TEKS SYARAHAN PENGANTAR
PELANCARAN DAN DISKUSI BUKU
MELAYU DAN ISLAM: MARTABAT UMAT DAN DAULAT RAKYAT
(Hotel De
Palma, Ampang, 25 Jun 2012, 8.45mlm)
Kami dahului dengan pernyataan tahmid kesyukuran al-hamdu li'Llah dan rasa terharu atas sambutan terhadap buku Melayu
dan Islam: Martabat Umat dan Daulat
Rakyat. Di tengah suasana seperti
ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa takut-takut dan malu-malu, kerana ketika mengerjakan buku ini, saya tidak membayangkan sambutan bersemangat begini.
Tidak ada yang luar biasa dalam proses
penerbitannya. Bermula dengan pertanyaan
teman-teman tentang nasib
tulisan-tulisan saya yang terbiar dan berserakan, saya terdorong mengumpul, memilih dan mengeditnya untuk diterbitkan
dalam bentuk sebuah buku yang seadanya dan sejadi-jadinya. Andainya
saya tahu bahawa buku ini akan diberi perhatian sebegini rupa
- dilancarkan, dibedah dan
didiskusikan - mungkin saya tidak akan berani
menerbitkannya.
Bagaimanapun, buku ini telah
telanjur terbit dan kerana itu ia harus siap untuk ditanggapi oleh khalayak
pembacanya. Mudah-mudahan penulisnya
dikurniakan ketahanan ruhaniah dalam menghadapi
segala kemungkinan -- dukungan dan kritikan, tidak lupa diri kerana dukungan, dan tidak berkecil hati kerana kritikan. Terlepas dari soal setuju atau tidak dengan
pemikiran dalam buku ini, sebagai penulis saya mengucapkan terima kasih
kepada seluruh khalayak yang sudi memberikan perhatian kepada buku ini.
Atas susah payah rakan-rakan menjayakan majlis pelancaran dan diskusi buku malam itu saya ucapkan jazakumu 'Llahu khyara 'l-jaza' . Mudah-mudahan semangat di sebalik usaha ini bukan sangat kerana buku saya, tetapi komitmen kita semua terhadap penyuburan budaya ilmu.
Atas susah payah rakan-rakan menjayakan majlis pelancaran dan diskusi buku malam itu saya ucapkan jazakumu 'Llahu khyara 'l-jaza' . Mudah-mudahan semangat di sebalik usaha ini bukan sangat kerana buku saya, tetapi komitmen kita semua terhadap penyuburan budaya ilmu.
Terima kasih kepada rakan-rakan yang tampaknya menyambut buku ini
dengan bersemangat sekali, sehingga saya sendiri menjadi hairan, apalah
istimewanya buku ini? Saya hanya dapat
menduga bahawa ketika menyambut buku
ini, yang mereka sambut sebenarnya adalah
pemikiran mereka sendiri. Demikianlah
hakikatnya, kita memang banyak berkongsi
pemikiran, berkongsi idealisme, berkongsi
wawasan dan gagasan. Tetapi tidak
semua kita berkesempatan mengungkapkan, mengucapkan atau menyuarakannya. Andainya
dugaan itu benar, saya sangat berbahagia
dapat melaksanakan peranan mewakili anda sekalian untuk mengungkapkan yang tak terungkap,
mengucapkan yang tak terucap dan menyuarakan yang tak tersuara itu.
Sebagai karya manusia, buku ini tentu sekali mengandungi pelbagai
kelemahan manusiawi. Dengan
menginsafi keterbatasan ilmu, pengalaman
dan daya renung, saya akan sangat berterimakasih andainya ada yang sudi
memberikan teguran dan koreksi. Memang
saya tidak dapat memberikan jaminan akan bersetuju dengan pendapat anda, tetapi saya tetap akan menghormati hak anda untuk tidak bersetuju dengan
saya.
Sebuah karya tulis biasanya lahir
dari liku-liku intellectual journey dan
pengalaman di kancah kehidupan penulisnya.
