KEKUATAN TRANSFORMATIF
SEBUAH KITAB SUCI
Oleh: Dr Siddiq Fadzil
Ramadhan dengan segala kelainan dan kepelbagaian amal
intensifnya telah mencetuskan suatu momentum perubahan. Momentum ini seharusnya
dimanfaatkan untuk merealisasikan self-improvement
yang berterusan. Untuk itu kita memerlukan kekuatan motivasi yang berkelanjutan.
Andainya memang itu yang kita cari, satu-satunya sumber pencetus perubahan
bertenaga mukjizat, tidak lain adalah Kitabu
'Llah. Sebagai mukjizat agung al-Qu'ran memang cukup menakjubkan.
Kemukjizatannya meliputi pelbagai dimensi termasuk dimensi saintifik,
kebahasaan dan kesasteraan. Tetapi yang lebih penting daripada semuanya ialah kekuatan
daya rubahnya, kekuatan transformatif atau qudrah
taghyiriyyahnya. Khalayak pembaca yang serius akan terkesan dengan
ayat-ayatnya dan seterusnya mengalami perubahan yang mendasar pada dirinya, dan
dari segala seginya - worldviewnya,
sistem nilainya, pemikirannya dan seluruh watak serta perilakunya. Jelmaan
paling sempurna transformasi Qur'ani adalah Nabi s.'a.w. sendiri, Muhammad
penyandang gelar al-Amin yang mendapat
pengiktirafan dari langit sebagai berperibadi khuluqin 'azim (pekerti agung), peribadi terjemahan nilai-nilai
Qur'ani (kana khuluquhu ‘l-Qur’an).
Kekuatan impak dan daya rubah al-Qur'an diberikan pemerian secara simbolik
dalam surah al-Hashr:21.
Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an kepada sebuah gunung. Pasti kamu akan
melihatnya terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan itu
Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir.
Memang matlamat al-Qur'an adalah untuk menciptakan
perubahan dalam erti transformasi kemanusiaan dan anjakan besar-besaran - radical departure dari kegelapan kepada kecerahan.
Transformasi Qur'ani yang paling fenomenal dalam sejarah adalah generasi
sahabiy yang disebut oleh Sayyid Qutb sebagai al-jil al-Qur'aniyyy al-farid atau generasi Qur'ani yang unik itu.
Memang keunikannya cukup menyerlah: sejumlah tokoh kelas dunia muncul dalam jumlah
yang ramai, pada satu masa, di satu tempat. Sebagai generasi era penurunan
wahyu yang berinteraksi dengan al-Qur'an secara intensif, mereka adalah jelmaan
langsung proses transformasi Qur'ani. 'Umar ibn al-Khattab r.'a. dapat ditunjuk
sebagai manusia yang mengalami transformasi diri secara radikal dan semerta
sebaik sahaja mendengar dan membaca ayat-ayat al-Qur'an (surah Taha). Demikianlah,
beberapa ayat sahaja cukup untuk merubah pendirian seorang yang terkenal dengan
sifat kerasnya. Peristiwa pengislaman 'Umar ibn al-Khattab seolah-olah membawa
pesan bahawa manusia mana pun, sekeras mana pun, dan serosak mana pun, tidak
ada yang tidak dapat dirubah oleh al-Qur'an. Demikian juga keadaan seperti apa
pun, biar seburuk mana pun, dan separah mana pun, tidak ada yang tidak dapat
dirubah oleh al-Qur'an. Tenaga transformatif al-Qur'an telah menciptakan "'Umar
baru" yang secara dramatik mengubah sikap beriman dengan Allah dan
Rasul-Nya, melafazkan kalimat kesaksian shahadatayn
dengan segala implikasinya -- memeluk Islam secara kaffah. Ia adalah keputusan paling besar dalam hidupnya, keputusan
penentu untung nasib masa depannya sebagai manusia. Dalam tempoh sedemikian singkat,
al-Qur'an telah memberikannya keyakinan dan keberanian membuat keputusan
sebesar dan sepenting itu.
