Saturday, 29 December 2012

Sikap Islam Terhadap Kewujudan Agama-Agama Lain


SIKAP ISLAM TERHADAP KEWUJUDAN
AGAMA-AGAMA LAIN
Oleh Dr Ghazali Basri
(Pengantar Ilmu Perbandingan Agama. Halaman  22 – 34)


Pada hakikatnya Islam adalah agama ciptaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang diturunkan untuk manusia dan sekelian makhluk-Nya sejak dari zaman Nabi Adam ‘alaihissalam lagi. Inti kepada ajaran Islam ialah Tauhid dan penurunan syariat telah bermula sejak Nabi Adam, walaupun terdapat perbezaan syari’at dari seorang Nabi-Rasul kepada seorang yang lain, namun risalah Tauhidnya adalah sama

Kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai Nabi dan Rasul terakhir telah menyaksikan penyempurnaan syari'at dan menjadikan Islam sebagai sebuah sistem kehidupan yang lengkap, sesuai dengan sifatnya sebagai agama untuk seluruh umat manusia pada setiap tempat dan zaman sehinggalah hari kiamat.

Kehadiran Islam melalui kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu' Alaihi Wasallam secara kronologi ditempatkan sesudah kehadiran agama-agama Yahudi, Kristian dan Majusi dan beberapa lagi agama bukan wahyu seperti Hindu, Buddha. Hal yang demikian meletakkan Islam dalam posisi yang paling berwibawa dalam menilai serta menentukan pendiriannya terhadap agama-agama yang ia saksikan. Penyaksian Islam bukan sahaja dalam bentuk teori bahkan juga dalam bentuk pengalaman sejarah. Prinsip Umum yang ada pada Islam ialah sikap keterbukaannya. Ayat 56 daripada Surah al-Baqarah (QS2:256) berbunyi:

Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.
(al-Baqarah: 256)

Daripada maksud ayat di atas, dapat dibuat kesimpulan:

  • Soal mengimani satu-satu agama adalah pilihan masing-masing.
  • Untuk mengimani Islam (masuk Islam) adalah atas kerelaan sendiri. Sebarang unsur paksaan atau tekanan akan membatalkan keislaman seseorang.
  • Islam menganjurkan usaha mempelajari, memeriksa dan meneliti segala maklumat benar (kebenaran) sebelum membuat keputusan dalam mengimani sesebuah agama. Hal ini disebabkan kebenaran (haqq) akan pasti terserlah dengan syarat ada usaha menyelidikinya.


Dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Islam member kebebasan dan peluang se1uas-luasnya bagi siapa sahaja di luar Islam untuk meneliti pelbagai ajaran agama bagi tujuan membuat perbandingan dengan ajaran yang terdapat dalam Islam. Di sinilah letaknya keperluan mempelajari agama-agama dan sekaligus juga menggambarkan pendirian Islam terhadap agama-agama lain

Di peringkat yang lebih khusus kita jug dapat memahami pendirian Islam terhadap kewujudan agama-agama lain melalui beberapa ayat al-Qur’an antaranya:

i) Surah Hud ayat 118 ( QS 11: 118)

Jikalau tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat.

ii) Surah al-Nahl ayat 93 (QS 16:93)

Dan kalau Allah menghhendaki, niscaya Dia  menjadikan kamu satu umat (saja) tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan meberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya apa yang telah kamu kerjakan.

Daripada maksud ayat-ayat di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa pertama, Islam mengakui kewujudan pelbagai agama selain daripada Islam, dan apa juga jenis kepercayaan dan anutan yang pernah wujud di kalangan umat manusia sejak dahulu hingga sekarang bahkan juga pada masa akan datang. Kepelbagaian anutan dan fahaman agama yang dapat kita saksikan di kalangan umat dunia sekarang adalah menurut kehendak Allah jua. Ungkapan “jika Tuhanmu menghendaki, tentu Ia akan menjadikan satu umat sahaja” memberi maksud: Allah tidak bermaksud untuk menjadikan umat manusia satu umat (satu agama), walaupun tiada halangan  untuk-Nya, namun inilah kebijaksanaan yang terbentang di hadapan kita. Pengakuan Islam mengenai kewujudan pelbagai agama, tidaklah pula bermaksud Islam mengakui kebenaran agama-agama tersebut. Mengakui kewujudan dan kebenaran adalah dua perkara yang berlainan. Kedua, soal beriman dengan Islam adalah belas kasihan Tuhan kepada hamba-hambaNya. Perkara hidayah adalah mutlak daripada Tuhan yang menentukannya (Q S28: 56). Apa yang terkandung dalam maksud ayat di atas ialah ruang yang secukupnya diberikan kepada manusia menggunakan akal dan ketajaman hati yang dianugerahkan Tuhan kepadanya untuk meneroka, meneliti dan membuat keputusan supaya beriman dengan agama yang benar (Islam). Implikasi daripada dua keadaan yang dibincangkan ini mejelaskan pendirian Islam terhadap agama-agama lain.

