Monday, 29 October 2012

Model kepimpinan Rabbani


Model Kepimpinan Rabbani:
Menyorot Pemerintahan Berhikmah
Gaya Sulayman Al-Hakim`A.S.
Dr. Siddiq Fadzil

Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".

Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: "Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata".

Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.

(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari".

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".
(Surah al-Naml: 15 – 19)
 
Pemimpin, pemerintah dan pentadbir terbaik tidak lain adalah Allah s.w.t. sendiri. Dialah Tuhan yang bernama al-Hakim, al-Wali dan al-Mudabbir yang Maha Sempurna. Manusia adalah makhluk pengembang amanat al-istikhlaf, yang mewakili Allah melaksanakan misi `imarat al-ard (membangun bumi dengan ilmu, sains dan teknologi) dan islah al-ard (mengislahkan bumi dengan pendaulatan nilai-nilai murni: kebenaran, keadilan, kejujuran, kasih-sayang, dan lain-lainnya). Sebagai wakil Tuhan dalam menjayakan misi tersebut manusia dituntut memperlengkapkan diri dengan sifat-sifat unggul al-takhalluq bi akhlaqi ‘Llah (berakhlak dengan akhlak Allah). Manusia yang berjaya menghayati sifat-sifat dan nama-nama Tuhan (al-Asma’al-Husna) dalam batas-batas kemanusiaannya itulah yang disebut manusia rabbani, manusia yang dekat dengan Tuhan dari segi sifat sifatnya. 

Dalam kaitan inilah relevannya tema al-qiyadah al-rabbaniyyah atau kepimpinan rabbani. Jelmaan paling ideal manusia rabbani adalah para anbiya’ dan mursalin. Dalam konteks al-qiyadah al-rabbaniyyah (kepimpinan rabbani) mungkin kepimpinan Nabi Sulaiman `a.s. dapat diangkat sebagai salah satu model yang cukup mengesankan. Pengkisahan tentang nabi-pemerintah (raja) tersebut banyak termuat dalam surah al-Naml, Saba’ dan Sad. Surah al-Naml yang memaparkan citra pemerintahan Sulayman `a.s. menyebut kurnia besar yang sekaligus menjadi tonggak utama pemerintahannya, iaitu kurnia ilmu. Demikianlah ayat yang yang mengisyaratkan sebuah pemerintahan berasaskan ilmu (knowledge based). Memang pemerintahan profetis adalah model pemerintahan knowledge based par excellence. 

Kata ilmu dalam ayat 15 surah tersebut tidak secara khusus merujuk jenis ilmu tertentu. Dengan demikian ia dapat diertikan secara inklusif meliputi segala cabang ilmu yang relevan dengan kenabian dan kenegaraan, ilmu yang dapat meningkatkan kualiti dan mengangkat martabat. Selain itu ia juga meliputi makna hikmah yang dapat diertikan sebagai kurnia kefahaman yang mendalam tentang sesuatu. Para ilmuwan yang memiliki hikmah disebut juga dengan kata al rasikhuna fi ‘l-`ilm dan ulu ‘l-albab. Kata albab adalah bentuk jamak dari kata lubb yang bererti inti terdalam atau the core of things, termasuk makna tersirat di balik yang tersurat.
 
Hakikat pengurniaan ilmu dan hikmah kepada Sulayman dan ayahandanya Dawud `a.s. dipertegaskan dalam surah al-Anbiya’:79 “…dan kepada kedua-duanya Kami kurniakan hikmah dan ilmu…(…wa kullan atayna hukman wa `ilma…). Dengan kurnia ilmu dan hikmah (wisdom) itulah Sulayman `a,s. dapat membaca dan menganalisis sesuatu fenomena dengan tepat, menyikapinya dengan tepat dan memilih tindakan yang tepat. Memang kata hikmah mengandungi makna kebenaran dan ketepatan (al-sawab wa al-sadad). Surah al-Naml menyebut bahawa mereka (Dawud dan Sulayman `a.s.) menyatakan tahmid kesyukuran atas segala kurnia, terutama kurnia ilmu. Mereka amat menginsafi bahawa sumber hakiki ilmu, kebenaran dan segala kebaikan adalah Allah s.w.t., dan kerananya hanya Dia yang layak dan berhak menjadi tumpuan syukur.
 