Al-Qur'an dengan kekuatan transformatifnya yang
sedemikan itu disebut juga dengan kata ruh
(jiwa/roh) dan nur (cahaya) seperti
yang dapat ditemukanpada ayat 52 surah al-shura,
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) - al-Qur'an -
sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah
mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (al-Qur'an) itu dan tidak
juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan al-Qur'an: cahaya
yang menerangi; Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di
antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi
petunjuk dengan al-Qur'an itu ke jalan yang lurus.
Al-Shura:52
Dengan menyebutnya sebagai ruh, al-Qur'an adalah bagaikan roh yang menyerap lalu menghidupkan
hati yang tadinya mati, tidak responsif kepada rangsangan kebenaran dan kemakrufan,
tidak reaktif terhadap gangguan kebatilan dan kemungkaran. Kata roh selalu
terkait dengan fungsi menghidupkan. Justeru, al-Qur'anlah yang menjadikan hidup
ini bererti dan bernilai. Tanpa al-Qur'an "hidup" manusia adalah
kesia-siaan belaka, kosong melompong dari pangkal hingga ke hujungnya.
Al-Qur'an juga disebut nur, cahaya
yang tembus ke dalam hati, lalu memberikan pencerahan sehingga segalanya tampak
dalam wujud hakikinya, yang benar jelas benarnya, dan yang. batil jelas
batilnya. Demikianlah, apabila seseorang itu telah mengalami pencerahan Qur'ani
ia melihat segala sesuatu dengan hati nurani (hati yang telah menerima pancaran
nur Qur'ani). Suluhan wahyu Ilahi
memungkinkannya melihat dengan sejelas-jelasnya, kerana segala kegelapan dan
kekaburan telah sirna dalam benderang cahaya Qur'ani. Memang al-Qur'an adalah
pembuka babak baru dalam hidup manusia. Nabi s.'a.w. sendiri tidak terkecuali. Sebelum
penurunannya Junjungan pun tidak tahu al-kitab
(al-Qur'an) itu apa, dan al-iman itu apa. Al-Qur'anlah yang melakukan anjakan
dari gelita kejahilan kepada cahaya pengetahuan. Tepat sekali apabila al-Qur'an
disebut juga dengan kata al-Furqan
yang secara harfi bererti pembeza. Dalam realiti sejarahnya, memang al-Qur'an
terbukti sebagai kekuatan pembelah dua zaman: zaman kuno era jahiliah dan zaman
baru era Islam. Sebagai nur,
al-Qur'an adalah kekuatan pencerahan yang mengakhiri zulumat kekarutan dan kecarutan jahiliah, dan memandu ke arah
pembangunan tamadun insani-Islami di bawah suluhan wahyu llahi.
Demikianlah hakikat al-Qur'an itu selamanya, kekuatan
transformatifnya tetap utuh sepanjang zaman. Nasib malang yang menimpa umat
Islam zaman ini bukan kerana al-Qur'an telah kehilangan daya rubah, tetapi
salah umat sendiri yang gagal memanfaatkan tenaga mukjizat kitab suci tersebut.