Ketiga, dan lebih khusus lagi ialah pendirian Islam terhadap agama-agama yang dianggapnya sebagai serumpun, berpunca daripada syariat yang dibawa oleh Nabi Ibrahim 'Alaihissalam iaitu agama Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Majusi . al-Qur’an menyebutnya sebagai Ahl al-Kitab. Perbincangan khusus mengenai ahl al-kitab akan dibincang dalam ruangan lain. Selain daripada memanggil mereka dengan panggilan khusus (ahl al-kitab) sikap Islam terhadap mereka amatlah simpatis. Kita saksikan ayat berikut: (QS5:82).

Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatnya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini morang Nasrani”. demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-perdeta dan rahib-rahib (juga). kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.

Maksud ayat di atas memberi gambaran kepada kita bahawa orang-orang bukan Islam yakni orang musyrik termasuk juga ahli kitab memang pada dasarnya memusuhi Islam dan umatnya, namun Islam tetap jua memberikan hak-hak mereka beragama, dan masih bersedia mengajak mereka berbaik-baik serta menjalin persahabatan.

Malahan terhadap orang-orang kafir-musyrik sekalipun Islam menyatakan pendiriannya yang amat lunak. Bukan sahaja Islam melarang umatnya dengan sewenang-wenang merusakkan (mencemari) rumah ibadat mereka seperti kuil, vihara dan sebagainya, malah untuk melemparkan kata-kata kesat seperti memaki terhadap tuhan-tuhan (patung-patung) juga mereka dilarang. Kita perhatikan ayat-ayat berikut:

Surah al-‘An’am ayat 108, (QS6:108)

Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.

Seperti yang telah disentuh, persoalan mengenai beriman dengan satu-satu agama adalah sepenuhnya atas ihsan dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah jualah yang menghendakki seseorang hamba-Nya sama ada beriman dengan Islam (Muslim) atau sebaliknya (kafir). Hakikat ini menjelaskan kepada kita bahawa akan ada orang-orang yang masuk ke dalam Islam (beragama Islam) dan sudah tentulah pula akan ada orang pada agama-agama lain. Kita perhatikan ayat-ayat berikut:

i) Surah al-‘An’am ayat 36 (QS6: 36)

Hanya orang-orang yang mendengar sahajalah yang mematuhi seruan Allah, dan orang-orang yang mati hatinya (kufur) akan dibangkitkan oleh Allah, kemudian kepada-Nya mereka dikembalikan.

ii) Surah al-‘An’am ayat 149 (QS6:1a9)

Katakanlah (wahai Muhammad): Allah mempunyai hujjah yang jelas lagi kuat: maka jika Dia menghendaki, pasti Dia memberi petunjuk kepada kamu semua

Selain daripada ayat-ayat al-Qur’an yang sebahagiannya telah kita sebutkan di atas, kita juga dapat menyaksikan sejarah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebaik sahaja Baginda berhijrah ke Madinah. Penggubalan Perlembagaan Madinah (Sahifah al-Madinah) turut dilibatkan penyertaan kaum Yahudi dan Nasrani bagi mewakili kaum mereka. Selain daripada itu sebuah institusi pengajian Yahudi bernama Baitul Midras (sebenarnya sebahagian daripada sinagog-rumah ibadah Orang Yahudi) supaya dipelihara (Ahmad H. Sakr, 1991:10).

Demikian juga halnya dengan kaum Nasrani, mereka diberi layanan sewajarnya oleh Baginda Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Pernah satu ketika satu rombongan Kristian dari Najran (selatan Madinah, Yamen sekarang) terdiri daripada padri, pastor dan beberapa anggota lainnya datang mengunjungi Nabi di Masjid Nabawi. Diceritakan apabila tiba waktu mereka hendak mengerjakan kebaktian (sembahyang), Nabi membenarkan mereka melakukannya dalam kawasan masjid. Kita juga mengetahuai bahawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah mengutus ‘Amr bin Umaiyah al-Damiri mengadakan hubungan politik dan kemudian diiringi dengan penghantaran Ja’afar bin Abi Talib kepada Raja Najashi (Negus) ke Abasynia (Ethiopia sekarang), seorang Kristian. Beliau memberi izin kepada Ja'afar bin Abi Talib dan ahli rombongannya suaka politik bagi mengelak daripada kekejaman kafir Quraisy pada waktu itu. Nabi. Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah member jaminan supaya gereja-gereja orang Kristian bebas daripada sebarang pencerobohan. Jaminan tersebut disampaikan  kepada pembesar rahib bernama Saint Catherine di Bukit Sinai, Palestin (Ahmad Sakr, 1991: hlm 12)'