Ungkapan al-hamdu li ‘Llah adalah ekspresi terbaik untuk menghargai sesuatu yang bernilai. Dengan menyebut kata-kata tersebut bererti mereka adalah pemimpin-pemerintah yang cukup menyedari tentang ilmu sebagai nilai hidup yang utama, dan kerananya cukup komited dengan budaya ilmu.  Memang demikianlah hakikat nilai ilmu menurut perspektif profetis sebagaimana yang diperlihatkan oleh Nabi Musa ‘a.s. yang sanggup meredah daratan dan mengharung lautan walau sampai ke titik temu dua lautan (majma` al-bahrayn) semata-mata demi ilmu. Malah lebih daripada itu sanggup berjalan bertahun-tahun mencari Khidr `a.s. untuk berguru kepadanya (surah al-Kahf).
 
Mungkin hakikat inilah juga yang mengilhami al-Farabi, failasuf ulung penyandang gelar al-Mu`allim al-Thaniy menegaskan dalam karya agungnya al Madinat al-Fadilah bahawa antara kriteria utama pemimpin negara termasuk kecintaan terhadap ilmu (muhibban li ‘l-`ilm). Yang disebut secara eksplisit dalam surah al-Naml adalah ilmu kebahasaan, khususnya mantiq al-tayr (bahasa burung). Mesej tersirat di sebaliknya adalah pemerintahan prihatin dan pentadbiran yang komunikatif. Bahasa sebagai alat komunikasi dimanfaatkan dengan berkesan untuk memahami masalah dan aspirasi rakyat. Demikianlah sebuah model pemerintahan berjiwa rakyat, kepimpinan yang dapat merasakan denyut nadi dan degup jantung rakyat. 

Bahasa dan alat-alat komunikasi lainnya digunakan untuk berdialog dengan rakyat dari pelbagai sektor dan golongan, bukan untuk menyumbat bahan-bahan propaganda dan indoktrinasi kepartian. Dukungan rakyat diraih menerusi sikap prihatin dan komunikatif, bukan diperoleh secara licik dengan tipu daya memperbodoh dan mengabui mata. Peristiwa di lembah semut (wadi al-naml) mengangkat satu lagi contoh pemerintahan prihatin dan komunikatif, wujudnya interaksi antara raja besar (Nabi Sulayman `a.s.) dengan makhluk kecil (semut). Demikianlah, lewat kisah yang cukup sederhana dan mudah, al-Qur’an mengungkapkan sebuah konsep penting: a listening government, pemerintahan yang mengamalkan keterbukaan dan memiliki tahap kepedulian yang cukup tinggi. Rakyat kecil mempunyai hak untuk didengar. Pesan dari lembah semut ini mempunyai erti yang sangat penting terutama dalam konteks zaman leluasanya pengaruh kelompok-kelompok pelobi bayaran dan nyaringnya suara ringgit sehingga lahir ungkapan sinis when the money speaks, the rest will be silent.
 
Disebut juga tentang angkatan tentera kerajaan Nabi Sulayman `a.s. yang terbentuk dari gemblengan pelbagai unsur kekuatan rakyat: jin, manusia dan burung. Kisah ini menyerlahkan kualiti kepimpinan yang mampu memadu dan menggembleng potensi yang pelbagai untuk mencipta kekuatan raksaksa yang tak terkalahkan. Mungkin ini adalah jelmaan wisdom kepimpinan dan kepengurusan Nabi Sulayman `a.s. yang melihat kepelbagaian sebagai kekuatan. Memang pasukan yang baik tidak terbentuk dari unsur-unsur yang sejenis (keahlian dan kemahirannya), tetapi yang pelbagai. Kepelbagaian dapat membentuk pasukan yang saling melengkapi, di samping dapat pula menciptakan dialog yang kreatif. 

