
Abbasiyah, dan tidak ada bantahan ulama terhadap mereka. Memberikan kepercayaan
dengan tanggungjawab tertentu kepada orang bukan Islam yang memang boleh
dipercaya tidak perlu dipermasalahkan. Jika lelaki Muslim boleh mengahwini
wanita bukan Muslim kitabiyyah,
bukankah itu juga bererti mempercayakan tugas pengurusan rumahtangga dan
tanggungjawab keibuan kepada orang bukan Islam?
Sebagai sesama warganegara, hak dan
tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim - pada asasnya adalah sama.
Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa
yang kita dapat, dan mereka memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama
memang tidak menghalang memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan
Muslim, andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan
terhadap kaum Muslimin. Demikianlah yang difirmankan oleh Allah:
Allah tidak melarang kamu berbuat baik
dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama
dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai
orang-orang yang berlaku adil.
al-Mumtahanah:8.
Merujuk ayat tersebut al-Shaykh Yusuf
al-Qaradawiy menyebut bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan
Islam sedemikian itu termasuklah pemberian ruang untuk mereka menganggotai
majlis-majlis perwakilan. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1999: 195). Dengan semangat
ayat tersebut juga kita boleh membuat rumusan bahawa berbuat baik dan berlaku
adil terhadap warga bukan Muslim termasuk juga menepati janji untuk saling
mendukung dalam kerjasama politik, khususnya dalam pilihan raya. Justeru,
menepati janji adalah bahagian daripada tuntutan syara`.
Mengadakan tahaluf siyasiy dengan golongan bukan Muslim bukanlah suatu bid`ah
politik yang tidak berdasar. Sebelum diutus membawa risalah Islam Nabi s.`a.w.
sudah berpatisipasi dalam Hilf al-fudul,
sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin Arab untuk menghadang
pencerobohan dan melindungi kaum mustad`afin. Sesudah diangkat menjadi Rasul,
Junjungan s.`a.w. mengenang peristiwa tersebut dengan penuh rasa penghargaan
terhadap pakatan yang bermotif kebaikan itu dengan bersabda, “Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku
dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan
menyahutnya”.
Dalam amalan demokrasi di negara ini,
ketua kerajaan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi pilihan raya.
Pengangkatannya dilakukan menerusi wakil-wakil rakyat di parlimen. Kerana itu
pilihan raya umum menjadi sangat penting kerana ia juga terkait dengan
pengangkatan orang no.1 negara yang banyak menentukan untung nasib rakyat dan
negara. Rakyat tentunya menginginkan negara ini dipimpin oleh tokoh yang
bersih, berwibawa dan berkompetensi, bukan sekadar tokoh selebriti politik.
Untuk mencapai keinginan tersebut, mengundi dalam pilihan raya umum harus juga
didasarkan pada perhitungan memilih wakil yang dapat menjadi saluran
terpilihnya ketua kerajaan yang menepati atau yang lebih menghampiri kualiti qawiyyun amin dan hafizun `alim.
Mekanisme
Pilihan Raya dan Budaya Politik
Untuk menjayakan demokrasi elektoral
kita memerlukan mekanisme pilihan raya yang bersih, cekap dan berkecuali.
Mekanisme pilihan raya harus benar-benar mampu menghasilkan pemerintahan dari
rakyat, oleh rakyat untuk rakyat; mekanisme yang dapat menjamin bahawa yang
naik adalah yang terbaik. Dengan demikian kemenangan yang diraih oleh seseorang
calon atau sesebuah parti, benar-benar jelmaan kemenangan rakyat. Pilihan raya
yang bersih akan menggembirakan semua pihak kerana yang menang bukan wang,
bukan rasuah, bukan kecurangan dan bukan penipuan, tetapi yang menang adalah
demokrasi yang memang diperjuangkan oleh semua.
Dalam kaitan ini kita harus menyuarakan
keprihatinan terhadap biaya pilihan raya yang terlalu mahal, sehingga yang
selalu menjadi masalah ketika menghadapi pilihan raya adalah soal dana. Pilihan
raya yang mahal akan membuka pintu rasuah seluas-luasnya. Ia akan mengundang
pelaburan para pemilik dana (kapitalis/korporat/cukong), dan apabila berlaku
persekongkolan politik dengan bisnes, bererti kiamatlah moral politik. Justeru,
moral politik tidak akan laku di tengah kemeriahan pasar jual-beli undi.