Pada satu hari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah ditanya oleh sahabat-sahabat baginda tentang sikap Islam terhadap Ahl al-Kitab. Nabi menjawab dengan katanya:

Jangan kamu mempercayai mereka dan jangan pula kamu mendustakan mereka, dan katakana kepada mereka: kami beriman dengan apa-apa yang diturunkan kepada kami, dan yang diturunkan kepada kamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah Satu dan kami hanya kepadaNya berserah diri.
(Riwayat Bukhari)

Daripada maksud hadith di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa sikap Islam terhadap agama samawi/langit seperti Yahudi dan Kristian adalah bersifat hubungan social terbatas (social relations at arm's length). Namun ia tidak bermakna adanya unsur permusuhan. Islam meletakkan dasar bahawa semua pihak pada dasarnya adalah sahabat, kecuali pihak-pihak tersebut mengisytiharkan keadaan sebaliknya (bermusuhan).

KETERBUKAAN ISLAM

Semua agama menganjurkan pemeluknya taat kepada prinsip-prinsip dan ajaran agama yang terkandung di dalamnya. Oleh kerana berpegang kepada sesebuah agama itu berdasarkan kepada kepercayaan serta keyakinan, maka tahap pegangan terhadap agamanya wujud dalam bentuk idealisme atau pun dalam bahasa agama disebut sebagai faith, creed atau iman. Hal inilah yang mendorong seseorang yang beragama itu bersikap bangga terhadap agamanya dan sekaligus mempertahankannya serta ‘menolak’ atau menafikan agama orang lain. Keadaan seperti ini dikenali dengan istilah eksklusif (exclusive). Bersikap eksklusif dalam kehidupan beragama adalah sesuatu yang tabii. Hal ini dapat diketahui daripada pengalaman setiap orang beragama. Jika ditanya tentang sikapnya, pastilah secara jujur ia akan menzahirkan sikap eksklusif tadi, hanya sahaja dalam keadaan mahu menjaga perasaan orang lain ia tidak mahu menyatakan perasaan sebenarnya. Kehidupan beragama secara eksklusif ini pastinya membawa banyak implikasi negatif terurama sekali jika ia tidak dikawal.

Atas kesedaran perlunya dibendung sikap eksklusif ini maka wujudlah pula sebagai lawannya iaitu sikap inklusif (inclusive) dalam kehidupan bergama. Pendekatan inkulsif ini dipengaruhi oleh fahaman liberal dalam beragama. Fahaman ini menganjurkan keterbukaan seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja untuk ‘berkongsi’ pengalaman agama masing-masing sehingga tidak ada tembok pemisah antara satu agama dengan satu agama yang lain. Atas dasar ‘semua agama sama’. ‘semua agama mengajarkan perkara baik’ atau ‘semua agama berasal dari Tuhan yung Satu’maka wujudlah gagasan bersikap inklusif dalam kehidupan beragama. Anjuran inklusif ini juga biasa disandarkan atas prinsip kepentingan perpaduan kaum, kesatuan umat-umat beragama dan seumpamanya sehingga tidak wujud lagi batu tanda atau jati diri yang -menjadi ciri utama agama tersebut.

Selain daripada dua jenis sikap di atas ada satu lagi sikap yang biasa didapati, iaitu sikap tidak acuh atau tidak ambil peduli dalam hal beragama. Sikap ini dikenali sebagai agnostik (agnostic). Orang yang bersikap demikian terdiri daripada mereka yang biasanya dipengaruhi oleh fahaman kebendaan (materialism) dan dalam keadaan yang ekstrim ia menjadi seorang ateis (Ar. mulhid), tidak mempercayai wujudnya Tuhan. Dalam keadaan yang tidak ekstrim seseorang itu biasanya berada dalam kategori ‘bebas agama’ atau free-thinker. Dalam hal ini bersikap agnostic dalam beragama boleh sahaja dijelmakan dalam bentuk free-thinker atau ateis.

