Thursday, 30 August 2012

55 Tahun Merdeka


MENSYUKURI NIKMAT,
MENGINSAFI AMANAT.
(Dr Siddiq Fadzil)



Bagi orang yang memahami makna dan harga kemerdekaan, 3l Ogos adalah tarikh istimewa. Justeru, pada hari itulah, lima puluh tahun yang  lalu (1957) tercapainya cita- cita yang telah diperjuangkan turun-temurun sejak entah berapa keturunan. Sejarah merdeka bukan baru bermula pada pertengahan abad 20. Perjuangan heroik melawan penjajah sudah bermula seawal abad ke-16M dengan perang Melaka-Portugis. Sejak itulah darah dan air mata perjuangan tidak pernah berhenti mengalir. Tidak siapa berdaya menaksir berapa kawah darah yang tumpah dan berapa telaga air mata derita yang mengalir demi mempertahankan atau mendapatkan kemerdekaan. Harga kemerdekaan memang mahal tak ternilai, dan kerana itu harus dihargai secara yang benar-benar bermakna. Bagi umat beragama kemerdekaan adalah nikmat kurnia Tuhan lang wajib disyukuri dengan cara yang diredhai dan disenangi Penganugerahnya. Mensyukuri nikmat sebagaimana yang diajar oleh agama ialah menggunakannva dengan cara yang benar, dan tidak menyalahgunakannya. Dalam konteks nikmat kemerdekaan ia harus disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan setulennya. Mudah-mudahan roh para pejuang yang gugur, bahagia dalam peristirehatan apabila pengorbanan dan perjuangan mereka menghasilkan umat merdeka yang benar-benar merdeka. Dengan semangat syukur nikmat sempena berlalunya setengah abad kemerdekaan, kita bermuhasabah, menilai diri, sudah sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa telah menepati makna merdeka.

Islam dan Makna Merdeka

Islam pada hakikatnya adalah agama pembebasan. Mesej liberatif-emansipatif agama Ilahi ini jelas terungkap dalam misi utamanya ikhraju ‘n-nasi mina ‘z-zulumat ila ‘nur. Dengan kata lain, risalah Islamiah dapat dirumuskan sebagai misi pembebasan dan pencerahan  (tahririy-tanwiriy).  Kerana itu kehadiran Islam dan gerakan pendakwahannya di mana-mana selalu dirasakan sebagai a liberating and enlightening force. Demikianlah citra agama ini di mata kaum peribumi rantau Melayu ketika berlakunya transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan dalam gerakan pengislaman yang memesat pada abad ke-13-16M. Ternyata pembebasan dalam konteks misi keislaman mencakupi bidang yang cukup luas, meliputi pembebasan daripada segala bentuk pembelengguan termasuk kemerdekaan daripada penjajahan. Memang al-zulumat adalah kata yang jami’ dan inklusif meliputi segala rupa bencana kemanusiaan: kesesatan, kebingungan, kejahilan, kebodohan, kebekuan, kemunduran, kebejatan, kegilaan, kezaliman, kecurangan dan lain-lain sejenisnya. Umat Islam harus dibebaskan dan dimerdekakan daripada segala bencana tersebut. Pembebasan (tahrir) dalam konteks misi pengislaman selamanya tidak terpisah daripada pencerahan (tanwir). Apalah erti bebas daripada suatu kegelapan, jika kemudiannya dijerumuskan ke dalam kegelapan yang lain.

Tuesday, 14 August 2012

Ulasan Buku


Yusuf al-Qaradhawi Dan Kebangkitan Rakyat
Oleh: Amidi Abd Manan, Presiden ABIM



Membaca  buku Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi yang  baru diterjemahkan serta diterbitkan baru-baru ini, menggamit kenangan ketika memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dahulu. Peristiwa berlaku sekitar tahun 1996, sebagai pemangku presiden, saya mewakili PKPIM, berbuka puasa dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang ketika itu Menterinya adalah Tan Sri Muhyidin Yasin.

Ketika  dalam majlis berkenaan, Sheikh Yusof al-Qaradhawi  telah ditanyakan mengenai jurang generasi (generation gap), antara yang muda dan yang tua dalam sebuah gerakan Islam. Beliau menjawab kedua-dua generasi ini amat penting dalam memastikan kejayaan sebuah perjuangan. Beliau mengungkapkan "hamasatu al-syabab wa hikmatu al-syuyukh" amat diperlukan dalam satu formula perjuangan yang ideal. Ia adalah gabungan yang diperlukan bagi menghasilkan kejayaan yang dinanti ummah.

Thursday, 2 August 2012

Tazkirah Ramadhan


KEKUATAN TRANSFORMATIF 
SEBUAH KITAB SUCI

Oleh: Dr Siddiq Fadzil


Ramadhan dengan segala kelainan dan kepelbagaian amal intensifnya telah mencetuskan suatu momentum perubahan. Momentum ini seharusnya dimanfaatkan untuk merealisasikan self-improvement yang berterusan. Untuk itu kita memerlukan kekuatan motivasi yang berkelanjutan. Andainya memang itu yang kita cari, satu-satunya sumber pencetus perubahan bertenaga mukjizat, tidak lain adalah Kitabu 'Llah. Sebagai mukjizat agung al-Qu'ran memang cukup menakjubkan. Kemukjizatannya meliputi pelbagai dimensi termasuk dimensi saintifik, kebahasaan dan kesasteraan. Tetapi yang lebih penting daripada semuanya ialah kekuatan daya rubahnya, kekuatan transformatif atau qudrah taghyiriyyahnya. Khalayak pembaca yang serius akan terkesan dengan ayat-ayatnya dan seterusnya mengalami perubahan yang mendasar pada dirinya, dan dari segala seginya - worldviewnya, sistem nilainya, pemikirannya dan seluruh watak serta perilakunya. Jelmaan paling sempurna transformasi Qur'ani adalah Nabi s.'a.w. sendiri, Muhammad penyandang gelar al-Amin yang mendapat pengiktirafan dari langit sebagai berperibadi khuluqin 'azim (pekerti agung), peribadi terjemahan nilai-nilai Qur'ani (kana khuluquhu ‘l-Qur’an). Kekuatan impak dan daya rubah al-Qur'an diberikan pemerian secara simbolik dalam surah al-Hashr:21. 

Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an kepada sebuah gunung. Pasti kamu akan melihatnya terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir.