Monday, 8 October 2012

Pemikiran al-Qaradawiy 2


YUSUF AL-QARADAWIY:
FAQIH IDEOLOGUE
GERAKAN ISLAM KONTEMPORARI
Siddiq Fadzil
(Bahagian 2)


Kepeloporan al-Qaradawiy dalam Pemikiran Wasatiy

Gagasan, fatwa dan pendirian al-Qaradawi di mana-mana secara konsisten membawa semangat wasatiyyah, termasuk buku ini yang memuatkan rumusan ma’alim al-fikr al-wasatiy atau tanda-tanda petunjuk pemikiran wasatiy. Dalam menyikapi isu ini ABIM dan kerabat-kerabat dekatnya (PKPIM dan WADAH) memang selamanya mendukung wasatiyyah. Dukungan terhadap wasatiyah tidak hanya sebatas pendekatan moderat dalam pendakwahan, lebih daripada itu ia didasarkan pada hakikat Islam sebagai agama wasat dan demikian juga umatnya sebagai ummatan wasatan. Ertinya, tidak hanya cara pendakwahannya yang harus moderat dengan pengertian lunak dan persuasif, tidak keras atau bernada kombatif; tetapi Islam itu sendiri harus ditampilkan dengan citra yang ramah serta bersemangat tabshir dan taysir (menggembirakan dan memudahkan). Dalam konteks usaha membangun kerukunan hidup antara agama, citra wasatiyah Islam adalah salah satu faktor penting kejayaannya. Justeru, masyarakat bukan Islam hanya akan berasa selamat dan selesa hidup berdampingan (co-exist) dengan masyarakat Islam yang moderat, toleran dan ramah. Citra wasatiyah menjadi lebih penting dalam konteks politik perkongsian kuasa dan permuafakatan politik (al tahaluf al-siyasiy) antara golongan Islam dengan bukan Islam. Mungkin dengan semangat inilah pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerbitkan buku Kesederhanaan dalam Islam: Satu Penerangan Ringkas dan Penanda Aras, iaitu terjemahan tulisan al-Qaradawiy, Kalimat fi al-Wasatiyyat al-Islamiyyah. Selain itu Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menganjurkan Persidangan Kesederhanaan Tulen pada 18 Februari 2012 sempena Minggu Keharmonian Antara Agama, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Persidangan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu menghadirkan tokoh-tokoh pelbagai agama yang membicarakan isu kesederhanaan dari perspektif agama masing-masing.

Al-Qaradawiy ternyata memang secara serius dan konsisten mempromosikan pemikiran wasatiyyah lewat karya-karya tulisnya yang cukup banyak. Memang sangat beralasan apabila seorang penulis Mesir yang terkenal, ‘Adil Husayn menyebut al-Qaradawiy sebagai ulama wasatiyah zaman ini (faqih al-wasatiyyah fi ‘asrina). Suatu yang menarik pada judul buku-buku yang dihasilkan oleh al Qaradawiy sebahagiannya memakai kata bayna (antara). Kata bayna mengisyaratkan posisi tengah antara dua kutub. Antara buku-bukunya yang berjudul sedemikian termasuklah: al-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-jahud wa al Tatarruf, al-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-Ikhtilaf al-Mashru` wa la-Tafarruq al Madhmum, al-Fatwa bayna al-Indibat wa al-Tasayyub, al-Ijtihad al-Mu`asir bayna al-Indibat wa al-Infirat, al-Thaqafat al-`Arabiyyat al-Islamiyyatu bayna al-Asalat wa al-Mu`asarah, al-Fiqh al-Islamiy bayna al-Asalat wa al-Tajdid, dan Thaqafatuna bayna al-Infitah wa al-Inghilaq. Mesej tersirat di balik kata bayna yang begitu banyak dipakai pada judul buku-bukunya itu tidak lain adalah wasatiyyah.