Islam mengakui kewujudan pelbagai sikap dalam beragama. Ia sendiri pada hakikatnya memperlihatkan ciri-ciri eksklusif, sifat kewajarannya sebagai agama yang diredhai Allah seperti dalam firman-Nya:

Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah ialah Islam
(ali-Imran: l9)

Dan dalam ayat lain, Firman-Nya;

Sesiapa yang mencari selain daripada Islam, maka ia tidak diterima dan di akhirat nanti ia tergolong dalam orang yang rugi.
(ali-Imran: 85)

Demikian juga dalam dijelaskan oleh Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam Hadithnya:

Islam itu tinggi dan tiada (agama) yang dapat mengatasinya.

Daripada maksud ayat-ayat tersebut di atas jelas kepada kita bahawa agama Islam memang sifatnya eksklusif dan tidak hairanlah bagi siapa juga yang memahami Islam dan beramal dengan ajaran Islam sepenuhnya akan pastilah bersikap eksklusif. Namun demikian, Islam juga menyediakan ruang serta menganjurkan medan intelek: mengkaji, meneliti, menganalisis serta membuat penilaian berhubung dengan kebenaran Islam dalam semua aspek. Hal ini sudah kita sentuh dalam perbahasan terdahulu iaitu dalam kebebasan beragama (memilih agama) dengan memberikan kemampuan intelek manusia berperanan. Dalam ayat La ikraha fi ‘l din, qad tabayyana al-rushd min al-ghayy (al-Baqarah: 256) yang telah kita fahami maksudnya adalah bertujuan untuk mengimbangi ciri eksklusif Islam. Dengan perkataan lain dapatlah disimpulkan bahawa sikap eksklusif yang ada pada Islam diturutsertai dengan sifat rasionalnya. Ringkasnya: ya, Islam bersikap atau berfahaman eksklusif, tetapi eksklusif rasional (rational exclusivism). Sikap Islam yang eksklusif rasionalistik inilah membolehkan Ia mampu berhadapan dengan segala permasalahan manusia pada semua zaman dan tempat, selaras dengan statusnya sebagai agama universal dan serasi dengan fitrah manusia.

Mari kita bandingkan dengan agama lain, dan dalam hal ini agama Kristian. Ajaran Kristian menganjurkan konsep tiada keselamatan/kesejahteraan di luar gereja (there is no salvation outside church) atau dalam ungkapan Latinnya: acclesium nulla salus memberi maksud: siapa yang tidak mengambil Kristian sebagai agamanya, tiada harapan untuknya selamat. Sepanjang perjalanan sejarah agama Kristian yang mula bertapak di Rome, Itali pada tahun 70 Masihi dan kemudian tersebar luas ke Eropah barat sehingga abad ke-l4, sebelum tercetusnya zaman Pencerahan (Renaissance), kita belum menemukan wujudnya sebarang bukti kegiatan intelektual, bahkan sebaliknya seperti yang Barat sendiri akui iaitu wujudnya Zaman Gelap (Dark Ages) - satu gambaran nyata mengenai kongkongan gereja terhadap sebarang bentuk ilmu pengetahuan yang akan berkembang kerana kewujudannya akan menggugat autoriti gereja. Harus disebut bahawa gereja dalam konteks ini bukan bermaksud bangunan atau rumah ibadat tetapi ia merujuk kepada agama Kristian secara umum dan umatnya secara khusus. Dalam konteks ini gereja yang kita fahami diasaskan atas himpunan beberapa doktrin yang tidak boleh dipersoalkan atau dibahaskan lagi kesahihannya. Misalnya dalam menetapkan credo (prinsip iman) agama Kristian ia dibuat dan diputuskan dalam persidangan Nicea pada 325 Masihi. Perintah (decree) pembesar gereja dengan ungkapan “to believe in order to understand” bermaksud “percaya sahaja untuk faham” dikuatkuasakan bagi memastikan autoriti gereja tidak boleh digugat. Ia merupakan sebuah lagi doktrin bagi memelihara doktrin-doktrin sebelumnya seperti doktrin Triniti, doktrin Penebusan Dosa dan doktrin Pelepasan daripada Sengsara (Salvation). Di sinilah letaknya asas mengapa kita menyebutkan sifat eksklusif yang ada pada agama Kristian bersifat dogmatik, berbeza dengan Islam yang sifat sejadinyanya adalah rasionalistik.

(Dr Ghazali Basri (2009). Pengantar Ilmu Perbandingan Agama. Halaman  22 – 34)

1 comment: