SIKAP
ISLAM TERHADAP KEWUJUDAN
AGAMA-AGAMA
LAIN
Oleh Dr Ghazali
Basri
(Pengantar
Ilmu Perbandingan Agama. Halaman 22
– 34)
Pada hakikatnya
Islam adalah agama ciptaan Allah Subhanahu
wa Ta’ala yang diturunkan untuk manusia dan sekelian makhluk-Nya sejak dari
zaman Nabi Adam ‘alaihissalam lagi.
Inti kepada ajaran Islam ialah Tauhid dan penurunan syariat telah bermula sejak
Nabi Adam, walaupun terdapat perbezaan syari’at dari seorang Nabi-Rasul kepada
seorang yang lain, namun risalah Tauhidnya adalah sama
Kerasulan Nabi
Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai
Nabi dan Rasul terakhir telah menyaksikan penyempurnaan syari'at dan menjadikan
Islam sebagai sebuah sistem kehidupan yang lengkap, sesuai dengan sifatnya
sebagai agama untuk seluruh umat manusia pada setiap tempat dan zaman sehinggalah
hari kiamat.
Kehadiran Islam
melalui kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu'
Alaihi Wasallam secara kronologi ditempatkan sesudah kehadiran agama-agama
Yahudi, Kristian dan Majusi dan beberapa lagi agama bukan wahyu seperti Hindu,
Buddha. Hal yang demikian meletakkan Islam dalam posisi yang paling berwibawa
dalam menilai serta menentukan pendiriannya terhadap agama-agama yang ia saksikan.
Penyaksian Islam bukan sahaja dalam bentuk teori bahkan juga dalam bentuk
pengalaman sejarah. Prinsip Umum yang ada pada Islam ialah sikap keterbukaannya.
Ayat 56 daripada Surah al-Baqarah (QS2:256) berbunyi:
Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama
(Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.
(al-Baqarah: 256)
Daripada maksud
ayat di atas, dapat dibuat kesimpulan:
- Soal mengimani satu-satu agama adalah pilihan masing-masing.
- Untuk mengimani Islam (masuk Islam) adalah atas kerelaan sendiri. Sebarang unsur paksaan atau tekanan akan membatalkan keislaman seseorang.
- Islam menganjurkan usaha mempelajari, memeriksa dan meneliti segala maklumat benar (kebenaran) sebelum membuat keputusan dalam mengimani sesebuah agama. Hal ini disebabkan kebenaran (haqq) akan pasti terserlah dengan syarat ada usaha menyelidikinya.
Dapatlah dibuat
kesimpulan bahawa Islam member kebebasan dan peluang se1uas-luasnya bagi siapa
sahaja di luar Islam untuk meneliti pelbagai ajaran agama bagi tujuan membuat
perbandingan dengan ajaran yang terdapat dalam Islam. Di sinilah letaknya
keperluan mempelajari agama-agama dan sekaligus juga menggambarkan pendirian
Islam terhadap agama-agama lain
Di peringkat
yang lebih khusus kita jug dapat memahami pendirian Islam terhadap kewujudan
agama-agama lain melalui beberapa ayat al-Qur’an antaranya:
i) Surah Hud
ayat 118 ( QS 11: 118)
Jikalau tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan
manusia umat yang satu tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat.
ii) Surah al-Nahl
ayat 93 (QS 16:93)
Dan kalau Allah menghhendaki, niscaya
Dia menjadikan kamu satu umat (saja)
tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan meberi petunjuk kepada
siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya apa yang telah
kamu kerjakan.
Daripada maksud
ayat-ayat di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa pertama, Islam mengakui kewujudan pelbagai agama selain daripada Islam,
dan apa juga jenis kepercayaan dan anutan yang pernah wujud di kalangan umat
manusia sejak dahulu hingga sekarang bahkan juga pada masa akan datang.
Kepelbagaian anutan dan fahaman agama yang dapat kita saksikan di kalangan umat
dunia sekarang adalah menurut kehendak Allah jua. Ungkapan “jika Tuhanmu menghendaki, tentu Ia akan menjadikan satu umat sahaja”
memberi maksud: Allah tidak bermaksud untuk menjadikan umat manusia satu umat
(satu agama), walaupun tiada halangan untuk-Nya, namun inilah kebijaksanaan yang
terbentang di hadapan kita. Pengakuan Islam mengenai kewujudan pelbagai agama,
tidaklah pula bermaksud Islam mengakui kebenaran agama-agama tersebut. Mengakui
kewujudan dan kebenaran adalah dua perkara yang berlainan. Kedua, soal beriman dengan Islam adalah belas kasihan Tuhan kepada
hamba-hambaNya. Perkara hidayah adalah mutlak daripada Tuhan yang menentukannya
(Q S28: 56). Apa yang terkandung dalam maksud ayat di atas ialah ruang yang secukupnya
diberikan kepada manusia menggunakan akal dan ketajaman hati yang dianugerahkan
Tuhan kepadanya untuk meneroka, meneliti dan membuat keputusan supaya beriman
dengan agama yang benar (Islam). Implikasi daripada dua keadaan yang
dibincangkan ini mejelaskan pendirian Islam terhadap agama-agama lain.
