Yusuf al-Qaradhawi Dan Kebangkitan Rakyat
Oleh: Amidi Abd Manan, Presiden ABIM
Membaca buku Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi yang baru diterjemahkan serta diterbitkan baru-baru ini, menggamit kenangan ketika memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dahulu. Peristiwa berlaku sekitar tahun 1996, sebagai pemangku presiden, saya mewakili PKPIM, berbuka puasa dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang ketika itu Menterinya adalah Tan Sri Muhyidin Yasin.
Ketika dalam majlis berkenaan, Sheikh Yusof al-Qaradhawi telah ditanyakan mengenai jurang generasi (generation gap), antara yang muda dan yang tua dalam sebuah gerakan Islam. Beliau menjawab kedua-dua generasi ini amat penting dalam memastikan kejayaan sebuah perjuangan. Beliau mengungkapkan "hamasatu al-syabab wa hikmatu al-syuyukh" amat diperlukan dalam satu formula perjuangan yang ideal. Ia adalah gabungan yang diperlukan bagi menghasilkan kejayaan yang dinanti ummah.
Dalam buku yang menghimpunkan ucapan, pandangan, fatwa dan nasihat serta kata-kata dorongan, teradun di dalamnya perkara yang telah disebutkan 16 tahun dahulu. Dalam mukadimah buku ini dicatatkan:
"Pada hari Jumaat 11 Febuari - ketika orang ramai berasa putus asa setelah mendengar ucapan Mubarak - ketika itu kami melihat dan mendengar khutbah tuan (Sheikh Yusof al-Qardhawi), di skrin layar yang dipasang di dataran, tuan bersumpah bahawa revolusi ini pasti berjaya, berlandaskan firman Allah :
"Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan. Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran)"
Ucapan ini telah menusuk ke jiwa kami bahawa revolusi ini pasti berjaya."
Ucapan yang dimaksudkan dalam petikan ini adalah khutbah Jumaat pada minggu tersebut yang disampaikan dari Qatar, yang dikenali sebagai "Khutbah al- Qasm" (sumpah). Dengan takdir Allah jua Hosni Mubarak telah mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden Mesir pada petang hari yang sama, sedangkan beliau telah menegaskan untuk terus mempertahankan kedudukannya dan menentang segala usaha menjatuhkan beliau di sebelah paginya.
Dalam ucapan mahupun wawancara menerusi al-Jazeera, Sheikh Yusof al-Qaradhawi sentiasa mengingatkan beberapa perkara iaitu:
- Kesahihan perjuangan pemuda-pemuda di dataran Tahrir
- Pemeliharaan akhlak dan ketertiban para demonstrator.
- Memohon sokongan dari seluruh pelosok rakyat Mesir agar bersama-sama dengan golongan pemuda ini.
- Mengingatkan tentera terhadap tanggungjawab mereka menjaga keselamatan rakyat dan mendengar segala tuntutan rakyat.
- Mengutuk polis atas tindakan menembak sehingga mati ratusan demonstrator
Beliau juga sekaligus menjawab beberapa persoalan yang timbul ekoran demonstrasi besar-besaran rakyat Mesir. Antaranya hukum berdemonstrasi, gelaran khawarij yang ditujukan kepada demonstran, penjelasan mengenai persoalan khuruj (memberontak menjatuhkan pemerintah Islam), dan sikap yang perlu diambil oleh para ulama khususnya ulama Mesir terhadap kebangkitan rakyat ini.
Ini sekaligus membuka kefahaman kepada kita akan pendekatan yang dianjurkan Islam dalam menentang kemungkaran yang dilakukan oleh seorang pemimpin seperti Hosni Mubarak. Sheikh Yusof al-Qaradhawi telah memberikan bimbingan secara langsung kepada masyarakat mengenai asas penentangan, kaedah muzaharah (penzahiran rasa/ demonstrasi) serta kecermatan dalam menggunakan kaedah usul fiqh tertentu.
Penglibatan Sheikh Yusof al-Qaradhawi dalam kebangkitan rakyat Mesir ini tidak bersendirian. Lain-lain anggota keluarganya turut terlibat seperti anaknya Abdul Rahman, yang mendapat jolokan "Penyair Revolusi". Tidak ketinggalan menantu beliau Dr. Hisyam Marsi yang telah ditahan oleh pihak berkuasa Mesir.
Ia menggambarkan kehidupan beliau yang bukan sahaja sebagai ulama menara gading tetapi turun ke gelanggang merasai setiap denyut nadi dan penderitaan umat. Beliau tidak teragak-agak memberikan sepenuh sokongan kepada golongan muda yang mengemudi kebangkitan rakyat ini. Beliau turut menerima amaran dari sahabat beliau yang melihat kelantangan yang ditunjukkan, boleh menggugat kedudukan dan keselamatan beliau.
Amaran tersebut dijawab dengan pernyataan:
"Apa yang sentiasa kami pohonkan pada Allah ialah supaya diakhirkan umur kami dengan shahadah yang tulen, berada dijalan-Nya, semoga diampunkan dosa-dosa yang lalu, dihapuskan segala keburukan, dan disempurnakan hidup kami bersama golongan abrar."
Buku ini merupakan satu dokumen sejarah penglibatan ulama dalam satu babak kebangkitan umat. Sheikh Yusof al-Qaradhawi menginginkan bahawa kebangkitan ini dicatat dengan sejujurnya bagi mengekang interpretasi liar musuh Islam yang sekian lama cuba menyisihkan peranan ulama dalam mana-mana perjuangan rakyat.
Tidak terkecuali catatan sejarah penentangan penjajah Inggeris di negara kita yang mempertontonkan watak-watak ulama seperti Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut sebagai pemberontak yang tidak perlu mendapat simpati rakyat.
Semoga kebangkitan rakyat di Mesir disoroti serta difahami menerusi pendekatan yang sewajarnya, memandangkan ia bukanlah kebangkitan yang datang entah dari mana, tanpa sebarang pengarahan, hanya dimulakan oleh cetusan di media sosial. Ia adalah sebuah kebangkitan pemuda yang menyedari tentang kemuliaan dan kebebasan insan dengan didorongi oleh panduan yang diberikan oleh ulama tersohor dunia.
Bahagian kedua buku ini memuatkan pandangan dan ulasan beberapa orang penulis, ulama dan pemikir sosial di rantau Arab mengenai keterlibatan Yusof al-Qaradhawi dalam kebangkitan rakyat ini. Semoga buku ini memberikan manfaat kepada semua pembaca yang mahu menilainya secara jujur dan ikhlas.
No comments:
Post a Comment