Ketika ini wang seolah-olah sudah
menjadi bahasa politik. (tidak ada wang, tidak ada politik!). Wanglah yang
menjadi tonggak kekuatan politik, wanglah penentu elektibiliti parti dan
akhirnya wang jugalah yang menentukan pemenangnya. Dalam budaya politik korup
seperti itu wang dapat membeli segala-gala: suara rakyat, lawan politik,
jentera, media dan segalanya. Pilihan raya adalah kesempatan terbaik merebut
peluang melabur dalam politik (pilihan raya) untuk mendapat pulangan dalam
bentuk projek dan kontrak kerajaan selepas pilihan raya. Budaya politik wang
akhirnya akan berakibat terbentuknya kerajaan yang korup. Untuk melindungi
kuasa yang korup institisiinstitusi penegak undang-undang dilemah dan
dilumpuhkan. Itulah yang akan berlaku kepada institusi-institusi seperti
kepolisan, kehakiman, jabatan peguam negara, SPRM, SPR dan lain-lainnya.
Demikianlah transformasi yang akan terjadi, dari agen penegak keadilan dan
ketertiban menjadi alat melindungi korupsi. Justeru, kekuatan
institusiinstitusi ini akan mengancam kelangsungan kuasa yang korup.
Apabila politik sudah menjadi sejenis
bisnes orang berduit, tertutuplah peluang untuk mendapatkan pemimpin yang baik,
bermoral dan berintegriti. Para pelabur tidak akan mendanai pemimpin yang kuat
dan pro-rakyat, sebaliknya mereka akan membiayai “pemimpin” tajaan mereka
sendiri yang nanti akan dapat mereka kuasai. Ini bukan mimpi, tetapi realiti
yang telahpun terjadi. Fenomena penguasaan orang bisnes ke atas ahli-ahli
politik inilah yang diungkapkan oleh Noreena Hertz dalam bukunya, The Silent Takeover: Global Capitalism and
the Death of Democracy. Beliau mengatakan,
Politicians
are increasingly seen as impotent, irrelevant, and dishonest. People see their
government as unable to deliver what they promie, obsessed with unimportant
issues and internal politicking, riddled with corruption, clinging to outmoded
notions of authority, and increasingly in the pockets of businesspeople. The
distinction between incompetence and dishonesty is becoming blurred as, in
country after country, senior politicians are discovered to have engaged in
corrupt practices.
(Hertz, Noreena, 2003: 121)
Dalam budaya politik yang dikuasai oleh
duit, mereka yang tidak mahu menjadi calon tajaan kaum berduit harus menyingkir
meskipun berkualiti dan berpotensi menjadi pemimpin yang baik.
Tidak kurang memprihatinkan adalah
gejala politik kekerasan. Demokrasi seharusnya menjadi pentas adu kekuatan
idea, bukan otot dan lengan. Politik samseng adalah pengkhianatan terhadap
prinsip dan nilai demokrasi elektoral. Politik adu kekuatan fizikal adalah
amalan masyarakat yang tidak bertamadun. Parti-parti politik yang menjunjung
prisip dan nilai demokratik seharusnya mampu membina massa demokrat yang
menghormati aturan main yang bersih dan beradab. Yang pertama dan utama adalah
memenangkan demokrasi itu sendiri. Manusia demokrat tulen tidak akan sanggup
mencederai demokrasi atau melukai warga pengamal demokrasi, semata-mata kerana
ingin memenangkan diri dan kelompok sendiri. Rakyat yang setia kepada nilai dan
norma demokrasi harus tegas menolak politik kekerasan, termasuk politik
mengancam, mengugut, manakut-nakutkan dan lain-lainnya.
Perjuangan menegakkan demokrasi tidak
boleh dipisahkan daripada perjuangan pencerdasan dan pemberdayaan rakyat.
Justeru, demokrasi hanya akan punya erti jika rakyat memiliki kekuatan daya
fikir dan keberanian bersikap. Para pendukung demokrasi harus siap melawan
pembodohan dan pemiskinan. Politik yang didukung golongan yang bodoh dan miskin
akan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan. Bagi mereka warganegara yang
efektif, cerdas, kritis dan tidak bergantung adalah bahaya yang akan menggugat
kekuasaan yang sewenang-wenang. Memang survival penguasa yang zalim selamanya
bergantung pada kebodohan dan kemiskinan rakyat. Rakyat yang miskin dan yang
bodoh selalu mengundi atas pertimbangan kepentingan peribadi dan habuan jangka
pendek yang bersifat kebendaan, bukan atas pertimbangan jangka panjang yang
bersifat public virtues, kebaikan
bersama atau maslahah `ammah
Gerakan
Islam dan Misi Demokratisasi
Gerakan Islam yang setia pada misi taghyir al-munkar, merubah kemungkaran
(rasuah, fitnah, kezaliman, penindasan, pemborosan dan yang sejenisnya), harus
menggunakan hak demokratiknya mengundi dalam pilihan raya dengan niat suci
melaksanakan amanat Nabi s.`a.w., “Sesiapa
yang melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya…” Gerakan Islam tidak
seharusnya menjadi alat mempertahankan kebobrokan. Merelakan diri diperalat
untuk motif sedemikian itu adalah suatu penodaan terhadap kemurnian risalah dan
sekaligus pengkhianatan terhadap idealisme perjuangan kader-kader Islamis.
