Monday, 11 March 2013

Demokrasi, Pluraliti & PRU-13


DEMOKRASI, PLURALITI DAN PRU-13
Siddiq Fadzil Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) 
(Teks ucapan di Konvensyen Pencerdasan Rakyat, di Dewan Kompleks Belia dan kebudayaan, Shah Alam, pada 9hb.Mac 2013).



Pilihan raya dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harus disambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang bukan lagi “suara anjing menyalak bukit”, tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab. Dalam kaitan inilah relevannya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.

Demokrasi dan Media

Dalam era kekuasaan media, rakyat seringkali tidak dapat melihat sesuatu dalam realiti seadanya. Banyak negara yang masih mengamalkan pilihan raya, tetapi tidak mengamalkan kebebasan media (freedom of the press), yang diamalkan adalah kebebasan daripada media (freedom from the press) dalam pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan sorotan media. Media yang telah kehilangan kebebasan dan diperburuk dengan kehilangan etika tidak lagi mampu memaparkan kebenaran, tetapi lebih banyak bertindak sebagai alat propaganda politik, termasuk menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam. Demikianlah orientasi sebahagian media masa kini sehingga kita harus mengajak rakyat lebih tekun berdo`a: Rabbana arina ‘l-haqqa haqqan wa ‘rzuqna ‘ttiba`ah, wa arina ‘l-batila batilan wa ‘rzuqna ‘jtinabah (Ya Tuhan, perlihatkan kami kebenaran itu nyata benarnya dan kurniakan kami keupayaan mengikutinya, dan perlihatkan kami kebatilan itu nyata batilnya dan kurniakan kami keupayaan menghindarinya). Kebebasan media adalah bahagian integral daripada demokrasi. Kerana itu pilihan raya tanpa kebebasan media hanya akan menghasilkan pemerintahan yang kehilangan legitimasi demokratik (democratic legitimacy).

Sebagai image maker media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang tampak bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon. Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan parti yang bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan membuat pilihan yang tepat jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media propaganda.

Mengundi Sebagai Kesaksian

Dilihat dari perspektif agama, mengundi dalam pilihan raya bukan sekadar hak, yang boleh diterima dan boleh pula ditolak. Lebih daripada itu sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Shaykah Yusuf al-Qaradawiy, ia adalah kewajiban pelaksanaan kesaksian (shahadah) yang tidak boleh ditolak apabila dipanggil, “…Dan janganlah saksi-saksi itu menolak apabila dipanggil. …” -- al-Baqarah:282. Tidak keluar mengundi bererti menyembunyikan kesaksian (katm al-shahadah), suatu kesalahan berat yang dicela dalam al-Qur’an, “…Dan janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana barangsiapa menyembunyikannya, sungguh, hatinya kotor (berdosa)…” --- alBaqarah: 283. Kesaksian dalam konteks pilihan raya bererti pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi intelektual). Kerana itu yang harus layak bukan hanya calon dan parti, tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian yang terumus pada kata al-`adl (keadilan), “…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu…” -- al-Talaq:2. Kesaksian adalah amanah. Mengundi parti atau calon yang tidak layak adalah penghkhianatan terhadap amanah yang menepati istilah qawla ‘zur (kesaksian palsu) dalam al-Qur’an. Memberikan kesaksian palsu adalah dosa berat yang digandingkan dengan syirik sebagaimana yang firmankan oleh Allah s.w.t., “…,maka jauhilah (penyembahan) berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan dusta.” -- al-Hajj:30. Ternyata mengundi dalam pilihan raya tidak hanya memerlukan kefahaman serba-serbi tentang demokrasi, tetapi juga kesedaran tanggungjawab moral. Justeru, kesaksian harus dilaksanakan dengan jujur, semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan diri, kaum kerabat dan suku-sakat, “…dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah.” --. al-Talaq:2. Untuk memungkinkan rakyat melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya dalam pilihan raya, mereka tidak boleh naïf -- tidak mengerti bahasa politik, tidak mampu memahami sepak teranjang serta simpang-siur politik, dan tidak dapat mengenal mana wajah asli dan mana wajah hiasan citra kosmetik. Ranah politik memang banyak jebakan dan jerangkap samarnya, ada angguk yang bererti tidak, ada geleng yang bermakna ia, dan banyak sumpah yang mengandung fitnah.

Demokrasi hanya akan sihat dan subur di tengah rakyat yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened. Demokrasi akan mati dalam oreintasi politik ke-fir`aun-an yang mengekalkan kekuasaan dengan strategi pembodohan rakyat, “(Dengan yang demikian) maka Fir`aun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka..” -- al-Zukhruf:54. Rakyat yang telah lama diperbodoh tidak lagi mampu membezakan keadilan daripada kezaliman, mereka tidak tahu bahawa hak-hak asasinya dirampas, dan tidak sedar kekayaannya dirompak. Yang mereka tahu siapa yang memberikan wang adalah orang baik yang wajar disokong, tanpa menyedari bahawa si pemberi sebenarnya adalah penyamun yang telah merompak habis harta-bendanya. Jadilah mereka rakyat yang senasib dengan kaum Nabi Hud `a.s. yang setia menyokong kezaliman, “…dan (mereka) menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi durhaka.’ -- Hud:59; atau menjadi rakyat yang bodoh sombong seperti kaum Nabi Nuh `a.s., “…dan mereka mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah kerugian baginya. -- Nuh:21.

Perubahan Politik dan Politik Perubahan

Bagi warga gerakan Islam, yang penting bukan sekadar perubahan politik dalam erti pertukaran parti pemerintah semata-mata. Yang diperjuangkan oleh gerakan Islam adalah politik perubahan dalam pengertian berlakunya perubahan hakiki ke arah aktualisasi cita-cita Islamiah -- prinsip dan nilainya, hukum dan maqasidnya. Aspirasi politik gerakan Islam adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilainilai moral amanah, ketelusan dan kesederhanaan; terjaminnya keselamatan dan ketertiban, dan terlaksananya pemerintahan rule of law yang religius dan berintegriti. Politik perubahan yang kita perjuangkan meliputi realisasi maqasid al-shari`ah dalam erti yang setepat dan selengkapnya, bukan sekadar slogan-sloganan dan pidato-pidatoan. Objektif memelihara jiwa (hifz al-nafs) harus dilaksanakan dalam pengertian bukan sekadar melindungi nyawa, tetapi juga jaminan kualiti hidup yang selayaknya sebagai manusia bermaruah dan bermartabat. Objektif memelihara agama (hifz al-din) harus dilaksanakan dalam pengertian pendaulatan dan penghayatan ajaran-ajarannya di segala ranah kehidupan. Objektif memelihara akal (hifz al-`aql) harus dilaksanakan dalam pengertian membangun daya fikir dan membina rakyat yang cerdas dan enlightened. Objektif memelihara harta (hifz al-mal) harus dilaksanakan dalam pengertian pembangunan ekonomi dan pengawalan kekayaan negara dari pembaziran, pembolotan dan segala bentuk penyelewengan. Objektif memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula harus dilaksanakan dalam pengertian pembinaan generasi yang bersih, kuat dan terdidik dengan sempurna.