Demikianlah wacana di sekitar Islam dan Melayu yang termuat dalam buku yang
dilancarkan sebentar tadi, dilatari timbunan pengalaman perjalanan keilmuan
selama puluhan tahun. Persoalan tentang
sejarah Islam dan kebudayaan Melayu memang sudah tersentuh sepanjang mengikuti pengajian menengah dan universiti, tetapi sentuhan paling mengesankan adalah kuliah-kuliah Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib
al-Attas tentang Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu yang sempat
kami ikuti dalam pengajian pasca-sarjana.
Sejak itu (1975) bidang ini kami tekuni tanpa henti terutama selama
tempoh melaksanakan tugas meneruskan pengajaran kursus yang sebelumnya dikendalikan oleh Prof. al-Attas sendiri, di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan
Melayu, UKM. Memang,
tahun-tahun perkhidmatan di UKM sebagai tenaga akademik di Jabatan
Persuratan Melayu adalah kurnia kesempatan belajar dan mengajar pelbagai aspek
pengajian Melayu, kebudayaan dan
kesusasteraannya, termasuk karya-karya agungnya
seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan lain-lainnya.
Tidak kurang pentingnya adalah penglibatan kami yang berterusan
dalam gerakan Islam tanahair (PKPIM,
ABIM dan WADAH). Pengalaman dari kancah
perjuangan merealisasikan idealisme keislaman selama lebih emat dekad itu
tentunya banyak mewarnai, dan bahkan
menyemangati pemikiran, gagasan dan
wawasan yang tertuang dalam buku ini. Justeru, gerakan Islam pencetus kebangkitan Islam yang cukup fenomenal
sepanjang dekad-dekad menjelang hujung abad ke-20 itu, bukan sekadar membawa keriuhan retorik slogan-sloganan, tetapi jelas membawa fikrah dan risalah tahririyyah-taghyiriyyah
atau misi pembebasan dan perubahan. Dalam merangka agenda perubahan
tersebut, para ideologue
gerakan tentunya telah meneliti pesan-pesan
al-Qur'an dan al-Sunnah tentang khayriyyat al-ummah (keunggulan umat),
di samping karya-karya agung pemikir besar seperti Ibn Khaldun tentang
jatuh-bangun bangsa dan tamadun, Malik Bennabi tentang masalah pemikiran dan
syarat-syarat kebangkitan (syurut al-nahdah) dan sarjana-sarjana besar lainnya. Sebagai gerakan yang berkiprah di tengah
realiti kemalaysiaan pula tentunya ia juga menangani isu-isu setempat, termasuk
isu Islam dan Melayu serta persoalan kemajmukan masyarakat.
Dari latar sedemikian itulah lahirnya karya tulis, Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat yang
mengangkat persoalan pemberdayaan bangsa dengan nilai-nilai agama (Islam). Bertolak dari hakikat Melayu sebagai
suatu realiti jelmaan sunnatu
'Llah, bahawa manusia selamanya
diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku,
bukan tanpa maksud, tetapi dengan
tujuan mulia - saling kenal dan saling hormat.
Tidak salah andainya seluruh anak bangsa ingin agar bangsanya
dikenal sebagai umat yang kuat, mulia
dan berwibawa. Untuk itulah kami mengangkat
nilai maruah dan harga diri yang ketika ini terhakis di tengah maraknya budaya
fitnah, gossip, mengaib dan memalukan orang seenaknya dan semahu-mahunya. Kontrak sosial yang menyepakati bahawa rakyat
Melayu, "…jangan ia
difadihatkan, dinista yang keji-keji…"
diinjak-injak dengan leluasa,
tanpa mempedulikan lagi sumpahan apabila penguasa "…memberi aib seseorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa.". Bangsa tidak dapat dibina dengan caci-maki
dan sumpah-seranah penguasa. Bangsa yang mulia dan bermartabat dibangun dengan
kesedaran tentang maruah yang dicirikan
oleh sifat al-haya' -
tahu malu atau sense of shame,
malu melakukan perbuatan
keji, malu menjadi rakyat negara yang mundur,
malu menganggotai organisasi yang korup dan seterusnya. Dari sifat tahu malu itulah bangkitnya
semangat juang untuk berubah, menebus
maruah yang tercemar.