Selaras dengan pemikiran wasatiyahnya, al-Qaradawiy menolak kekerasan (al-‘anaf) dan keganasan (al-irhab) kerana ia memang bukan sifat dan watak Islam yang sebenar. Al-‘anaf yang ertikan sebagai menggunakan kekarasan fizikal bukan pada tempatnya, dan al-irhab atau terorisme yang dertikan sebagai keganasan ke atas mangsa tanpa sebarang justifikasi, semata-mata untuk menakutkan, menganiaya dan memaksa mereka tunduk kepada kemahuan sang teroris, dibezakannya daripada al-jihad yang juga menggunakan kekuatan fizikal tetapi dengan tujuan murni mempertahankan agama, negara, perkara-perkara suci dan dihormati, yang selamanya terikat dengan hukum syarak dan nilai-nilai akhlak sebelum, ketika dan selepas perang. Ternyata wasatiyyah al-Qaradawiy tidak menghilangkan semangat dan dinamika jihadi yang menjadi bahagian daripada syari`at. Dalam kaitan ini beliau mempertahankan al-‘amaliyat al-istishhadiyyah (tindakan pengebum berani mati) seperti yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Palastin. Tindakan tersebut bukan sejenis "bunuh diri", tetapi sebaliknya a’la anwa’ al-jihad atau setinggi-tinggi bentuk jihad pada hari ini. Orang yang membunuh diri bertindak untuk dirinya sendiri, orang lemah yang kecewa dan tidak sanggup menghadapi hidup lalu lari kepada mati; sedang pengebom pencari shahadah (mati syahid) adalah orang yang tidak memikirkan kepentingan dirinya, sebaliknya sanggup mengorbankannya demi kepentingan yang lebih besar. Ia adalah orang yang telah menjual dirinya kepada Allah untuk mendapatkan bayaran syurga-Nya. (al-Qaradawiy, Yusuf, 2007:27-39).

Jihad dalam Pemikiran al-Qaradawiy

Antara sumbangan besar al-Qaradawiy dalam konteks gerakan dan perjuangan Islam hari ini ialah pemikirannya tentang jihad. Karya monumentalnya Fiqh al Jihad: Dirasatun Muqaranatun li Ahkamihi wa Falsafatihi fi Daw’ al-Qur'an wa al Sunnah lahir di tengah kekeliruan masyarakat -- Muslim dan bukan-Muslim -- tentang erti, fungsi dan posisi jihad dalam Islam. Di satu pihak timbul golongan yang mahu memerangi dunia seluruhnya atas nama jihad, sementara di pihak lain berlaku usaha dan percubaan menghapuskan jihad. Dalam kaitan ini al-Qaradawiy menyatakan kekesalannya terhadap golongan ulama yang menyalahkan segala bentuk jihad, yang salah dan yang benar:


Al-Qaradawiy mengambil jalan tengah, jalan al-ummat al-wasat yang menerima pencerahan ilmu dan hikmah serta kefahaman tentang fiqh syarak dan fiqh reality (fiqh al-waqi’). Mereka tidak bersama dengan golongan yang mengabaikan jihad, lalu membiarkan hak-haknya tanpa kekuatan pertahanan, mushafnya tanpa pedang, negaranya tanpa pengawal dan kehormatannya tanpa pelindung. Al-Ummat al wasat tidak juga bersama kaum ekstremis yang mahu memerangi semua, termasuk mereka yang menginginkan perdamaian. Citra al-Qaradawiy sebagai ulama perjuangan dan penyuara aspirasi umat terserlah lebih jelas setelah terbit bukunya Thawrat al-Sha’b yang mendukung kebangkitan rakyat meruntuhkan pemerintahan diktator di Negara-negara arab.

Pemikiran Politik al-Qaradawiy

Gerakan Islam di Malaysia, sebagaimana di negara-negara lain juga memikul tanggungjawab menawarkan jawapan-jawapan penyelesaian Islam kepada pelbagai masalah -- politik, ekonomi dan sosio-budaya. Politik ternyata menjadi bahagian penting pemikiran gerakan Islam kontemporari. Tokoh utama gerakan Islam di Indonesia adalah Muhammad Natsir yang memimpin parti politik Islam Masyumi dan pernah menjadi Perdana Menteri. Pemikiran politiknya banyak ditelaah oleh warga gerakan Islam di Malaysia. Demikian juga Maududiy dan Sayyid Qutub yang begitu menekankan dimensi politik Islam sehingga Abu al-Hasan ‘Ali al Nadwiy mengkritik tulisan-tulisan mereka sebagai al-Tafsir al-Siyasiy li al-Islam (Tafsiran Politik Terhadap Islam). Pada satu ketika pemikiran politik warga ABIM khususnya memang terpola dalam acuan pengaruh pemikiran Maududiy dan Sayyid Qutub. Bagaimanapun sejak dekad-dekad terakhir ini pengaruh pemikiran politik al-Qaradawiy tampaknya lebih dominan. Bukunya Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Arsil Ibrahim dengan judul Fiqh Kenegaraan dan diterbitkan oleh ABIM pada tahun 1999.