Sistem Dua Parti

Yang harus menjadi perhitungan utama dalam demokrasi elektoral adalah khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Untuk itu parti pemerintah perlu disaingi dan ditandingi oleh parti alternatif yang kuat, a formidable force yang sewaktu-waktu boleh menggantikannya sebagai pemerintah. Kehadiran dua kekuatan politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik. Keadaan seperti itu akan menumbuhkan sikap taken for granted, “sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana tidak ada alternatif.”. Dengan kata lain, dalam konteks masa kini, sistem dua parti adalah suatu keperluan bagi menjamin wujudnya persaingan yang real dan bererti. Rakyat akan mendapat khidmat yang lebih baik dalam politik yang memungkinkan berlakunya pertukaran kuasa pemerintahan dari semasa ke semasa.

Politik Baru dan Tahaluf Siyasiy

Setelah lebih setengah abad merdeka, rakyat Malaysia mulai memperlihatkan tandatanda keinginan menerokai politik baru. Politik kapitalisme kroni dan perkauman sempit tidak lagi dapat dipertahankan dalam arus kebangkitan politik moral dan idealisme keadilan dan kebersamaan. Tahaluf siyasiy (pakatan politik) Muslim-bukan Muslim dalam ranah politik plural adalah suatu eksperimen yang wajar diberi ruang dalam konteks politik baru yang realistik berasaskan nilai-nilai luhur yang disepakati bersama. PRU-12 telah memperlihatkan isyarat bermulanya politik pembebasan dari kepompong politik perkauman. Rakyat membuat pilihan tidak lagi berasaskan kaum, tetapi berasaskan idealisme -- keadilan dan kebebasan, maruah dan martabat keinsanan, integriti moral dan pelayanan yang lebih baik.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kehadiran warga bukan Muslim harus diakui sebagai realiti yang diambilkira dalam penggagasan sebarang formula politik. Umat Islam yang semakin terdedah kepada wacana-wacana politik Islam kontemporari, semakin bersikap terbuka dan bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan warga bukan Muslim. Ternyata antara impak terbesar fenomena kebangkitan Islam adalah kefahaman yang lebih mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk dasar-dasar politiknya. Sikap mejauhi golongan bukan Muslim semata-mata kerana ketidak-Islaman mereka telah berubah setelah memahami hakikat konsep ukhuwwah (persaudaraan) yang luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat. Al-Qur’an tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara) – al-Hujurat:10, tetapi menyebut juga persaudaraan kebangsaan lewat pengkisahan tentang hubungan antara para anbiya’ dan mursalin (Nuh, Lut, Hud dan Salih `a.s.) dengan kaum masingmasing yang menolak dakwah, (tetap dalam kekafiran kesyirikan) tetapi masih dianggap saudara, (…akhuhum Nuh…) – al-Shu`ara’: 105, 106, (…akhuhum Lut…) -- alShu`ara’: 160,161, (…akhuhum Hud) -- al-Shu`ara’:124, dan ( …akhuhum Salih ) -al-Shu`ara’:142. Kata akhuhum dalam ayat-ayat tersebut bererti saudara.

Memang tidak semua orang bukan Muslim itu musuh, malah tidak sedikit yang memperlihatkan semangat setiakawan sehingga kaum Muslimin berasa terharu dengan kebaikannya. Ketika Rasulullah s.`a.w. menderita kelaparan dalam kepungan dan pemulauan oleh Quraysh di Shi`b Abi Talib selama tiga tahun tanpa bekalan makanan, seorang bukan Muslim, Hisham ibn `Amr al-`Amiriy tidak sampai hati menyaksikan kezaliman yang ditimpakan ke atas saudara-saudara sebangsanya. Beliau nekad melanggar larangan Quraysh demi simpatinya terhadap umat Islam yang kelaparan. Setiap malam, setelah semua orang tidur nyenyak Hisham menghantarkan bekalan makanan sebanyak yang terdaya dibawa oleh seekor himarnya. Nama Hisham ibn `Amr al-`Amiriy abadi dalam sejarah sebagai orang bukan Muslim yang berjasa besar meringankan derita umat Islam ketika tidak ada orang yang sanggup melakukannya. (Khalid, `Amr, 2006:70)

Tahaluf siyasiy dalam konteks masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi elektoral tentunya akan membawa kepada pembahasan isu pengangkatan calon bukan Islam sebagai wakil rakyat. Dalam kaitan ini al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa isu pengangkatan wakil rakyat tidak sampai dan tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah. Wakil rakyat bukan amir, bukan wazir dan bukan juga wali. Ia hanya mewakili sejumlah warga di kawasan tertentu. Tugasnya hanya menyuarakan kepentingan rakyat yang diwakilinya, kalau pun ikut menggubal undangundang, ia tidak melibatkan hukum-hakam agama yang dinaskan secara muhkam. (AlQaradawiy, Yusuf, 1999: 194-195).

Seandainya pengangkatan mereka sebagai wakil rakyat akan berhujung dengan pelantikan mereka sebagai menteri sekalipun, ia tidak menjadi isu, kerana pada zaman tamadun Islam dahulu pun, para ulama mengharuskan pelantikan orang bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai menteri pelaksana (wazir al-tanfidh). Sejarah mencatatkan ramai orang bukan Islam yang menjadi menteri dalam kerajaan Abbasiyah, dan tidak ada bantahan ulama terhadap mereka. Memberikan kepercayaan dengan tanggungjawab tertentu kepada orang bukan Islam yang memang boleh dipercaya tidak perlu dipermasalahkan. Jika lelaki Muslim boleh mengahwini wanita bukan Muslim kitabiyyah, bukankah itu juga bererti mempercayakan tugas pengurusan rumahtangga dan tanggungjawab keibuan kepada orang bukan Islam?

Sebagai sesama warganegara, hak dan tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim - pada asasnya adalah sama. Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan mereka memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang tidak menghalang memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan Muslim, andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan terhadap kaum Muslimin. Demikianlah yang difirmankan oleh Allah:

Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil.
al-Mumtahanah:8.

Merujuk ayat tersebut al-Shaykh Yusuf al-Qaradawiy menyebut bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Islam sedemikian itu termasuklah pemberian ruang untuk mereka menganggotai majlis-majlis perwakilan. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1999: 195). Dengan semangat ayat tersebut juga kita boleh membuat rumusan bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Muslim termasuk juga menepati janji untuk saling mendukung dalam kerjasama politik, khususnya dalam pilihan raya. Justeru, menepati janji adalah bahagian daripada tuntutan syara`.