Ketiga, dan
lebih khusus lagi ialah pendirian Islam terhadap agama-agama yang dianggapnya
sebagai serumpun, berpunca daripada syariat yang dibawa oleh Nabi Ibrahim
'Alaihissalam iaitu agama Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Majusi . al-Qur’an menyebutnya
sebagai Ahl al-Kitab. Perbincangan
khusus mengenai ahl al-kitab akan dibincang
dalam ruangan lain. Selain daripada memanggil mereka dengan panggilan khusus (ahl al-kitab) sikap Islam terhadap
mereka amatlah simpatis. Kita saksikan ayat berikut: (QS5:82).
Sesungguhnya kamu dapati orang-orang
yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah
orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat
persahabatnya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata:
“Sesungguhnya kami ini morang Nasrani”. demikian itu disebabkan kerana di
antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-perdeta dan
rahib-rahib (juga). kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.
Maksud ayat di
atas memberi gambaran kepada kita bahawa orang-orang bukan Islam yakni orang
musyrik termasuk juga ahli kitab memang pada dasarnya memusuhi Islam dan
umatnya, namun Islam tetap jua memberikan hak-hak mereka beragama, dan masih
bersedia mengajak mereka berbaik-baik serta menjalin persahabatan.
Malahan terhadap
orang-orang kafir-musyrik sekalipun Islam menyatakan pendiriannya yang amat
lunak. Bukan sahaja Islam melarang umatnya dengan sewenang-wenang merusakkan
(mencemari) rumah ibadat mereka seperti kuil, vihara dan sebagainya, malah
untuk melemparkan kata-kata kesat seperti memaki terhadap tuhan-tuhan (patung-patung)
juga mereka dilarang. Kita perhatikan ayat-ayat berikut:
Surah al-‘An’am
ayat 108, (QS6:108)
Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan
yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan
melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat
menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali
mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.
Seperti yang
telah disentuh, persoalan mengenai beriman dengan satu-satu agama adalah
sepenuhnya atas ihsan dan petunjuk Allah Subhanahu
wa Ta’ala. Allah jualah yang menghendakki seseorang hamba-Nya sama ada
beriman dengan Islam (Muslim) atau sebaliknya (kafir). Hakikat ini menjelaskan
kepada kita bahawa akan ada orang-orang yang masuk ke dalam Islam (beragama
Islam) dan sudah tentulah pula akan ada orang pada agama-agama lain. Kita
perhatikan ayat-ayat berikut:
i) Surah al-‘An’am
ayat 36 (QS6: 36)
Hanya orang-orang yang mendengar
sahajalah yang mematuhi seruan Allah, dan orang-orang yang mati hatinya (kufur)
akan dibangkitkan oleh Allah, kemudian kepada-Nya mereka dikembalikan.
ii) Surah al-‘An’am
ayat 149 (QS6:1a9)
Katakanlah (wahai Muhammad): Allah mempunyai
hujjah yang jelas lagi kuat: maka jika Dia menghendaki, pasti Dia memberi
petunjuk kepada kamu semua
Selain daripada
ayat-ayat al-Qur’an yang sebahagiannya telah kita sebutkan di atas, kita juga
dapat menyaksikan sejarah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebaik sahaja Baginda berhijrah ke Madinah.