Ternyata Nabi Sulayman `a.s. ditampilkan untuk membawa model qiyadah rabbaniyyah (kepimpinan rabbani) dan dawlah imaniyyah (pemerintahan berasaskan iman). Pelbagai kurnia yang melengkapinya dengan segala ingredients pemimpin-pemerintah unggul tidak pernah menjadikan Sulayman `a.s. lupa daratan - mabuk kuasa dan mengagumi kehebatan diri. Sulayman al-Hakim `a.s. tetap memohon petunjuk dan pertolongan Tuhan bagaimana ia seharusnya menggunakan segala kurnia itu demi kebaikan dan kesejahteraan makhluk yang menjadi rakyatnya. Suara semut menyedarkannya agar kesibukan mengurus persoalan-persoalan besar kenegaraan tidak melalaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat kecil yang terpencil. Melihat makhluk kecil dan lemah yang memerlukan belas kasihan menginsafkan dirinya betapa kerdilnya ia di hadapan Allah, dan betapa perlunya ia kepada rahmat-Nya.
 
Timbunan kurnia yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa selainnya, tidak menenggelamkannya dalam kemabukan glamour. Yang diinginkan adalah pengabdian yang mendapat keredhaan Ilahi dan khidmat kenegaraan yang bernilai amal salih. Pemerintahannya tidak hanya rancak dengan projek pembangunan fizikal-material, tetapi juga bersemarak dengan syi`ar dan amal pengabdian kepada Tuhan. Demikianlah pengabadian sebuah keunikan pada kepimpinan rabbani, bahawa kuasa dan harta tidak memadam nyala sebuah idealime imani – menjadi hamba Allah yang salih. 

Thursday, 25 October 2012

'Id Al-Adha


`ID AL-ADHA:
MENANGKAP MESEJ PERJUANGAN IBRAHIM `A.S.
Oleh: Dr Siddiq Fadzil


الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد


Kita mengingat  nama Ibrahim `a.s. dan keluarga  dalam selawat dan tahiyyat berkali-kali saban hari.   Tetapi mengingatnya di tengah aura `id al-adha terasa ada kelainannya, lebih syahdu dan lebih mengharukan.  Ibrahim `a.s. adalah nama besar,  nama yang disebut dalam dua puluh lima surah al-Qur'an.  Kisah Ibrahim `a.s. memang bukan sebuah karya fiktif,  tetapi qissah Qur'aniyyah yang kerelevanannya merentas abad, melintas jagat.    Para aktivis perjuangan Islam  memaknai kisah tersebut   bukan sekadar lipur lara,   tetapi penyerlahan  legacy agung seorang Rasul pejuang kebenaran,  kisah yang membawa pesan wisdom perjuangan dan pendidikan hikmah kenabian. Ibrahim `a.s. mewariskan sebuah model pendakwahan berasaskan dialog.

Beliau tidak berkhutbah secara monolog,  tetapi selalu mengajak khalayak untuk berdialog dan beradu argumentasi.     Dialog adalah strategi bijak untuk menggugah akal dan  merangsang orang agar berfikir.  Justeru,  hanya yang berakal dan yang berfikir yang dapat menghargai dan menilai kebenaran.   Berhujah harus selamanya dengan akal sihat dan rasional,  bukan dengan sentimen dan emosi.    Demikianlah,  kebenaran bukan untuk dipaksakan,  tetapi didakwahkan dengan hujah yang meyakinkan (iqna`) akal rasional.     Memang teras kekuatan dakwah  bukan biaya, dan bukan juga kuasa,  tetapi esensinya:  kebenaran  yang berasaskan hujah dan bukti.   Kekuatan dana, kuasa  dan lain-lainnya  bukan tidak penting,  tetapi bukan kekuatan esensi hakikinya.

Wednesday, 17 October 2012

Syarahan Islam & Melayu

Syarahan Perdana Dr. Siddiq Fadzil
Islam & Melayu: Martabat Umat & Daulat Rakyat
UNISEL, Shah Alam
Isnin, 8 Oktober 2012




Monday, 8 October 2012

Pemikiran al-Qaradawiy 2


YUSUF AL-QARADAWIY:
FAQIH IDEOLOGUE
GERAKAN ISLAM KONTEMPORARI
Siddiq Fadzil
(Bahagian 2)


Kepeloporan al-Qaradawiy dalam Pemikiran Wasatiy

Gagasan, fatwa dan pendirian al-Qaradawi di mana-mana secara konsisten membawa semangat wasatiyyah, termasuk buku ini yang memuatkan rumusan ma’alim al-fikr al-wasatiy atau tanda-tanda petunjuk pemikiran wasatiy. Dalam menyikapi isu ini ABIM dan kerabat-kerabat dekatnya (PKPIM dan WADAH) memang selamanya mendukung wasatiyyah. Dukungan terhadap wasatiyah tidak hanya sebatas pendekatan moderat dalam pendakwahan, lebih daripada itu ia didasarkan pada hakikat Islam sebagai agama wasat dan demikian juga umatnya sebagai ummatan wasatan. Ertinya, tidak hanya cara pendakwahannya yang harus moderat dengan pengertian lunak dan persuasif, tidak keras atau bernada kombatif; tetapi Islam itu sendiri harus ditampilkan dengan citra yang ramah serta bersemangat tabshir dan taysir (menggembirakan dan memudahkan). Dalam konteks usaha membangun kerukunan hidup antara agama, citra wasatiyah Islam adalah salah satu faktor penting kejayaannya. Justeru, masyarakat bukan Islam hanya akan berasa selamat dan selesa hidup berdampingan (co-exist) dengan masyarakat Islam yang moderat, toleran dan ramah. Citra wasatiyah menjadi lebih penting dalam konteks politik perkongsian kuasa dan permuafakatan politik (al tahaluf al-siyasiy) antara golongan Islam dengan bukan Islam. Mungkin dengan semangat inilah pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerbitkan buku Kesederhanaan dalam Islam: Satu Penerangan Ringkas dan Penanda Aras, iaitu terjemahan tulisan al-Qaradawiy, Kalimat fi al-Wasatiyyat al-Islamiyyah. Selain itu Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menganjurkan Persidangan Kesederhanaan Tulen pada 18 Februari 2012 sempena Minggu Keharmonian Antara Agama, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Persidangan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu menghadirkan tokoh-tokoh pelbagai agama yang membicarakan isu kesederhanaan dari perspektif agama masing-masing.

Al-Qaradawiy ternyata memang secara serius dan konsisten mempromosikan pemikiran wasatiyyah lewat karya-karya tulisnya yang cukup banyak. Memang sangat beralasan apabila seorang penulis Mesir yang terkenal, ‘Adil Husayn menyebut al-Qaradawiy sebagai ulama wasatiyah zaman ini (faqih al-wasatiyyah fi ‘asrina). Suatu yang menarik pada judul buku-buku yang dihasilkan oleh al Qaradawiy sebahagiannya memakai kata bayna (antara). Kata bayna mengisyaratkan posisi tengah antara dua kutub. Antara buku-bukunya yang berjudul sedemikian termasuklah: al-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-jahud wa al Tatarruf, al-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-Ikhtilaf al-Mashru` wa la-Tafarruq al Madhmum, al-Fatwa bayna al-Indibat wa al-Tasayyub, al-Ijtihad al-Mu`asir bayna al-Indibat wa al-Infirat, al-Thaqafat al-`Arabiyyat al-Islamiyyatu bayna al-Asalat wa al-Mu`asarah, al-Fiqh al-Islamiy bayna al-Asalat wa al-Tajdid, dan Thaqafatuna bayna al-Infitah wa al-Inghilaq. Mesej tersirat di balik kata bayna yang begitu banyak dipakai pada judul buku-bukunya itu tidak lain adalah wasatiyyah.