Mengadakan tahaluf siyasiy dengan golongan bukan Muslim bukanlah suatu bid`ah politik yang tidak berdasar. Sebelum diutus membawa risalah Islam Nabi s.`a.w. sudah berpatisipasi dalam Hilf al-fudul, sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin Arab untuk menghadang pencerobohan dan melindungi kaum mustad`afin. Sesudah diangkat menjadi Rasul, Junjungan s.`a.w. mengenang peristiwa tersebut dengan penuh rasa penghargaan terhadap pakatan yang bermotif kebaikan itu dengan bersabda, “Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya”.

Dalam amalan demokrasi di negara ini, ketua kerajaan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi pilihan raya. Pengangkatannya dilakukan menerusi wakil-wakil rakyat di parlimen. Kerana itu pilihan raya umum menjadi sangat penting kerana ia juga terkait dengan pengangkatan orang no.1 negara yang banyak menentukan untung nasib rakyat dan negara. Rakyat tentunya menginginkan negara ini dipimpin oleh tokoh yang bersih, berwibawa dan berkompetensi, bukan sekadar tokoh selebriti politik. Untuk mencapai keinginan tersebut, mengundi dalam pilihan raya umum harus juga didasarkan pada perhitungan memilih wakil yang dapat menjadi saluran terpilihnya ketua kerajaan yang menepati atau yang lebih menghampiri kualiti qawiyyun amin dan hafizun `alim.

Mekanisme Pilihan Raya dan Budaya Politik

Untuk menjayakan demokrasi elektoral kita memerlukan mekanisme pilihan raya yang bersih, cekap dan berkecuali. Mekanisme pilihan raya harus benar-benar mampu menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat untuk rakyat; mekanisme yang dapat menjamin bahawa yang naik adalah yang terbaik. Dengan demikian kemenangan yang diraih oleh seseorang calon atau sesebuah parti, benar-benar jelmaan kemenangan rakyat. Pilihan raya yang bersih akan menggembirakan semua pihak kerana yang menang bukan wang, bukan rasuah, bukan kecurangan dan bukan penipuan, tetapi yang menang adalah demokrasi yang memang diperjuangkan oleh semua.

Dalam kaitan ini kita harus menyuarakan keprihatinan terhadap biaya pilihan raya yang terlalu mahal, sehingga yang selalu menjadi masalah ketika menghadapi pilihan raya adalah soal dana. Pilihan raya yang mahal akan membuka pintu rasuah seluas-luasnya. Ia akan mengundang pelaburan para pemilik dana (kapitalis/korporat/cukong), dan apabila berlaku persekongkolan politik dengan bisnes, bererti kiamatlah moral politik. Justeru, moral politik tidak akan laku di tengah kemeriahan pasar jual-beli undi.

Ketika ini wang seolah-olah sudah menjadi bahasa politik. (tidak ada wang, tidak ada politik!). Wanglah yang menjadi tonggak kekuatan politik, wanglah penentu elektibiliti parti dan akhirnya wang jugalah yang menentukan pemenangnya. Dalam budaya politik korup seperti itu wang dapat membeli segala-gala: suara rakyat, lawan politik, jentera, media dan segalanya. Pilihan raya adalah kesempatan terbaik merebut peluang melabur dalam politik (pilihan raya) untuk mendapat pulangan dalam bentuk projek dan kontrak kerajaan selepas pilihan raya. Budaya politik wang akhirnya akan berakibat terbentuknya kerajaan yang korup. Untuk melindungi kuasa yang korup institisiinstitusi penegak undang-undang dilemah dan dilumpuhkan. Itulah yang akan berlaku kepada institusi-institusi seperti kepolisan, kehakiman, jabatan peguam negara, SPRM, SPR dan lain-lainnya. Demikianlah transformasi yang akan terjadi, dari agen penegak keadilan dan ketertiban menjadi alat melindungi korupsi. Justeru, kekuatan institusiinstitusi ini akan mengancam kelangsungan kuasa yang korup.

Apabila politik sudah menjadi sejenis bisnes orang berduit, tertutuplah peluang untuk mendapatkan pemimpin yang baik, bermoral dan berintegriti. Para pelabur tidak akan mendanai pemimpin yang kuat dan pro-rakyat, sebaliknya mereka akan membiayai “pemimpin” tajaan mereka sendiri yang nanti akan dapat mereka kuasai. Ini bukan mimpi, tetapi realiti yang telahpun terjadi. Fenomena penguasaan orang bisnes ke atas ahli-ahli politik inilah yang diungkapkan oleh Noreena Hertz dalam bukunya, The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. Beliau mengatakan,

Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant, and dishonest. People see their government as unable to deliver what they promie, obsessed with unimportant issues and internal politicking, riddled with corruption, clinging to outmoded notions of authority, and increasingly in the pockets of businesspeople. The distinction between incompetence and dishonesty is becoming blurred as, in country after country, senior politicians are discovered to have engaged in corrupt practices. (Hertz, Noreena, 2003: 121)

Dalam budaya politik yang dikuasai oleh duit, mereka yang tidak mahu menjadi calon tajaan kaum berduit harus menyingkir meskipun berkualiti dan berpotensi menjadi pemimpin yang baik.

Tidak kurang memprihatinkan adalah gejala politik kekerasan. Demokrasi seharusnya menjadi pentas adu kekuatan idea, bukan otot dan lengan. Politik samseng adalah pengkhianatan terhadap prinsip dan nilai demokrasi elektoral. Politik adu kekuatan fizikal adalah amalan masyarakat yang tidak bertamadun. Parti-parti politik yang menjunjung prisip dan nilai demokratik seharusnya mampu membina massa demokrat yang menghormati aturan main yang bersih dan beradab. Yang pertama dan utama adalah memenangkan demokrasi itu sendiri. Manusia demokrat tulen tidak akan sanggup mencederai demokrasi atau melukai warga pengamal demokrasi, semata-mata kerana ingin memenangkan diri dan kelompok sendiri. Rakyat yang setia kepada nilai dan norma demokrasi harus tegas menolak politik kekerasan, termasuk politik mengancam, mengugut, manakut-nakutkan dan lain-lainnya.