Apa yang terjadi kepada generasi hari ini adalah seperti yang dikeluhkan oleh al-Shaykh
Muhammad al-Ghazali, “umat silam membaca al-Qur'an lalu terangkat mencapai piawainya,
tetapi kita hari ini membaca al-Qur'an lalu menariknya turun searas dengan kerendahan standard kita”. Dalam kaitan inilah
perlunya pengkisahan tentang bagaimana umat dahulu menanggapi dan menyikapi
al-Qur'an'
Al-Qur,an adalah kalamu
‘LIah, bicara llahi. Sebagai bicara atau percakapan tentunya tidak terlepas
dari tujuan agar ia difahami maksudnya. Demikianlah seharusnya al-Qur'an
dipersepsi dan disikapi, tidak hanya dibaca lafaznya, tetapi lebih penting lagi
harus difahami maksudnya dan dilaksanakan kehendaknya. Kerana itu yang wajib dilakukan tidak hanya tilawah (pembacaan) tetapi juga tadabbur
atau perenungan terhadap makna di balik kata, termasuk semangat yang tersirat. Menangkap
yang tersirat memang cukup penting kerana biasanya yang tersirat jauh lebih
luas daripada yang tersurat. Banyaknya pengulangan kata tadabbur dalam al-Qur’an dapat diertikan sebagai tuntutan
melakukannya. Kerana itu dalam amalan Rasulullah (s.'a.w.) dan para sahabah, al-Qur’an
tidak hanya dibaca sebanyak mungkin, tetapi juga direnung maksudnya sedalam
mungkin. Tetapi ada ketikanya tidak banyak ayat-ayat yang mereka baca, iaitu
apabila mereka merasa amat terkesan dengan sesuatu ayat tertentu, lalu mereka
larut dalam tadabbur berjam-jam
lamanya. Demikianlah-seperti yang terjadi kepada Rasulullah (s.’a.w.) yang semalaman
terpaku pada ayat 118 surah al-Ma’idah,
Jika Engkau menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba hamba-Mu,
dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
Tidak dapat diduga hingga sejauh mana Junjungan dibawa
oleh ayat tersebut. Daya renung seorang nabi tentunya jauh lebih dalam dan
lebih tajam berbanding pembaca awam. Yang pasti Junjungan begitu terkesan dan
terharu dengan .nukilan kata Nabi ‘Isa ‘a.s. yang menyerahkan sepenuhnya kepada
Allah untung nasib umat yang melakukan syirik (mereka-reka faham trinity). Memang cukup mengharukan
betapa sopan dan halusnya bahasa seorang nabi kepada Tuhannya. Bukan tidak tahu bahawa Allah tidak mengampunkan
dosa syirik, tetapi Nabi ‘Isa ‘a.s. tetap rela dengan apa sahaja ketetapan
Tuhan, meskipun andainya Tuhan mengampunkan mereka. Disebalik ungkapan ayat
tersebut tersirat sikap pengabdian, tunduk penuh rela dan pasrah penuh ridha kepada
Allah. Andainya Tuhan menyiksa pelaku kejahatan, itu adalah keadilan-Nya; dan andainya
Tuhan mengampunkannya (meskipun ia
kafir-musyrik), itu adalah kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya. Dengan Kekuasaan
dan Keperkasaan-Nya Allah boleh mengazab atau memaaf sesiapa yang
dikehendaki-Nya; dan dengal Kebijaksanaan-Nya Allah dapat bertindak dengan
tepat. Justeru, Tuhan adalah al-Hakim
(Maha Bijaksana), dapat melihat sesuatu yang makhluk tidak mampu melihatnya.
Bagi pembaca awam begitulah kira-kira mafhum ayat tersebut, tetapi bagi seorang
nabi tentu lebih jauh daripada itu kerana daya renung profetis mampu tembus
hingga ke lapisan paling dalam. Demikianlah semalaman entah berapa ratus atau
ribu kali Junjungan S.’a.w. mengulang-ulangi pembacaan ayat tersebut, dan
merenung maksudnya sejauh yang terjangkau. Jelas, Junjungan s.’a.w. sangat
terkesan dengannya.
Proses interaksi dengan al-Qur’an harus bermula dengan
tilawah (pembacaan), diikuti dengan tadabbur (perenungan) dan seterusnya
terhasillah ta’aththur (terkesan).
Dalam pengalaman seseorang pembaca al-Qur’an, ketika melintasi ayat demi ayat,
ada ketikanya ia bertembung dengan ayat yang sungguh touching, memberikan sentuhan yang membekas di hati. Apabila keadaan
seperti itu terjadi, biasanya ia akan mengulangi-ulangi pembacaannya, berusaha
menyelami maksudnya sedalam mungkin, menghayati sentuhannya dan memberikan
sahutan yang sesuai dengan mafhum ayat – do’a, isti’adhah, sujud dan sebagainya.