Friday, 5 October 2012

Pemikiran al-Qaradawiy 1



YUSUF AL-QARADAWIY:
FAQIH IDEOLOGUE
GERAKAN ISLAM KONTEMPORARI
Siddiq Fadzil
(Bahagian 1)



Nama besar al-Qaradawiy tidak tercipta dari promosi atau propaganda media. Anak desa (ibn al-qaryah) yang menjadi tokoh dunia itu adalah salah seorang putera terbaik dunia Islam hari ini. Pada dirinya terserlah gabungan unik pelbagai kekuatan: ulama mujtahid, pemikir berotoriti, peribadi berintegriti, da`i-haraki, pemimpin-pendidik, penyair dan pemidato. Latar keilmuannya yang luas dan mengakar kuat dalam pelbagai bidang, khususnya usuluddin, syari`ah dan bahasa Arab memungkinkan beliau menjadi ilmuwan ensaiklopedik zaman ini. Al Qaradawiy yang sangat prolifik itu sebenarnya boleh dibicarakan dari pelbagai dimesi kerana beliau memang tokoh multi-dimensi. Kesaksian tokoh-tokoh ilmuwan Muslim dari pelbagai rantau dunia membuktikan hakikat ini. Al-Imam Hasan al-Banna menyebutnya sebagai penyair ulung (sha’ir fahl), Muhammad al Ghazaliy memasukkannya dalam kelompok imam zaman ini (a’immat al-‘asr), Mustafa al-Zarqa menganggapnya sebagai hujah zaman (hujjat al-‘asr), Taha Jabir al-Elwaniy menyifatkannya sebagai faqih-da’i dan da’i para fuqaha' (faqih al-du’ah wad da’iyat al-fuqaha’), sementara Rashid al-Ghannushiy menyimpulkan kepeloporan al-Qaradawiy sebagai imam mujaddid. (`Isam Talimah, 2000:28-29)


Kertas ini hanya akan membicarakan sebahagian daripada sumbangan al Qaradawiy dalam pemantapan visi dan orientasi, fikrah dan arah gerakan Islam kontemporari, khususnya di Malaysia. Al-Qaradawi adalah antara kader terbaik al Imam Hasan al-Banna, tokoh pendiri gerakan al-Ikhwan al-Muslimun. Benar kata ‘Abd al-Salam al-Haras, seorang ulama besar Maghribi yang menganggap al Qaradawiy sebagai “min a’zami thimar da’wat al-Imam al-Shahid Hasan al-Banna” (buah terbaik dari hasil dakwah al-Imam Hasan al-Banna). Memang sejak usia remaja al-Qaradawiy sudah aktif dalam kegiatan Ikhwan Muslimin dan terus menerus melibatkan dari dalam gerakan Islam tempatan dan antarabangsa hingga kini, terutama dalam konteks pemantapan fikrah harakiyah yang realistik dan kemaskini. Andainya hendak dicari da’i yang benar-benat menghayati pesan dakwah ‘ala basirah, nama al-Qardawiy dapat di angkat sebagai contoh terbaik. Beliau tidak hanya menguasai prinsip, kaedah dan etika dakwah, tetapi juga cukup memahami realiti zaman dan lingkungan. Gerakan Islam Malaysia memang tidak pernah terlepas dari perhatian al-Qaradawi. Beliau telah beberapa kali mengunjungi negara ini, menjalin hubungan erat dengan pemimpin-pemimpin gerakan Islam di sini, dan yang lebih penting lagi buku-bukunya menjadi rujukan utama para aktivis gerakan, dan sebahagiannya telah diterjemahkan ke adalam bahasa Melayu.