Perjuangan menegakkan demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan pencerdasan dan pemberdayaan rakyat. Justeru, demokrasi hanya akan punya erti jika rakyat memiliki kekuatan daya fikir dan keberanian bersikap. Para pendukung demokrasi harus siap melawan pembodohan dan pemiskinan. Politik yang didukung golongan yang bodoh dan miskin akan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan. Bagi mereka warganegara yang efektif, cerdas, kritis dan tidak bergantung adalah bahaya yang akan menggugat kekuasaan yang sewenang-wenang. Memang survival penguasa yang zalim selamanya bergantung pada kebodohan dan kemiskinan rakyat. Rakyat yang miskin dan yang bodoh selalu mengundi atas pertimbangan kepentingan peribadi dan habuan jangka pendek yang bersifat kebendaan, bukan atas pertimbangan jangka panjang yang bersifat public virtues, kebaikan bersama atau maslahah `ammah

Gerakan Islam dan Misi Demokratisasi

Gerakan Islam yang setia pada misi taghyir al-munkar, merubah kemungkaran (rasuah, fitnah, kezaliman, penindasan, pemborosan dan yang sejenisnya), harus menggunakan hak demokratiknya mengundi dalam pilihan raya dengan niat suci melaksanakan amanat Nabi s.`a.w., “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya…” Gerakan Islam tidak seharusnya menjadi alat mempertahankan kebobrokan. Merelakan diri diperalat untuk motif sedemikian itu adalah suatu penodaan terhadap kemurnian risalah dan sekaligus pengkhianatan terhadap idealisme perjuangan kader-kader Islamis.

Gerakan Islam juga turut memikul tanggungjawab meratakan pendidikan demokrasi. Rakyat harus disedarkan bahawa demokrasi adalah prinsip, nilai dan mekanisme yang perlu di pelajari, difahami dan dihayati secara murni dan konsisten. Demokrasi bukan sekadar pilihan raya, yang dilaksanakan asal jadi, atau asal ada. Yang dituntut bukan pilihan raya asal-asalan, tetapi pilihan raya yang bersih, adil dan efisien. Rakyat perlu lebih kritis terhadap SPR agar institusi tersebut menjadi lebih berwibawa, berintegriti dan bermaruah sebagai badan pelaksana yang berkecuali dan adil. Rakyat perlu dididik dengan budaya politik yang sihat menerusi semangat persaingan fa ‘stabiqu ‘l-khayrat, penegakan moral politik dan seterusnya penolakan terhadap politik fitnah, politik wang dan politik curang.

KAU INI BAGAIMANA ATAU AKU HARUS BAGAIMANA

Kau ini bagaimana?
Kau bilang aku merdeka, kau pilihkan untukku segalanya
Kau suruh aku berpikir, aku berpikir kau tuduh aku kapir
Aku harus bagaimana?

Kau bilang bergeraklah, aku bergerak kau curigai
Kau bilang jangan banyak tingkah, aku diam saja kau waspadai
Kau ini bagaimana?

Kau suruh aku pegang prinsip, aku memegang prinsip kau tuduh aku kaku
Kau suruh aku toleran, aku toleran kau bilang aku plin-plan
Aku harus bagaimana?

Kau suruh aku maju, aku maju kau srimpung kakiku
Kau suruh aku bekerja, aku bekerja kau ganggu aku
Kau ini bagaimana?

Kau suruh aku taqwa, khutbah keagamaanmu membuat aku sakit jiwa
Kau suruh aku mengikutimu, langkahmu tak jelas arahnya
Aku harus bagaimana?

Kau suruh aku menghormati hukum, kebijaksanaanmu menyepelekannya
Kau suruh aku berdisiplin, kau menyontohkan yang lain
Aku harus bagaimana?

Kau bilang Tuhan sangat dekat, kau sendiri memanggilnya dengan pengeras suara tiap saat
Kau bilang kau suka damai, kau ajak aku setiap hari bertikai
Aku harus bagaimana?

Kau suruh aku membangun, aku membangun kau merusaknya
kau suruh aku menabung, aku menabung kau menghabiskannya
Kau ini bagaimana?

Kau suruh aku menggarap sawah, sawahku kau tanami rumah-rumah
Kau bilang aku harus punya rumah, aku punya rumah kau meratakannya dengan tanah
Kau ini bagaimana?

Aku kau larang berjudi, permainan spekulasimu menjadi-jadi
Aku kau suruh bertanggungjawab, kau sendiri terus berucap wallahu a`lam bissawab
Kau ini bagaimana?

Kau suruh aku jujur, aku jujur kau tipu aku
Kau suruh aku sabar, aku sabar kau injak tengkukku
Aku harus bagaimana?

Kau suruh aku memilihmu sebagai wakilku, sudah kupilih kau bertindak semaumu
Kau bilang kau selalu memikirkanku, aku sapa saja kau merasa terganggu
Kau ini bagaimana?

Kau bilang bicaralah, aku bicara kau bilang aku ceriwis
Kau bilang jangan banyak bicara, aku bungkam kau tuduh aku apatis
Aku harus bagaimana?

Kau bilang kritiklah, aku kritik kau marah
Kau bilang cari alternatifnya, aku kasih alternatif kau bilang jangan mendikte saja
Kau ini bagaimana?

Aku bilang terserah kau, kau tidak mahu
Aku bilang terserah kita, kau tak suka
Aku bilang terserah aku, kau memakiku
Kau ini bagaimana?
(K.H.A.Mustofa Bisri, 1987)

Rujukan:

  1. Al-Mawardiy, Abu al-Hasan `Aliy ibn Muhammad ibn Habib. t. t. Al-Ahkam alSultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
  2. Al-Mu`askariy, Abu Ahmad Muhammad Balqard ibn Ahmad. 2005. Mafhum alHizbiyyat al-Siyasiyyah wa hukmuha fi al-Islam. Al-Jaza’ir: Dar alKhalduniyyah.
  3. Al-Qaradawiy, Yusuf. 1999. Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Shuruq.
  4. George, Cherian. 2012. Freedom from the Press: Journalism and State Power in Singapore. Singapore: NUS Press
  5. Hertz, Noreena. 2003. The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. New York: Harper Business.
  6. Khalid, Amr. 2006. `Ala Khuta ‘l-Habib S.`A.W. Beirut: Al-Dar al-`Arabiyyah li al`Ulum

Tuesday, 29 January 2013

Memugar Pendidikan Keinsanan


MEMUGAR PENDIDIKAN KEINSANAN
Siddiq Fadzil
(Teks ucapan di Majlis Konvokesyen ke-20, Kolej Dar al-Hikmah,
di Dewan Besar Esset, Bangi, pada 19hb. Januari 2013)


Setiap kali diadakan majlis konvokesyen kita tidak pernah lupa mengingatkan seluruh warga Dar al-Hikmah tentang sejarah kelahiran institusi ini yang dilatari kesedaran perlunya mendirikan IPT alternatif di tengah krisis yang sedang melanda dunia pendidikan. KDH tidak lahir dari motif bisnes, ia tampil sebagai jelmaan idealisme dan cita-cita murni pemugaran insaniyyat al-insan pada saat pendidikan kehilangan esensinya sebagai proses penyempurnaan dan pengutuhan insan. Latar kesejarahan ini harus sentiasa segar dalam ingatan agar institusi ini tidak akan kehilangan arah terutama dalam era menggejalanya politisasi dan komersialisasi pendidikan yang semakin menjadi-jadi. Pentingnya kesedaran kesejarahan dalam konteks organisasi di sebut oleh sejarawan strategi bisnes dari Harvard, Alfred D. Chandler Jr., "How can you know where you're going if you don't know whre you've been?". (HBR, December 2012:50).

Menyedari hakikat KDH sebagai sebuah institusi perjuangan, maka konvokesyen dalam tradisi Dar al-Hikmah bukan sekadar perhimpunan ceremonial, tetapi lebih merupakan perhimpunan heroik yang kental dengan semangat jihad kependidikan. Memang, bagi kita pendidikan bukan sekadar sebuah projek, dan bukan juga sekadar sebuah aktiviti keorganisasian, tetapi lebih daripada itu pendidikan adalah al-jihad al-tarbawiy, suatu perjuangan yang hanya dapat dilaksanakan oleh mereka yang berjiwa dan berwatak pahlawan. Justeru, di ranah pendidikan kita harus melawan arus dehumanisasi yang menjelma dalam pelbagai kekuatan: pembodohan, pembutaan, pendangkalan, pembelengguan, pelecehan dan penurunan darjat keinsanan. Untuk membangun manusia yang terdidik rohani dan jasmani dengan seimbang dan terpadu kita harus melawan pemikiran sekularistik yang mempersepsikan manusia sebagai an earthly-bound man, makhluk ketanahan yang telah kehilangan dimensi kerohaniannya. Ternyata manusia dalam perspektif sekular bukan lagi insan dalam al-Qur'an yang dimuliakan dengan al-takrim al-Ilahiy dan diistimewakan dengan hembusan ruh Ilahi (al-nafkh al-Ilahiy).

Hakikat berlakunya krisis penghakisan ciri-ciri kemanusiaan dalam sistem pendidikan moden telah banyak diwacanakan, tetapi sebahagian para promoter pendidikan sekular terlalu sombong untuk mengakui adanya krisis kemanusiaan yang amat fundamental itu. Mudah-mudahan sikap "bodoh-sombong" mereka akan segera menurun dengan terbitnya buku Truth, Beauty, and Goodness Reframed: Educating for the Virtues in the Twenty First Century oleh Howard Gardner. Dalam buku tersebut tokoh pendidikan Harvard itu telah melakukan semacam koreksi terhadap idea-idea kependidikannya yang terdahulu yang sangat berorientasi materialistik dan pragmatik. Lewat karya terbarunya itu Gardner menggagaskan pendidikan yang lebih humanioristik dengan liputan yang lebih komprehensif merangkumi filsafat, psikologi, sejarah dan kebudayaan. Sebelum ini telah terbit buku Excellence without a Soul oleh Harry R. Lewis yang juga dari Harvard. Segala yang diungkapkan oleh kedua-dua tokoh dari Harvard itu dapat dianggap sebagai suatu kesaksian tentang masalah yang sedang membelit sektor pendidikan, khususnya di Amerika Syarikat, oleh orang Amerika Syarikat sendiri. Para pendukung pendidikan model Amerika boleh meremehkan suara Dar al-Hikmah, tetapi bagaimana mungkin mereka meremehkan idea dari Harvard, institusi yang menjadi kiblat mereka selama ini. Kesaksian oleh para ilmuwan Barat tentang dunia Barat ini mungkin mirip pemerian al-Qur'an (tentang Nabi Yusuf `a.s. dan isteri al-`Aziz):

                                                                 وشهد شاهد من أهلها

Seorang saksi dari keluarganya (sendiri) memberikan kesaksian 
surah Yusuf:26.

Keprihatinan terhadap isu insaniyyat al-insan dalam pendidikan bukan suatu yang mengada-ngada. Memang manusia sepanjang zaman sentiasa berhadapan dengan risiko kejatuhan martabat keinsanan dari ahsani taqwim merudum kepada asfala safilin. Satu-satunya kekuatan penyelamat dari bencana kemanusiaan tersebut adalah pendidikan yang berteraskan iman dan amal salih. Al-Qur'an sendiri menyebut manusia sebagai makhluk yang bersifat zaluman jahula. Ia zalim, dan yang pertama dizalimi adalah dirinya sendiri -- menjatuhkan martabat dirinya dari sebaik-baik kejadian menjadi serendah-rendah makhluk. Ia juga jahil, tidak tahu hakikat dirinya dan tidak tahu memelihara ketinggian martabat keinsanannya. Kerana itu tokoh-tokoh pendidikan dalam sejarah dan tradisi Islam umumnya memberikan tumpuan khusus pada persoalan insaniyyat al-insan. Dalam kaitan ini al-Sallabiy menyebut tentang pemikiran kependidikan al-Shaykh al-`Izz ibn abd al-Salam yang memusat pada isu insaniyyat al-insan, iaitu pendidikan yang berorientasi pemeliharaan dan pengembangan potensi dan ciri keinsanan secara utuh dan menyeluruh. (Al-Sallabiy, 2008:72-73). Dalam karya tulisnya Ahwal al-Nas ulama penyandang gelar Sultan al-`Ulama' itu mengungkapkan pendidikan rohaniah yang meliputi persoalan-persoalan tentang al-muraqabah, al-khawf, dan muhasabah dhatiyyah berasaskan hakikat keinsanan yang memang tahu tentang dirinya dan segala perlakuannya:

                            بل الإنسان على نفسه بصيرة

Bahkan manusia menjadi saksi atas dirinya sendiri
Al-Qiyamah:14.

Pendidikan kerohanian yang menekankan hubungan vertikal (hablun mina 'Llah) sedemikian itulah yang dapat membentuk watak dan akhlak mulia, memberikan kekuatan menghindari segala kekejian, menumbuhkan rasa damai dan bahagia dalam amal taqarrub kepada Tuhan, membangkitkan daya tahan menghadapi kesukaran, dan membina kesabaran menantikan ganjaran yang tertangguh. Pendidikan kerohanian yang sekaligus menekankan juga hubungan horizontal (hablun mina 'n-nas) dapat membina watak sosial yang sihat berasaskan nilai-nilai kasih-sayang, keadilan dan empati kemanusiaan. Kesedaran tentang spiritual intelligence tampaknya mulai tumbuh, termasuk di dunia bisnes dan pengurusan yang sudah mulai mewacanakan isu spiritual capital.