Dari buku tersebut warga harakah mendapat pencerahan tentang kenegaraan Islam dalam konteks realiti masa kini. Ruang lingkup perbincangannya cukup luas, meliputi isu-isu semasa seperti sifat hakiki negara dalam Islam, sistem demokrasi, pluralisme, kedudukan dan peranan wanita, juga tentang hak dan tanggungjawab warga bukan-Islam. Buku min Fiqh al-Dawlah adalah hasil ijtihad seorang faqih kontemporari yang menguasai nass dan memahami realiti zaman kini. Al Qaradawiy tidak membahas persoalan politik zaman ini dengan mentaliti ulama abad kelapan atau ketujuh Hijri. Kerana itu perbincangannya terasa realistik dan berpijak di bumi nyata zaman ini. Mengenai sifat hakiki negara dalam Islam beliau tidak lagi menggunakan istilah Maududiy (theo-democracy) atau istilah Muhammad Natsir (theistic democracy), tetapi menggunakan istilah dawlah madaniyyah marja’uha al-Islam (negara sivil yang rujukannya Islam). Dengan demikian negara Islam bukan sebuah negara teokratik yang dikuasai golongan agamawan atas nama Tuhan sebagaimana yang dikenali dalam sejarah politik Barat. Sebenarnya istilah madaniy telah digunakan lebih awal oleh al-Shaykh Muhammad ‘Abdul yang menyebut bahawa pemerintah dalam konteks politik Islam adalah bersifat sivil dari segala segi (hakimun madaniyyun mun jami’ al wujuh). Ketika itu ‘Abduh banyak menerima kritik kerana ungkapannya itu dianggap membuka ruang kepada pemerintahan sekular. Berbeza dengan al Qaradawiy yang mengikat kata madaniy dengan Islam sebagai rujukannya.

Mungkin antara kandungan buku Min Fiqh al-Dawlah yang paling banyak mendapat perhatian ialah pendirian al-Qaradawiy terhadap demokrasi. Selama ini di kalangan warga harakah masih ada perbincangan tentang syura dan demokrasi, dan tentang sejauh mana demokrasi dapat diterima. Umumnya masih ada reservation terhadap demokrasi. Mereka menerima dan berpartisipasi dalam politik demokrasi kerana hanya itu pilihan yang ada ketika ini. Penerimaan yang berbelah bagi terhadap demokrasi mungkin telah berubah apabila al-Qaradawiy dengan nada tegas menerima jawhar al-dimuqratiyyah (esensi demokrasi) yang dianggapnya serasi dengan Islam. Menurut al-Qaradawiy Negara Islam dibangun di atas semurni-murni prinsip demokrasi. Bagaimanapun ini tidak bererti demokrasi negara Islam hanya replika demokrasi Barat yang banyak kecacatannya. Al Qaradawiy mengkritik pelbagai kelemahan demokrasi Barat. Justeru, yang diterima adalah esensi demokrasi, bukan model demokrasi tertentu. (Al Qaradawiy, Yusuf, 1999:36-37)

Sebuah lagi buku al-Qaradawiy tentang politik Islam yang tidak kurang pentingnya ialah al-Siyasah al-Shar’iyyah (1998). Buku tersebut membahas persoalan politik Islam berdasarkan nass dan maqasid al-shari’ah. Antara yang menjadi fokus perbincangannya ialah maslahah dan wewenang uli ‘l-amri dalam membuat dasar dasar berasaskan maslahah. Turut dibincangkan ialah fiqh al-awlawiyyat dan fiqh al-muwazanat serta fiqh al-taghyir (fiqh perubahan). Al-Qaradawiy meletakkan I fiqh al-taghyir sebagai komponen penting al-siyasah al-shar’iyyah. Beliau menggagaskan perubahan yang harus bermula dengan perubahan kejiwaan (al taghyir al-nafsiy) berasaskan pesan ayat 11 surah al-Ra’d, perubahan kejiwaan yang berpangkal pada tauhid (pemurnian ‘aqidah) dan tazkiyah (pemurnian hati). Fiqh al-taghyir menurut al-Qaradawiy harus terangkai dengan fiqh al-waqi’ (kefahaman tentang realiti), fiqh al-awlawiyat dan fiqh al-muwazanat. Beliau juga menyebut tiga kaedah penting dalam melaksanakan perubahan ke arah Islamisasi: i. mengambil kira situasi darurat, ii. kaedah memilih bahaya yang lebih kecil, dan iii. memakai strategi beransur-ansur. (al-Qaradawiy, Yusuf, 1998:320-329). Warga bukan-Islam dalam fiqh al-Qaradawiy