Kami juga menyerlahkan nilai ilmu sebagai kekuatan pengangkat
martabat umat. Kata iqra' yang mengawali penurunan kitab suci al-Qur'an
menandakan bermulanya demokratisasi pendidikan
dan revolusi keilmuan melawan gerakan pembodohan untuk mencipta umat
yang enlightened, umat yang
mengalami pencerahan keilmuan, lalu
mampu melihat hakikat segala sesuatu dengan
tepat sebagaimana wujud hakikinya.
Matlamat akhir gerakan pencerahan bersemangat iqra' ialah untuk mengenal Allah, mencapai ma`rifah yang membentuk sikap wa 'sjud wa 'qtarib (tunduk mengabdi
dan menghampirkan diri kepada Allah). Demikianlah
realisasi tawhid (pengesaan Allah) sebagai kekuatan pembebasan, pencipta manusia merdeka yang memiliki
keberanian bersikap, menolak dan melawan kezaliman dan kebatilan, kalla la tuti`hu (jangan sekali-kali,
jangan patuh kepadanya…). Mesej surah al-`Alaq
adalah nilai ilmu sebagai kekuatan transformatif: bermula dengan iqra' (baca)
berakhir menjadi merdeka dengan
sujud hanya kepada Tuhan Yang Maha Esa,
dan menjadi perkasa dengan mendampingkan diri kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Ilmu dan iman adalah unsur
penting pemberdayaan bangsa. Bangsa yang
lemah dan penakut tidak akan menjadi bangsa yang mulia dan bermartabat. Lewat puisinya Kesaksian Bapak Saija, penyair ternama WS Rendra menampilkan Pak Saija yang bangkit dari alam barzakh
untuk membuat kesaksian betapa
menyesalnya beliau menjadi manusia penakut selama hidupnya. Ia takut
membuka mulut untuk memprotes ketidakadilan, ia takut melawan kerana melawan bererti
mati. Tetapi ternyata akhirnya Pak Saija
mati juga sebagai korban kezaliman. Ia mati walaupun tidak melawan. Ia menyesal,
tetapi sayang, ia telah terlambat, kerana penyesalan itu
timbul hanya sesudah mati dibunuh dan mayatnya ditendang ke dalam
longkang. Sesudah mati baru ia menyedari
bahawa sepanjang hayatnya sebagai penakut ia telah bersyubahat dengan
orang-orang zalim. Justeru, kerana ketakutannya melawanlah, maka orang
lain berleluasa melakukan kezaliman.
Penyesalan terlambat seorang penakut itulah yang diungkapkanya dengan
kata-kata:
Hidup
tanpa daya
Sebab
daya ditindih ketakutan
Setiap hari
seperti mati berulang kali
Setiap saat
berharap menjadi semut
agar bisa
menjadi tidak kelihatan.
Sekarang
setelah mati
baru aku
menyedari
bahwa
ketakutanku membantu penindasan,
dan sikap tidak berdaya menyuburkan
ketidakadilan.
Pak Saija sebenarnya bukan tidak berdaya, tetapi dayanya telah
dilumpuhkan oleh sifat penakutnya.
Memang kekuatan tidak akan berguna tanpa keberanian. Kerana itu orang Melayu selalu memadukan
kekuatan dengan keberanian sebagaimana yang terungkap dalam serangkap pantun:
Apa guna
pergi ke bendang
Kalau tidak
menanam padi
Apa guna
keris disandang
Kalau tidak
berani mati.