Pendidikan insaniyyat al-insan adalah pendidikan aktualisasi seluruh potensi keinsanan, termasuk potensi seni, imajinasi dan kreativiti. Manusia harus dididik mengapresiasi dan menikmati keindahan. Justeru, keindahan adalah nikmat kurnia Tuhan Yang Maha Indah. Keindahan tidak terbatas hanya pada yang bersifat hissiy (fizikal-material), tetapi juga yang bersifat maknawi dan rohani. Pendidikan seni harus dapat menumbuhkan daya apresiasi terhadap jamal (keindahan) ketuhanan yang terserlah pada Nama-Nama Indah-Nya (Asma'u 'Llahi 'l-husna) sehingga timbul rasa kagum dan terdorong untuk menghayatinya dalam batas keupayaan insaninya (al-takhalluq bi akhlaqi 'Llah). Dalam kaitan inilah seni dapat membantu pendidikan nilai-nilai murni al-ma`rufat yang pada hakikatnya merupakan puncak-puncak keindahan maknawi.

Manusia pada dasarnya adalah makhluk kreatif, yang kerana daya kreativitinya itulah ia layak menjadi khalifah dengan misi pengimarahan bumi -- memproduksikan khazanah manfaatnya yang terpendam, dan menyerlahkan keindahannya yang tersembunyi. Dilihat dari perspektif Islam, daya kreativiti dalam pengertian kemampuan menghasilkan suatu yang baru, asli, indah dan bermanfaat, bukan sekadar suatu keperluan dalam persaingan ekonomi global, malah suatu kemestian dalam pengaktualisasian misi kekhalifahan di bumi. Dunia hari ini sangat memerlukan idea-idea baru untuk melaksanakan pembangunan yang mampan (sustainable development) dan menyelesaikan pelbagai krisis yang sedang dialaminya. Segala masalah -- politik, ekonomi dan sosial -- akan dapat diatasi dengan lebih mudah dan cepat andainya wujud a healthy marketplace of ideas, sebuah pasar besar idea-idea baru yang segar dan bernas, hasil sumbangan kolektif masyarakat manusia yang kreatif dan berminda terbuka.

Malangnya, dunia seolah-olah sedang mengalami kemandulan idea, suatu bencana ketamadunan yang menjerumuskan umat manusia di pelbagai rantau ke dalam jurang petaka dan kemelut yang berlarut-larut: peperangan, krisis ekonomi, keruntuhan moral, bencana alam dan segala macam musibah lainnya. Demikianlah hakikatnya, negara sedigdaya Amerika Syarikat yang selama ini dianggap the world's sole superpower, the "new Rome" and the "indispensible country" juga tidak terkecuali dari bencana kemerosotan kreativiti. Majalah Newsweek, 19Julai 2010 mengangkat isu Creativity in America menerusi makalah panjang oleh Po Bronson dan Ashley Merryman berjudul, "The Creativity Crisis: for the first time, research shows that American creativity is declining. What went wrong -- and how we can fix it." Penulisnya belum dapat menyatakan secara pasti sebab terjadinya kemerosotan tersebut, tetapi menyebut kemungkinan antara puncanya adalah jumlah masa yang dihabiskan oleh anak-anak di hadapan TV dan bermain videogames, sedang rentang waktu sepanjang itu seharusnya digunakan untuk melakukan kegiatan-kegiatan kreatif. Sebab lain ialah ketiadaan creativity development di sekolah-sekolah. Kemampuan berkreasi rata-rata ditentukan semata-mata oleh nasib, "there's no concerted effort to nurture the creativity of all children.".

Menghilangnya dimensi insaniyyat al-insan dalam pendidikan hari ini memang semakin terasa. Ilmu-ilmu tentang kehidupan duniawi yang dalam tradisi Islam terpadu dengan `aqidah, syari`ah dan akhlak, kini bukan hanya semakin terlepas dari agama, malah semakin terpisah dari kemanusiaan. Seyyed Hossein Nasr menyebut ekonomi sebagai contoh ilmu yang dahulu terpadu dengan etik dan moral, tetapi kini telah terpisah, "when economics becomes a 'science' almost independent of human beings, dealing only with quantity without any regard for the qualitative aspects of life." (Nasr, Seyyed Hossein, 1993:244).

Keprihatinan terhadap gejala terisolasi dan terpisahnya ilmu ekonomi dari manusia dan kehidupan nyata telah disuarakan juga oleh Ronald Coase, professor emeritus di University of Chicago, ilmuwan senior yang pernah memenangi hadiah Nobel bidang ekonomi. Dalam tulisannya Saving Economics from The Economists beliau menyesali malang yang menimpa ilmu ekonomi yang tercabut dari realiti kehidupan, "The degree to which economics is isolated from ordinary business of life is extraordinary and unfortunate." Pada saat lahirnya ilmu ekonomi moden, Adam Smith malihatnya sebagai kajian tentang sifat dan sebab harta kekayaan bangsa-bangsa (a study of the "nature and causes of the wealth of nations"). Karyanya yang monumental, The Wealth of Nations dibaca oleh khalayak luas, termasuk ahli-ahli perniagaan sekalipun Smith secara terang-terangan mengecam mereka sebagai golongan yang tamak, berpandangan singkat dan pelbagai sifat negatif lainnya. Buku tersebut juga berjaya merangsang perdebatan di kalangan ahli-ahli politik tentang perdagangan dan dasar-dasar ekonomi umumnya. Ketika itu jumlah ahli ekonomi masih sangat sedikit dan mereka memerlukan khalayak ramai. Sehingga awal abad 20, Alfred Marshall masih dapat mempertahankan ilmu ekonomi sebagai kajian tentang harta kekayaan dan sebagai suatu cabang kajian tentang manusia (as "both a study of wealth and a branch of the study of man".). Dengan demikian ilmu ekonomi masih relevan dengan masyarakat manusia awam, juga sektor perdagangan dan perindustrian. Bagaimanapun selepas itu ilmu ekonomi mulai memperkukuh dirinya menjadi ikhtisas yang terpisah dari dunia ekonomi sebenar. Ahli-ahli ekonomi menulis untuk sesama mereka sendiri, seolah-olah tidak lagi memerlukan khalayak di luar lingkungan mereka. Gagasan-gagasan mereka semakin bersifat teoretikal, abstrak dan spekulatif sehingga sukar untuk dijadikan panduan bagi para usahawan dan pengurus dalam mengendalikan kegiatan perekonomian mereka. Akibatnya ekonomi diurus bukan dengan ilmu, moral dan etik, tetapi hanya dengan bakat, pengalaman dan pertimbangan peribadi pemimpin-pemimpin bisnes sendiri. Ketika dunia ekonomi ditimpa krisis, mereka tidak datang ke fakulti enonomi untuk mendapatkan panduan mengatasimya, sebaliknya mereka berpaut pada kuasa politik untuk mendapatkan pakej penyelamatan. Dalam era perkembangan ekonomi yang semakin mengglobal dan berasaskan ilmu (knowledge economy), dunia ekonomi memerlukan kekuatan ilmu, tetapi seperti yang disebut oleh Coase, "But knowledge will come only if economics can be reoriented to the study of man as he is and the economic system as it actually exist." (HBR, December 2012:36).