Penggubalan Perlembagaan Madinah (Sahifah al-Madinah) turut dilibatkan
penyertaan kaum Yahudi dan Nasrani bagi mewakili kaum mereka. Selain daripada
itu sebuah institusi pengajian Yahudi bernama Baitul Midras (sebenarnya
sebahagian daripada sinagog-rumah ibadah Orang Yahudi) supaya dipelihara (Ahmad
H. Sakr, 1991:10).
Demikian juga
halnya dengan kaum Nasrani, mereka diberi layanan sewajarnya oleh Baginda Nabi
Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Pernah satu ketika satu rombongan Kristian dari Najran (selatan Madinah, Yamen sekarang)
terdiri daripada padri, pastor dan beberapa anggota lainnya datang mengunjungi
Nabi di Masjid Nabawi. Diceritakan apabila tiba waktu mereka hendak mengerjakan
kebaktian (sembahyang), Nabi membenarkan mereka melakukannya dalam kawasan
masjid. Kita juga mengetahuai bahawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah mengutus ‘Amr bin Umaiyah al-Damiri
mengadakan hubungan politik dan kemudian diiringi dengan penghantaran Ja’afar
bin Abi Talib kepada Raja Najashi (Negus) ke Abasynia (Ethiopia sekarang),
seorang Kristian. Beliau memberi izin kepada Ja'afar bin Abi Talib dan ahli
rombongannya suaka politik bagi mengelak daripada kekejaman kafir Quraisy pada
waktu itu. Nabi. Muhammad Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam pernah member jaminan supaya gereja-gereja orang Kristian bebas
daripada sebarang pencerobohan. Jaminan tersebut disampaikan kepada pembesar rahib bernama Saint Catherine
di Bukit Sinai, Palestin (Ahmad Sakr, 1991: hlm 12)'
Pada satu hari
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam
pernah ditanya oleh sahabat-sahabat baginda tentang sikap Islam terhadap Ahl al-Kitab. Nabi menjawab dengan
katanya:
Jangan kamu mempercayai mereka dan jangan
pula kamu mendustakan mereka, dan katakana kepada mereka: kami beriman dengan
apa-apa yang diturunkan kepada kami, dan yang diturunkan kepada kamu, Tuhan
kami dan Tuhan kamu adalah Satu dan kami hanya kepadaNya berserah diri.
(Riwayat Bukhari)
Daripada maksud
hadith di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa sikap Islam terhadap agama
samawi/langit seperti Yahudi dan Kristian adalah bersifat hubungan social terbatas
(social relations at arm's length).
Namun ia tidak bermakna adanya unsur permusuhan. Islam meletakkan dasar bahawa
semua pihak pada dasarnya adalah sahabat, kecuali pihak-pihak tersebut
mengisytiharkan keadaan sebaliknya (bermusuhan).
KETERBUKAAN
ISLAM
Semua agama
menganjurkan pemeluknya taat kepada prinsip-prinsip dan ajaran agama yang
terkandung di dalamnya. Oleh kerana berpegang kepada sesebuah agama itu
berdasarkan kepada kepercayaan serta keyakinan, maka tahap pegangan terhadap
agamanya wujud dalam bentuk idealisme atau pun dalam bahasa agama disebut
sebagai faith, creed atau iman. Hal inilah yang mendorong seseorang
yang beragama itu bersikap bangga terhadap agamanya dan sekaligus
mempertahankannya serta ‘menolak’ atau menafikan agama orang lain. Keadaan
seperti ini dikenali dengan istilah eksklusif (exclusive). Bersikap eksklusif dalam kehidupan beragama adalah
sesuatu yang tabii. Hal ini dapat diketahui daripada pengalaman setiap orang
beragama. Jika ditanya tentang sikapnya, pastilah secara jujur ia akan
menzahirkan sikap eksklusif tadi, hanya sahaja dalam keadaan mahu menjaga
perasaan orang lain ia tidak mahu menyatakan perasaan sebenarnya. Kehidupan beragama
secara eksklusif ini pastinya membawa banyak implikasi negatif terurama sekali
jika ia tidak dikawal.
Atas kesedaran
perlunya dibendung sikap eksklusif ini maka wujudlah pula sebagai lawannya
iaitu sikap inklusif (inclusive)
dalam kehidupan bergama. Pendekatan inkulsif ini dipengaruhi oleh fahaman
liberal dalam beragama. Fahaman ini menganjurkan keterbukaan seluas-luasnya
kepada sesiapa sahaja untuk ‘berkongsi’ pengalaman agama masing-masing sehingga
tidak ada tembok pemisah antara satu agama dengan satu agama yang lain. Atas
dasar ‘semua agama sama’. ‘semua agama mengajarkan perkara baik’ atau ‘semua
agama berasal dari Tuhan yung Satu’maka wujudlah gagasan bersikap inklusif
dalam kehidupan beragama. Anjuran inklusif ini juga biasa disandarkan atas prinsip
kepentingan perpaduan kaum, kesatuan umat-umat beragama dan seumpamanya
sehingga tidak wujud lagi batu tanda atau jati diri yang -menjadi ciri utama agama
tersebut.
Selain daripada
dua jenis sikap di atas ada satu lagi sikap yang biasa didapati, iaitu sikap
tidak acuh atau tidak ambil peduli dalam hal beragama. Sikap ini dikenali sebagai
agnostik (agnostic). Orang yang bersikap
demikian terdiri daripada mereka yang biasanya dipengaruhi oleh fahaman kebendaan
(materialism) dan dalam keadaan yang
ekstrim ia menjadi seorang ateis (Ar.
mulhid), tidak mempercayai wujudnya Tuhan. Dalam keadaan yang tidak ekstrim
seseorang itu biasanya berada dalam kategori ‘bebas agama’ atau free-thinker. Dalam hal ini bersikap agnostic
dalam beragama boleh sahaja dijelmakan dalam bentuk free-thinker atau ateis.