Warga bukan Islam dalam fiqf al-Qaradawiy

Seawal tahun 1979 ABIM sudah mengemukakan Islam sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk. Dalam Ucapan Dasarnya di Muktamar Sanawi ke-8, Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ketika itu menegaskan prinsip karamah insaniyah dan keadilan sosial dalam Islam dapat menjadi landasan pembinaan masyarakat majmuk yang rukun dan harmonis. Faham perkauman sempit dan nasionalisme ras tidak akan mampu menyelesaikan masalah pluralisme.

Kemajmukan sebagai fenomena khas kemalaysiaan menjadi salah satu tema penting pemikiran gerakan Islam di Malaysia. Dalam kaitan ini buku al Qaradawiy, Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama’ al-Islamiy banyak membantu memahami hak dan tanggungjawab Muslim dan bukan-Muslim dalam pemerintahan Islam menurut al-Qur’an, al-Sunnah dan praktiknya dalam sejarah Islam. Tetapi yang lebih mengesankan adalah bukunya, al-Watan wa al Muwatanah fi Daw’ al-Usul al-‘Aqdiah wa al-Maqasid al-Shari’iyyah. Buku yang terbit pada tahun 2010 itu mengandungi penegasan tentang status warga Negara penuh bagi warga bukan-Islam, sama dengan rakan-rakan mereka warga Muslim (muwatinun kaghayrihim min shuraka’ihim min al-Muslimin), suatu penegasan yang berimplikasi bahawa warga bukan-Islam bukan warganegara kelas dua. Selaras dengan itu beliau menyarankan agar istilah-istilah yang sudah tidak relevan seperti dhimmah dan ahl al-dhimmah dihapuskan dari kamus politik masa kini kerana ia tidak lagi dapat diterima oleh masyarakat bukan Islam. Mengenai hubungan warga Muslim dengan warga bukan-Muslim dalam sebuah negara, al Qaradawiy memperkenalkan konsep al-ukhuwwah al-wataniyyah atau persaudaraan setanahair. Dengan alasan itulah beliau menggunakan ungkapan ikhwanuna al-Aqbat (saudara-saudara kita kaum Qibti) ketika merujuk masyarakat Kristian Koptic di Mesir. (al-Qaradawiy, Yusuf, 2010:40-43).

Pemikiran Ekonomi al-Qaradawiy

Ekonomi -- teori dan praktiknya -- adalah bidang yang banyak ditekuni oleh al Qaradawiy sejak awal. Antara buku-bukunya tentang ekonomi yang dikenal luas ialah Fiqh al-Zakah (Fiqh Zakat), Mushkilat al-Faqr wa Kayfa ‘Alajaha al-Islam (Masalah Kemiskinan dan Bagaimana Islam Menanganinya) dan Dawr al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad al-Islamiy (Peranan Nilai dan Akhlak dalam Ekonomi Islam). Tentu sahaja pemikiran ekonomi al-Qaradawiy sangat membantu gerakan Islam yang memang memperjuangkan pelaksanaan sistem ekonomi Islam. Pada satu ketika isu membasmi kemiskinan menjadi menjadi perbincangan umum terutama pada tahun-tahun awal pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Buku Mushkilat al-Faqr dapat memberikan kerangka asas program pembasmian kemiskinan secara Islam. Al-Qaradawiy menghuraikan enam cara mengatasi kemiskinan seperti yang dianjurkan oleh Islam: a. kerja, b. pembiayaan oleh keluarga dan kerabat yang berkemampuan, c. zakat, d. pembiayaan dari khazanah Islam, e. mewajibkan infaq selain zakat, dan f. sedekah sukarela. Al-Qaradawiy juga membuat catatan bahawa kejayaan mengatasi kemiskinan bergantung kepada kewujudan masyarakat Islam dan pelaksanaan ekonomi Islam secara utuh dan menyeluruh. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1994).