Terpisahnya ilmu ekonomi dari nilai-nilai moral kemanusiaan, dan pemencilannya dari realiti dunia ekonomi mengakibatkan tindak-tanduk para pelaku di sektor ekonomi tidak terkendali, dan akhirnya menjerumuskan negara raksaksa Amerika ke jurang krisis ekonomi yang berlarutan hingga ke hari ini. Yang tampak sebagai gejala krisis ekonomi itu pada hakikatnya adalah jelmaan suatu krisis yang lebih mendasar iaitu krisis nilai. Hakikat inilah yang diungkapkan oleh Jeffrey Sachs, profesor di Columbia University yang pada tahun 2004 dan 2005 disenaraikan oleh majalah Time dalam kelompok seratus orang paling berpengaruh di dunia. Dalam bukunya The Price of Civilization beliau menyebut krisis moral sebagai akar bencana ekonomi yang sedang menimpa Amerika. Katanya:

At the root of America's economic crisis lies a moral crisis: the decline of civic virtue among America's political and economic elite. A society of markets, laws, and elections is not enough if the rich and powerful fail to behave with respect, honesty, and compassion toward the rest of society and toward the world. America has developed the world's most competitive market societybut has squandered its civic virtue along the way. Without restoring an ethos of social responsibility, there can be no meaningful and suntained economic recovery.
(Sachs, Jeffrey, 2012:3).

Krisis ekonomi hanyalah akibat dari krisis yang lebih mendasar, iaitu krisis nilai moral di kalangan elit politik dan ekonomi. Ekonomi Amerika hanya untuk kepentingan segelintir kaum elit terutama golongan super-kaya, "Too many of America's elites -- among the super-rich, the CEOs, and many of my colleagues in academia -- have abandoned a commitment to social responsibility. They chase wealth and power, the rest of society be damned." (Sachs, Jeffrey, 2012:5). Demikianlah perilaku rakus dan serakah golongan elit Amerika, pemimpin-peminpin politiknya, tokoh-tokoh korporatnya, dan malah ahli-ahli akademiknya juga yang mementingkan diri, mengautt kekayaan dan membolot kekuasaan, tanpa kepedulian terhadap derita sengsara rakyat awam. Dalam konteks dominasi kaum elit yang telah menginjak-injak civic virtues, tidak akan berlaku pemulihan ekonomi, kecuali apabila nilai-nilai moral dan etos tanggungjawab sosial kembali didaulatkan. Pada hakikatnya citra buruk kaum elit itu bukanlah gambaran sebenar bangsa Amerika keseluruhannya. Menurut Sachs, rakyat awam Amerika rata-rata masih memiliki kekuatan moral: berfikiran luas dan waras, moderat, dan dermawan. Tetapi akibat keruntuhan institusi-institusi politik, mereka tidak dapat mengawal kesewenang-wenangan kaum elit.

Bencana yang menimpa suatu bangsa gara-gara perilaku bejat kaum elitnya, mengingatkan kita kepada sunnatu 'Lah tentang kehancuran bangsa-bangsa:

  وإذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقىا فيها فحقّ عليها القىل فدمّرناها تدميرا.

Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati Allah, tetapi bila mereka melakukan kedurhakaan di dalam (negeri) itu, maka sewajarnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman Kami), kemudian Kami binasakan sama sekali (negeri itu)
surah al-Isra':16

Untuk menangani masalah kesewenang-wenangan kaum elit seperti itu satu-satu-nya kekuatan yang dapat diharapkan adalah kuasa rakyat. Dalam kaitan inilah relevannya pendidikan kewarganegaraan yang berorientasikan pembinaan warganegara yang baik dan efektif. Rakyat perlu dididik menjadi warganegara yang bermaruah, bermoral, cerdas, kritis, bertanggungjawab dan berperikemanusiaan. Dengan demikian rakyat akan memiliki keupayaan bertindak mempertahankan hak-hak kemanusiaan dan kewarganegaraan mereka, dan sekaligus memiliki keberanian melawan segala bentuk pelanggaran civic virtues: kezaliman, keserakahan, kecurangan dan kesewenang-wenangan.

Menjayakan pendidikan insaniyyat al-insan ternyata tidak mudah, terutama dalam era kebangkitan ghairah materialistik, pragmatik dan utilitarian di sektor pendidikan. Ketika ini kita sedang menyaksikan kemunculan fenomenal institusi-institusi berjenama corporate university. Institusi-institusi pengajian tinggi tajaan badan-badan korporat ini lahir dari ketidakpuasan terhadap universiti-universiti tradisional yang dinilai gagal melahirkan tenaga kerja dengan ketrampilan yang sesuai dengan keperluan dunia keusahawanan. "Big companies are setting up university campuses all over the world to help produce the kinds of employees they most need." (Margolis, Mac., 2010: 41). Perkembangan IPT model universiti korporat begitu pesat sehingga disebut the fastest-growing sector in higher education, dan dijangka dalam waktu dekat jumlah pengambilan pelajarnya akan mengatasi universiti-universiti tradisional. Penubuhan universiti korporat memang ada justifikasinya, dan kekuatannya dalam bidang-bidang tertentu juga harus diakui; tetapi yang menimbulkan keprihatinan adalah orientasinya yang terlalu menumpu pada pembinaan tenaga kerja mengikut keperluan syarikat penajanya. Apakah ini bererti bahawa dimensi kemanusiaan, moral dan etik akan terkorban? Dalam isu ini kita berkongsi kekhuatiran dengan ahli-ahli akademik prihatin yang keberatan dengan orientasi yang terlalu pragmatik-materialistik, "Many traditional academics won't hear of putting 'university' and 'corporate' in the same sentence and claim that business is enslaving universities to the profit motive." (Margolis, Mac., 2010:42).