Islam mengakui
kewujudan pelbagai sikap dalam beragama. Ia sendiri pada hakikatnya
memperlihatkan ciri-ciri eksklusif, sifat kewajarannya sebagai agama yang diredhai
Allah seperti dalam firman-Nya:
Sesungguhnya agama (yang diterima) di
sisi Allah ialah Islam
(ali-Imran:
l9)
Dan dalam ayat
lain, Firman-Nya;
Sesiapa yang mencari selain daripada
Islam, maka ia tidak diterima dan di akhirat nanti ia tergolong dalam orang
yang rugi.
(ali-Imran: 85)
Demikian juga
dalam dijelaskan oleh Nabi Muhammad Sallallahu
'Alaihi Wasallam dalam Hadithnya:
Islam itu tinggi dan tiada (agama) yang dapat
mengatasinya.
Daripada maksud
ayat-ayat tersebut di atas jelas kepada kita bahawa agama Islam memang sifatnya
eksklusif dan tidak hairanlah bagi siapa juga yang memahami Islam dan beramal
dengan ajaran Islam sepenuhnya akan pastilah bersikap eksklusif. Namun
demikian, Islam juga menyediakan ruang serta menganjurkan medan intelek: mengkaji,
meneliti, menganalisis serta membuat penilaian berhubung dengan kebenaran Islam
dalam semua aspek. Hal ini sudah kita sentuh dalam perbahasan terdahulu iaitu
dalam kebebasan beragama (memilih agama) dengan memberikan kemampuan intelek
manusia berperanan. Dalam ayat La ikraha fi ‘l din, qad tabayyana al-rushd
min al-ghayy (al-Baqarah: 256) yang telah kita fahami maksudnya adalah bertujuan untuk mengimbangi ciri
eksklusif Islam. Dengan perkataan
lain dapatlah disimpulkan bahawa sikap eksklusif yang ada pada Islam
diturutsertai dengan sifat rasionalnya. Ringkasnya: ya, Islam bersikap atau berfahaman
eksklusif, tetapi eksklusif rasional (rational
exclusivism). Sikap Islam yang eksklusif rasionalistik inilah membolehkan
Ia mampu berhadapan dengan segala permasalahan manusia pada semua zaman dan
tempat, selaras dengan statusnya sebagai agama universal dan serasi dengan
fitrah manusia.
Mari kita bandingkan
dengan agama lain, dan dalam hal ini agama Kristian. Ajaran Kristian
menganjurkan konsep tiada keselamatan/kesejahteraan di luar gereja (there is no salvation outside church) atau dalam ungkapan Latinnya: acclesium nulla salus memberi maksud:
siapa yang tidak mengambil Kristian sebagai agamanya, tiada harapan untuknya
selamat. Sepanjang perjalanan sejarah agama Kristian yang mula bertapak di
Rome, Itali pada tahun 70 Masihi dan kemudian tersebar luas ke Eropah barat sehingga
abad ke-l4, sebelum tercetusnya zaman Pencerahan (Renaissance), kita belum menemukan wujudnya sebarang bukti
kegiatan intelektual, bahkan sebaliknya seperti yang Barat sendiri akui iaitu wujudnya
Zaman Gelap (Dark Ages) - satu
gambaran nyata mengenai kongkongan gereja terhadap sebarang bentuk ilmu
pengetahuan yang akan berkembang kerana kewujudannya akan menggugat autoriti
gereja. Harus disebut bahawa gereja dalam konteks ini bukan bermaksud bangunan
atau rumah ibadat tetapi ia merujuk kepada agama Kristian secara umum dan umatnya
secara khusus. Dalam konteks ini gereja yang kita fahami diasaskan atas
himpunan beberapa doktrin yang tidak boleh dipersoalkan atau dibahaskan lagi
kesahihannya. Misalnya dalam menetapkan credo
(prinsip iman) agama Kristian ia dibuat dan diputuskan dalam persidangan Nicea
pada 325 Masihi. Perintah (decree)
pembesar gereja dengan ungkapan “to
believe in order to understand” bermaksud “percaya sahaja untuk faham”
dikuatkuasakan bagi memastikan autoriti gereja tidak boleh digugat. Ia
merupakan sebuah lagi doktrin bagi memelihara doktrin-doktrin sebelumnya seperti
doktrin Triniti, doktrin Penebusan Dosa dan doktrin Pelepasan daripada Sengsara
(Salvation). Di sinilah letaknya asas
mengapa kita menyebutkan sifat eksklusif yang ada pada agama Kristian bersifat dogmatik,
berbeza dengan Islam yang sifat sejadinyanya adalah rasionalistik.
(Dr
Ghazali Basri (2009). Pengantar Ilmu
Perbandingan Agama. Halaman 22 – 34)
saya nak follow
ReplyDelete