Dalam kaitan ini terdapat catatan tentang Asma’, r.’a. yang dikunjungi oleh
seseorang ketika beliau kebetulan sedang membaca ayat 27 surah al-Tur,
Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan Memelihara kami dari azab
neraka.
Asma, membaca ayat tersebut berulang-ulang, dan setiap
bacaan diikuti dengan do’a. Tidak pasti berapa lama matanya terpaku pada ayat
tersebut, yang jelas tetamunya berasa kelamaan menunggu sehingga sudahnya
memutuskan untuk pergi ke pasar dahulu dengan cadangan nanti akan kembali
menemui Asma’ setelah selesai urusan di pasar. Seperti yang direncanakan ia
datang semula sekembalinya dari pasar, tetapi ketika itu Asma’ masih lagi
seperti tadi, mengulang-ulangi pembacaan ayat yang sama sambil berdo’a.
Peristiwa tersebut memberikan gambaran betapa terkesannya Asma’ dengan ayat al-Tur yang mengkisahkan tentang percakapan
penghuni syurga, bahawa semasa di dunia, ketika masih bersama keluarga, mereka sangat
takut dengan siksa neraka. Kerana ketakutan di dunia itulah maka Allah
menyelamatkan mereka di akhirat.
Generasi silam yang telah mengalami transformasi Qur’ani
itu membaca al-Qur’an bukan sekadar untuk mencari pahala. Lebih daripada itu
mereka membacanya untuk mendapatkan petunjuk, bagaimana harus bersikap dan bagaimana
harus bertindak dalam segala urusan. Begitulah mererka dididik oleh al-Rasul al-murrabi (Rasul-pendidik) s.’a.w. yang memang ditampilkan
sebagai “Qur'an hidup". Sikap dan tindakan Junjungan dalam segala aspek
kehidupannya, semuanya terpola dan terbentuk dalam acuan Qur’ani. Dalam keadaan
tegang dan genting bagaimana sekalipun, Nabi s.’a.w. tidak bersikap atau
bertindak emosional, sebaliknya Junjungan tetap dipandu oleh petunjuk al-Qur’an.
Demikianlah seperti yang dapat disaksikan dalam peristiwa ketika Junjungan
diprotes oleh seorang dari kaum Ansar yang tidak berpuas hati dengan cara
Junjungan mengagih-agihkan habuan di kalangan umat. Protes tersebut diucapkan dengan
bahasa yang sangat kasar dan menyakitkan, “Ini bukan pengagihan yang dilakukan
kerana Allah”. Wajah Rasulullah s.’a.w. serta merta memerah, tetapi untuk menyikapi
provokasi seperti itu Junjungan mengambil iktibar dari pengalaman pahit rasul-rasul
terdahulu seperti yang diwahyukan Allah kepadanya. Dengan begitu Junjungan dapat
bertenang dan memperlihatkan sikap sabarnya sambil berkata, “Semoga Allah
merahmati Musa, sesungguhnya ia telah disakiti lebih daripada ini, tetapi ia
tetap sabar!”. Peristiwa itulah yang diisyaratkan dalam surah al-Ahzab:69,
Wahai orang-orangyang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang
yang menyakiti Musa, maka Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang
mereka lontarkan. Dan dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi
Allah.
Banyak riwayat yang dikaitkan dengan cara mereka
menyakiti Musa ‘a.s. termasuk memfitnahnya dengan tuduhan zina. Ia adalah
sebahagian daripada konspirasi yang didalangi oleh Qarun. Dikatakan bahawa
Qarun telah mengupah seorang wanita untuk membuat dakwaan bahawa Musa telah
berzina dengannya. Dalam perhimpunan besar Bani Isra’il yang ditaja oleh Qarun,
wanita tersebut dihadirkan untuk membuat pengakuan palsu tersebut. Tetapi Allah
menggerakkan hati wanita tersebut agar berkata benar, tidak mengikut skrip yang
disediakan oleh para konspirator. Dengan demikian Allah membersihkan nama Musa (‘a.s.).