Hidup tanpa daya dalam belenggu budaya takut, bukanlah kehidupan
yang didambakan oleh manusia bermaruah, berilmu dan beriman. Justeru, budaya takut (culture of fear) jelas bertentangan dengan aspirasi kebebasan yang
terpancar dari ajaran tauhid. Surah Quraysh
menyebut Allah sebagai Tuhan Pengurnia
makanan untuk bebas dari kelaparan, dan Dia jugalah Pengurnia keamanan untuk
bebas dari ketakutan. Demikianlah
hakikat kebebasan dari ketakutan, di samping kebebasan dari kelaparan sebagai
suatu yang amat terkait dengan iman dan pengabdian kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Daya maju sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh faktor budaya yang
teguh dan kepimpinan yang tangguh. Untuk
memacu daya maju bangsa Melayu, budayanya harus diperkasa dengan nilai-nilai kudus
kewahyuan dari al-Qur'an dan al-Sunnah. Dengan
demikian bangsa ini akan menjadi umat yang berjaya menepati kata al-falah, kejayaan hakiki
duniawi-ukhrawi. Laungan azan hayya
`ala 'l-falah (mari bersama meraih kejayaan) yang berkumandang setiap hari
bekali-kali itu seharusnya diangkat menjadi salah satu nilai utama pembentuk winning
mind-set dan seterusnya pembina orientasi kejayaan (success orientation)
yang kuat di kalangan umat. Yang kita
aspirasikan adalah bangsa berjaya yang benar-benar berjaya, bukan bangsa yang berlagak sebagai bangsa
yang berjaya dengan berbelanja besar membeli barang-barang perhiasan mewah bangsa yang telah berjaya, buying
the ornaments of success.
Melayu harus dibangun dengan nilai-nilai murni keagamaan, bukan dengan sentimen perkauman sempit. Melayu ideal dalam wawasan buku ini adalah Melayu yang Islamis, bukan Melayu yang racist. Melayu yang Islamis adalah Melayu yang
berakhlak mulia, kaya dengan rasa kasih
kemanusiaan, setia menjunjung
nilai ukhuwwah, persaudaraan dalam erti luas yang merentasi batasan ras
dan agama, ukhuwwah yang meliputi
ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan seagama), ukhuwwah wataniyyah (persaudaraan setanahair) dan ukhuwwah
insaniyyah (persaudaraan
kemanusiaan).
Untuk merealisasikan gagasan Melayu yang menepati ciri khayra
ummah, kita memerlukan pemimpin yang
membina bangsa, bukan "pemimpin"
yang membesar diri dan memperkaya kroni.
Bangsa Melayu harus bijak memilih
pemimpinnya yang mampu melaksanakan misi pemberdayaan bangsa, pemimpin-pendidik-teladan yang menghayati
nilai-nilai murni yang diperjuangkannya. Dengan kata lain, kita memerlukan mekanisme
pengangkatan pemimpin yang dapat menjamin terangkatnya orang yang terbaik dalam
pengertian pemimpin yang berkualiti integriti moral, kekuatan daya fikir,
stamina kerja kuat, menyintai ilmu dan
menyayangi rakyat, menepati konsep al-Imam
al-`adil (pemimpin adil) sebagaimana
yang dihuraikan oleh al-Imam Hasan al-Basriy r.`a. dalam risalah jawapannya
kepada permintaan `Umar ibn `Abd
al-`Aziz, mujaddid abad pertama Hijriah
yang diiktiraf sebagai Khamis al-Khulafa' al-Rashidin (al-Khalifat
al-Rashid Kelima). Sesungguhnya bangsa
ini akan bangkit sebagai umat yang gagah dan bermaruah dengan pemimpin yang empowering
dan inspiring. Sekarang
adalah saatnya kita memikirkan dengan jujur tentang kualiti kepimpinan yang
seperti itu. Terima kasih.
Siddiq Fadzil,
Hotel De Palma,
Ampang, Kuala Lumpur.
25 Jun 2012.
No comments:
Post a Comment