Tidak kurang pentingnya ialah buku Dawr al-Qiyam wa al-Akhlaq yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dan diterbitkan oleh ABIM pada tahun 1998. Bagi gerakan Islam, pemikiran tentang nilai dan moral ekonomi memang sangat diperlukan khususnya dalam era obsesi terhadap pembangunan ekonomi. Gerakan Islam harus mampu menawarkan etos kerja yang kuat untuk memacu pertumbuhan ekonomi, di samping harus mampu memberikan landasan etik yang kukuh untuk mencegah perilaku tidak bermoral dalam kegiatan ekonomi.

Al-Qaradawiy dan Isu-isu Ketamadunan

Agenda besar gerakan Islam seterusnya ialah membangun semula tamadun Islam sebagai tamadun dunia pembawa rahmat sejagat. Al-Qaradawiy ternyata mempunyai perharian bersar dan kepedulian yang tinggi terhadap bidang kebudayaan dan ketamadunan. Bukunya, al-Sunnah Masdaran li al-Ma’rifat wa al Hadarah (1997) membawakan dimensi baru dalam kajian al-Sunnah. Di samping dimensi tashri’iy, al-Qaradawiy mengkajinya dari dimensi hadari (ketamadunan) dengan menyerlahkan hakikat bahawa al-Sunnah juga sebenarnya adalah sumber ilmu dan tamadun. Untuk merealisasikan dimensi ketamadunan al-Sunnah itu al Qaradawiy menggagaskan al-fiqh al-hadariy (fiqh ketamadunan). Beliau optimis dengan masa depan tamadun Islam sebagaimana yang dibicarakannya dalam al Islam Hadarat al-Ghadd (Islam Tamadun Akan Datang). Buku yang terbit pada tahun 1998 itu membincangkan kebobrokan tamadun Barat. Tamadun yang dibangun di atas asas sekularisme dan materialisme itu menurut beliau tidak akan mampu bertahan lama. Islamlah satu-satunya kekuatan yang mampu tampil menawarkan alternatif ketamadunan. Tamadun Islamlah yang sebenarnya didambakan oleh dunia, kerana ia adalah tamadun yang komprehensif, seimbang bersemangat tajdidi, berasaskan ilmu dan iman.

Untuk dapat memainkan peranan besar tersebut tamadun dan budaya Islam harus dibina dan diperkasa dengan memelihara ciri-ciri khasnya sebagaimana yang dihuraikannya dalam buku Thaqafatuna bayna al-Infitah wa al-inghilaq, iaitu tamadun yang berciri rabbani, akhlaqi, bersemangat toleransi, menghargai kepelbagaian, moderat (wasatiyah), komprehensif dan bangga dengan jati dirinya. Namun ia tetap terbuka dan akomodatif dalam pengertian kesediaan menerima hikmah dan segala yang bermanfaat dari tamadun-tamadun lain. Bagaimanapun al Qaradawiy mengingatkan bahaya keterbukaan tanpa sikap waspada dan bijaksana, termasuk keterbukaan budaya dalam keadaan belum cukup matang, keterbukaan dengan sikap terlalu mudah mengambil unsur luar, dan keterbukaan yang didorong oleh pesona tamadun asing. (al-Qaradawiy, Yusuf, 2005).