Kiranya dapat dibayangkan betapa sakit dan tertekannya Musa, seorang nabi
dituduh melakukan skandal moral sekeji itu. Entah berapa lama fitnah yang
menyakitkan itu berlarutan sebelum wanita tersebut membuat pengakuan apa yang
sebenarnya terjadi. Kisah kesabaran Musa ‘a.s. menjalani ujian getir seperti
itu memang seharusnya menyuntikkan semangat ketahanan dalam menghadapi sebarang
provokasi dan fitnah. Kesabaran dan ketenangan dalam suasana sedemikian adalah kekuatan
yang tak tergantikan.
Al-Qur’an benar-benar diangkat sebagai kitab petunjuk
yang sentiasa dirujuk ketika hendak memutuskan sesuatu pendirian atau tindakan.
Abu Talhah r.’a. adalah nama salah seorang sahabiy yang meninggalkan kisah
menarik tentang sikap komited terhadap al-Qur’an. Pada satu ketika, apabila
pemerintah mengisytiharkan kerahan tenaga umat berjihad di medan tempur, beliau
membaca ayat 4l surah al-Tawbah: Berangkatlah
kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa besar, dan berjihadlah dengan
harta dan jiwamu di jalan Allah, yang demikian ita adalah lebih baik bagimu
jika kamu mengetahui. Selepas merenung ayat tersebut kata demi kata,
beliau memanggil anak-anaknya berhimpun lalu mengatakan bahawa lewat ayat tersebut
Tuhan memerintahkan semua orang tua dan muda agar bangkit berjihad. Abu Talhah
seterusnya meminta anak-anaknya segera menyiapkan segala keperluan untuknya
kerana beliau akan menyertai keberangkatan para mujahidin ke medan perang. Tetapi
anak-anaknva cuba menahan ayah mereka (yang sudah berusia lanjut itu) daripada
ikut berangkat, “Semoga Allah merahmati ayah, ayah telah mula berjuang
(berperang) bersama Rasulullah s.'a.w. hingga Junjungan wafat, kemudian ayah
berjuang pula bersama Abu Bakr r.’a. hingga beliau wafat, dan seterusnya ayah
berjuang lagi bersama ‘Umar (r.’a) hingga hingga ke akhir hayatnya.. Cukuplah,
kali ini biar kami yang berperang menggantikan ayah”. Tetapi si ayah tetap
berkeras (kerana ayat al-tawbah yang
dibacanya itu tidak memgecualikan sesiapa, termasuk orang tua). Tanpa
bertangguh-tangguh lagi beliau bergegas bersama-sama menaiki kapal yang sudah
disiapkan untuk memberangkatkan para mujahidin. Takdir menentukan ajalnya
sampai ketika dalam pelayaran menuju medan jihad. Tetapi jenazahnya tidak dapat
dikebumikan segera kerana kapal sudah berada jauh di tengah lautan. Hanya
setelah sembilan hari baru ditemukan sebuah pulau. Di sanalah ia dikebumikan.
Ada suatu keajaiban pada jenazah manusia Qur’anik ini. Setelah sembilan hari
menjadi mayat, tubuhnya tetap utuh tidak berubah (tidak reput atau membusuk).
Demikianlah Tuhan memuliakan manusia Qur’ani yang berfikir dan bertindak secara
al-Qur’an.