Sekadar selingan, kami sampaikan maklumat "pelik tapi benar" bahawa di daerah Surat Thani (Thailand Selatan), sejak 1957 telah berdiri sebuah institusi, Monkey Training College. Majalah Preferred, edisi Malaysia, jil.12, 2012, menyiarkan liputan tentang kolej tersebut yang menawarkan kursus melatih beruk memetik buah kelapa. Dengan jumlah pengambilan pelajar maksimum 10 ekor setiap kali pengambilan, para graduan MTC mudah mendapat pekerjaan, malah selalu menjadi rebutan para pemilik kebun kelapa. Pelajar-pelajar MTC menjalani latihan berdasarkan kurikulum yang bertahap, bermula dengan latihan asas bagaimana memulas buah kelapa hingga jatuh dengan menggunakan alat yang mudah. Ini diikuti dengan latihan amali memanjat pohon kelapa tiruan, setelah lulus barulah beranjak ke pokok yang asli. Subjek lain yang juga diajarkan ialah latihan amali pelbagai kemahiran termasuk cara melepaskan diri dari belitan tali dan bagaimana membezakan buah kelapa yang masak daripada yang belum. Jangka masa kursus ialah antara tiga hingga enam bulan mengikut kemampuan individual beruk. Pelajar-pelajar yang cemerlang meneruskan latihan penguasaan kemahiran-kemahiran lain termasuk bagaimana menaiki kenderaan (belakang motosikal atau kenderaan lain), juga bagaimana memasukkan buah-buah kelapa yang telah dipetik ke dalam guni. Beruk-beruk yang berkebolehan istimewa diberi pilihan untuk melanjutkan kursus di sekolah tinggi, dengan jaminan pihak pengurusan kolej, "we can teach your monkey practically anything you want it to do". (Khoo, Diana, Preferred, vol.12, 2012:37-38).

Maklumat selingan ini kami sampaikan bukan tanpa mesej. Mudah-mudahan ada yang sudi merenung persoalan yang berbangkit dari paparan kisah Monkey Training College tersebut. Andainya IPT hanya berorientasi penyiapan tenaga kerja yang trampil, dengan mengabaikan pendidikan keinsanan, lalu apa istimewanya sebuah universiti manusia berbanding sebuah pusat latihan haiwan mamalia?.

Pendidikan seharusnya tidak hanya menggarap persoalan skill atau kemahiran semata-mata, yang lebih penting adalah pembinaan watak (character building). Ketika ini persoalan otak dan watak muncul menjadi isu besar yang menyedut perhatian ramai, terutama selepas terjadinya beberapa tragedi ngeri yang melibatkan warga sekolahan. Beberapa bulan yang lalu masyarakat Indonesia digegarkan oleh serangkaian peristiwa "tawuran" pelajar atau perkelahian berdarah antara sekolah sehingga mengakibatkan sejumlah kematian. Sementara itu terjadi pula peristiwa penembakan brutal di Amerika yang mengorbankan puluhan jiwa. Seorang mahasiswa berusia 24 tahun, James Eagan Holmes tiba-tiba muncul di pentas pawagam Century Sixteen yang sedang menayangkan filem The Dark Night Rises. Senjata api di tangannya (pistol Glock caliber 40 dan senapang buatan Smith&Wesson AR-15) meledakkan tembakan bertubi-tubi menghabisi 12 orang dan melukai 58 orang yang sedang menonton tayangan perdana filem Batman tersebut. Yang menjadi persoalan, bagaimana mahasiswa berotak cerdas dan memiliki rekod akademik yang cemerlang itu boleh menjadi penjenayah seganas itu?

Tidak lama berselang terjadi lagi penembakan ngeri yang membunuh 20 orang murid darjah satu dan 6 orang guru Sekolah Rendah Sandy Hook, Newtown, Connecticut. Pelakunya, Adam Lanza, 20 tahun di katakan seorang penyendiri yang mengalami masalah kelainan jiwa. Tentu sahaja tragedi-tragedi berdarah yang menggemparkan itu membangkitkan keprihatinan pelbagai pihak, terutama mengenai biang penyebab perilaku teror seperti itu. Antara yang dituding sebagai penyebabnya ialah kelonggaran undang-undang pemilikan senjata api di Amerika syarikat. Turut disalahkan adalah industri perfileman yang banyak mengeluarkan filem-filem berunsur keganasan dan kekerasan. Selain itu ada juga yang menyingkap pengalaman kekerasan dalam sejarah bangsa Amerika, termasuk budaya cowboynya yang terus terlestari mewarnai perwatakan mereka.

Yang pasti, gejala (tawuran dan penembakan) tersebut jelas terkait dengan kegagalan pendidikan membina karakter bangsa. Segala yang terjadi itu hanyalah sebahagian kecil daripada harga yang harus dibayar kerana meremehkan insaniyyat al-insan, kerana terobsesi dengan kecerdasan intelek semata-mata, dan kerana mengabaikan pembangunan insan secara utuh dan menyeluruh meliputi kecerdasan spiritual, kecerdasan emosional dan kecerdasan sosial. Yang harus dibina bukan hanya generasi berotak, tetapi juga generasi yang berwatak dan berjati diri.

Pendidikan jati diri dan character building harus berasaskan nilai-nilai agama dan budaya sendiri, bukan dengan menyerap nilai-nilai tamadun asing. Pengalaman masa lalu mengajar kita bahawa penerapan nilai-nilai Barat seperti materialisme kapitalistik-individualistik dan yang sejenisnya telah merosak watak bangsa. Dua buah buku yang pada suatu ketika dipromosikan sebagai karya cemerlang pembangun watak bangsa, iaitu Revolusi Mental dan The Malay Dilemma, pada hakikatnya sarat dengan pemikiran kapitalisme politik Melayu yang menumbuhkan persekongkolan elit politik dengan elit ekonomi dalam keserakahan kapitalisme kroni. Dalam penilaiannya terhadap kedua-dua buah buku tersebut, Shaharuddin Maaruf mengatakan, "Revolusi Mental and The Malay Dilemma represented the thinking of Malay capitalism which has tasted political power. As a result, the works emphasise the interplay of political power and Malay capitalism, and can therefore be regarded as documents of Malay political capitalism." (Shaharuddin Maaruf, 1988:138-139). Demikianlah nilai-nilai asing telah membentuk watak rakus dan mementingkan diri di kalangan elit bangsa kita.

Yang kita inginkan bukan hanya generasi terpelajar, tetapi juga generasi terdidik yang berwatak insan ulu 'l-albab, penggabung zikir dan fikir, perenung dan pengagum ayat-ayat Tuhan, lalu insaf dalam khashyatu 'Llah. Justeru, bagi kaum ulu 'l-albab, insan bernurani dan berakal tinggi, kebenaran Ilahi adalah segala-gala. Mereka menjadi kuat dan berani kerana memiliki kebenaran. Untuk tampil sebagai manusia berwatak memang memerlukan keberanian terutama dalam era kebejatan etika dan keruntuhan integriti moral. Dalam gagasannya menghadapi abad 21, cendekiawan ulung Indonesia, Soedjatmoko mengaspirasikan generasi yang berwatak kompeten, berprinsip dan memiliki "keberanian hidup sebagai manusia berakhlak." (Soedjatmoko, 1991:103). Dalam nada yang hampir sama, Sasterawan Negara Usman Awang menyampaikan pesan kepada generasi Melayu abad 21 lewat bait-bait puisi berikut:

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu,
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memikir ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.