Al-Qaradawiy tampaknya cukup menyedari cabaran ketamadunan masa kini yang berupa rempuhan globalisasi. Dalam bukunya al-Muslimun wa al-‘Awlamah (Umat Islam dan Globalisasi) al-Qaradawiy menyifatkan globalisasi sebagai sejenis penjajahan baru dalam pelbagai bidang: politik, ekonomi, budaya dan agama. Beliau merujuk buku Fukuyama, The End of History yang mengusung propaganda Amerika konon dunia telah sampai kepada ijmak bahawa sejarah sudah berakhir secara muktamad pada sistem kapitalis liberal dan demokrasi Barat. Al-Qaradawiy juga merujuk tulisan Huntington, Clash of Civilizations yang dilihatnya sebagai gambaran sikap permusuhan Barat dengan meletakkan Islam sebagai musuh no.1. Menurut al-Qaradawiy, globalisasi adalah suatu kenescayaan yang tidak terelak, tetapi umat Islam tidak pula harus menyerah dan menerima apa adanya. Beliau menyarankan agar umat Islam bersatu dan bertindak secara kolektif membentengi aqidah, pemikiran dan jati diri kebudayaan mereka. Menurut al Qaradawiy, masalah globalisasi harus ditangani dengan pendekatan wasatiyah, memanfaatkan apa yang positif dan menolak segala yang negatif berbentengkan iman dan sikap percaya diri. Umat Islam harus mempunyai agenda sendiri, iaitu penyejagatan risalah yang sememangnya bersifat ‘alamiyyah. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 2000: 108-133).

Tajdid dan Ijtihad: Sikap al-Qaradawiy

Berdirinya institusi yang dinamakan Markaz al-Qaradawiy li al-Wasatiyyat al Islamiyyat wa al-Tajdid mengisyaratkan dengan jelas bahawa selain wasatiyyah, al-Qaradawiy juga memberikan tumpuan kepada tajdid. Bagi gerakan Islam kontemporari yang menangani pelbagai masalah dan realiti yang sentiasa berubah pesat, orientasi tajdidi adalah suatu kemestian. Kegagalan melakukan tajdid dan pembaharuan akan menjadikannya tidak relevan. Dalam kaitan ini gerakan Islam tidak hanya mendapat manfaat dari pemikiran tajdidi al-Qaradawiy, tetapi juga mendapat panduan bagaimana tajdid seharusnya dilaksanakan. Bukunya al-Fiqh al Islamiy bayna al-Asalat wa al-Tajdid sangat membantu dalam memahami ciri-ciri ilmu fiqh, pengertian tajdid dan panduan melakukan tajdid dalam bidang fiqh.

Tajdid jelas sangat terkait dengan ijtihad yang juga suatu keperluan untuk menangani realiti-realiti baru hari ini. Tetapi ijtihad bukan suatu yang mudah. Banyak persyaratan keilmuan dan etika yang harus dipenuhi. Justeru, ijtihad adalah ilmu dan sekaligus amanah. Dalam kenyataannya memang sering terjadi ijtihad yang terbabas dari landasan, sejenis anarki ijtihad yang mengenepikan segala syarat dan ikatan. Untuk mengawal ijtihad tanpa shurut dan quyud, tanpa qawa’id dan dawabit itulah al-Qaradawiy menulis buku Al-Ijtihad al-Mu’asir bayna al Indibat wa al-Infirat yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Abu Barzani dengan judul Ijtihad Kontemporer, Kode Etik dan Berbagai Penyimpangan (1995). Selain membicarakan soal keperluan ijtihad masa kini , jenis-jenis ijtihad (intiqa’I dan insha’i), buku tersebut juga membicarakan pelbagai penyimpangan dalam praktik ijtihad masa kini seperti pengabaian nass, salah faham tentang nass atau penafsiran nass yang terkeluar dari konteks, menolak ijma`, kesalahan aplikasi qiyas, kegagalan memahami realiti, dan pengutamaan maslahah sehingga mengenepikan nass.

Khatimah

Al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy ternyata seorang tokoh unik, ilmuwan haraki, ulama mujtahid dan mujahid yang mengakar di tengah umat. al-Qaradawiy bukan jenis `ulama' al-sultah yang sanggup menjustifikasikan kezaliman, kemungkaran dan pengkhianatan atas nama agama. Beliau juga bukan jenis ulama pengikut arus dan selera massa. Al-Qaradawiy berani bersetuju dengan siapa sahaja, sebagaimana beliau juga berani berbeza dengan siapa sahaja dengan segala risikonya demi pendapat dan pendirian yang diyakininya. Dengan autoriti, integrity dan kredibiliti keulamaan dan kepemimpinannya al-Qaradawiy memang selayaknya dihormati dan disegani. Bagaimanapun beliau tetap manusia biasa, boleh salah dan boleh betul. Kerana itu setinggi mana pun penghormatan yang kita berikan tidak harus sampai ke tahap mengkultus atau men-taqdis-kannya.

No comments:

Post a Comment