Bagi generasi silam, al-Qur’an adalah rujukan menilai
diri. Dengan gayanya yang tersendiri al-Qur’an memberikan semacam check-list yang memungkinkan seseorang
menjadi tahu diri. Al-Ahnaf ibn Qays (seorang dari golongan tabi'in) tersentak
saat membaca ayat l0 surah al-anbiya’
yang menyatakan bahawa kita semua disebut dalam al-Qur'an (fihi dhikrukum), dengan pengertian bahawa di dalamnya disebut sifat
dan ciri pelbagai golongan di kalangan manusia. Siapa yang tidak ingin tahu
bagaimana dirinya disebut dalam al-Qur’an? Dernikianlah kalimat Qur’ani fihi dhikrukum (di dalamnya ada pemerian
tentang kamu) telah menggerakkan al-Ahnaf ibn Qays mencari dirinya dalam al-Qur’an,
dari surah ke surah, dari ayat ke ayat. Ketika bertembung dengan ayat 145 surah
al-Nisa’ “Sungguh, orang-orang munafiq itu
(ditempatkan) pada tingkat paling bawah dari neraka. …”, spontan ia
berkata, “Itu bukan aku! Aku tidak termasuk ke dalam golongan itu”. Setelah itu
di lanjutkan lagi perjalanannya mencari diri hingga bertembung pula dengan ayat
2 surah al-Anfal, “Sesungguhnya
orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar
hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya
dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal”. Ia terpegun menatap
kalimat-kalimat tersebut, dan kemudiannya dengan rasa sedih dan kesal berkata, “Itu
juga bukan aku! Aku tidak termasuk kumpulan itu”. Pencariannya diteruskan lagi
hingga bertembung pula dengan ayat 102 surah al-Tawbah, “Dan (ada pula) orang lain yang mengakui
dosa-dosa mereka, mereka mencampuradakkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain
yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerimu taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, Maha Penyayang”. Seperti sebelumnya, matanya terpaku pada
ayat tersebut. Di amat-amatinya kata demi kata. Kali ini al-Ahnaf yakin, ia
telah menemukan dirinya pada ayat tersebut. “Tidak salah lagi, akulah itu! Aku
tergolong dalam kelompok itu”. Demikianlah, generasi silam membaca al-Qur’an
untuk melihat dan menilai diri, tidak seperti kebanyakan umat sekarang yang
hanya nampak orang lain ketika membaca al-Qur’an, dan seterusnya menggunakan
ayat-ayat Tuhan untuk menjustifikasikan keinginan dan kepentingannya.
Andainya kita serius ketika melafazkan kata-kata
perubahan, reformasi, transformasi dan lain-lain yang seerti, maka ia harus
disemangati oleh al-Qur’an, mukjizat perubahan yang telah teruji. Ia harus
bermula dengan gerakan massal kembali kepada al-Qur’an dengan pengertian membaca,
memahami dan menghayatinya. Tanpa pendasaran pada al-Qur’an kata perubahan tidak
akan lebih daripada sekadar satu lagi slogan yang akan segera terpelanting
diasak slogan baru yang akan dicipta. Perubahan dalam erti yang setulennya
harus bermula dengan pemasyarakatan gaya hidup Qur’ani. Masyarakat yang
ketagihan hiburan pesta-pestaan harus dibawa kembali mempelajari al-Qur’an,
memahami dan menikmatinya. Andainya kita jujur ingin mengecap nikmat al-Qur’an,
harus ada kesanggupan dan kesungguhan memberikan tumpuan pada al-Qur’an.
Sebanyak mana perhatian yang kita berikan kepada al-Qur’an, sebanyak itulah
pula al-Qur’an akan memberi kepada kita. Entah bencana apa yang akan menimpa,
andainya umat ini dibiarkan menyikapi ayat-ayat al-Qur’an bagaikan kata-kata mantera
yang tidak difahami ertinya, tetapi ditakuti tulah dan kesaktiannya.
Allahumma
‘rhamna bi ‘l-Qur’an, wa ‘j’alhu lana imama ‘wa nura ‘wa huda ‘wa rahmah.
Allahumma
dhakkirna minhu ma nasina, wa ‘allimna minhu ma jahilna wa ‘rzuqna tilawatahu
Ana’a ‘llayli
wa atrafa ‘n-nahari wa ‘j’alhu lana hujjata ‘ya Rabba ‘l-‘alamin.
Amin.
No comments:
Post a Comment