Gerakan Islam juga turut memikul
tanggungjawab meratakan pendidikan demokrasi. Rakyat harus disedarkan bahawa
demokrasi adalah prinsip, nilai dan mekanisme yang perlu di pelajari, difahami
dan dihayati secara murni dan konsisten. Demokrasi bukan sekadar pilihan raya,
yang dilaksanakan asal jadi, atau asal ada. Yang dituntut bukan pilihan raya
asal-asalan, tetapi pilihan raya yang bersih, adil dan efisien. Rakyat perlu
lebih kritis terhadap SPR agar institusi tersebut menjadi lebih berwibawa,
berintegriti dan bermaruah sebagai badan pelaksana yang berkecuali dan adil.
Rakyat perlu dididik dengan budaya politik yang sihat menerusi semangat
persaingan fa ‘stabiqu ‘l-khayrat,
penegakan moral politik dan seterusnya penolakan terhadap politik fitnah,
politik wang dan politik curang.
KAU INI BAGAIMANA ATAU AKU HARUS
BAGAIMANA
Kau ini bagaimana?
Kau bilang aku merdeka, kau pilihkan
untukku segalanya
Kau suruh aku berpikir, aku berpikir kau
tuduh aku kapir
Aku harus bagaimana?
Kau bilang bergeraklah, aku bergerak kau
curigai
Kau bilang jangan banyak tingkah, aku
diam saja kau waspadai
Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku pegang prinsip, aku
memegang prinsip kau tuduh aku kaku
Kau suruh aku toleran, aku toleran kau
bilang aku plin-plan
Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku maju, aku maju kau
srimpung kakiku
Kau suruh aku bekerja, aku bekerja kau
ganggu aku
Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku taqwa, khutbah keagamaanmu
membuat aku sakit jiwa
Kau suruh aku mengikutimu, langkahmu tak
jelas arahnya
Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku menghormati hukum,
kebijaksanaanmu menyepelekannya
Kau suruh aku berdisiplin, kau
menyontohkan yang lain
Aku harus bagaimana?
Kau bilang Tuhan sangat dekat, kau
sendiri memanggilnya dengan pengeras suara tiap saat
Kau bilang kau suka damai, kau ajak aku
setiap hari bertikai
Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku membangun, aku membangun
kau merusaknya
kau suruh aku menabung, aku menabung kau
menghabiskannya
Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku menggarap sawah, sawahku
kau tanami rumah-rumah
Kau bilang aku harus punya rumah, aku
punya rumah kau meratakannya dengan tanah
Kau ini bagaimana?
Aku kau larang berjudi, permainan
spekulasimu menjadi-jadi
Aku kau suruh bertanggungjawab, kau
sendiri terus berucap wallahu a`lam bissawab
Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku jujur, aku jujur kau tipu
aku
Kau suruh aku sabar, aku sabar kau injak
tengkukku
Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku memilihmu sebagai wakilku,
sudah kupilih kau bertindak semaumu
Kau bilang kau selalu memikirkanku, aku
sapa saja kau merasa terganggu
Kau ini bagaimana?
Kau bilang bicaralah, aku bicara kau
bilang aku ceriwis
Kau bilang jangan banyak bicara, aku
bungkam kau tuduh aku apatis
Aku harus bagaimana?
Kau bilang kritiklah, aku kritik kau
marah
Kau bilang cari alternatifnya, aku kasih
alternatif kau bilang jangan mendikte saja
Kau ini bagaimana?
Aku bilang terserah kau, kau tidak mahu
Aku bilang terserah kita, kau tak suka
Aku bilang terserah aku, kau memakiku
Kau ini bagaimana?
(K.H.A.Mustofa Bisri, 1987)
Rujukan:
- Al-Mawardiy, Abu al-Hasan `Aliy ibn Muhammad ibn Habib. t. t. Al-Ahkam alSultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
- Al-Mu`askariy, Abu Ahmad Muhammad Balqard ibn Ahmad. 2005. Mafhum alHizbiyyat al-Siyasiyyah wa hukmuha fi al-Islam. Al-Jaza’ir: Dar alKhalduniyyah.
- Al-Qaradawiy, Yusuf. 1999. Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Shuruq.
- George, Cherian. 2012. Freedom from the Press: Journalism and State Power in Singapore. Singapore: NUS Press
- Hertz, Noreena. 2003. The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. New York: Harper Business.
- Khalid, Amr. 2006. `Ala Khuta ‘l-Habib S.`A.W. Beirut: Al-Dar al-`Arabiyyah li al`Ulum