Tuesday, 18 September 2012

Bangsa Malaysia: Antara Aspirasi & Realiti


PEMBINAAN BANGSA: 
KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN
(Bahagian 1)

Siddiq Fadzil




(Amanat Pimpinan 2012,  Muktamar Nasional Keenam,
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia –WADAH,
15 September 2012/ 28 Syawal 1433)

Kali ini kita bermuktamar di tengah kehangatan iklim politik menjelang PRU13. Aturan main dalam sistem demokrasi berpilihan raya memang membolehkan kehadiran pelbagai parti dan persaingan antara parti dalam menawarkan khidmat yang lebih baik untuk rakyat.   Parti memang pelbagai, programnya juga beragam,  tetapi  semuanya bersatu dalam komitmen menjayakan prinsip dan nilai demokrasi yang bertunjang pada kuasa dan daulat rakyat.  Dalam masyarakat majmuk yang masih rapuh,   rakyat harus cukup cerdas, dewasa dan bijaksana menyikapi pelbagai kerenah perpolitikan antara parti agar tidak terseret ke  dalam silang sengketa yang memecah integrasi nasional atau keharmonian antara kaum.  Gejala pengeksploitasian sentimen perkauman harus diwaspadai demi memelihara  kerukunan hidup yang telah kita bina dengan susah payah.  Sikap dan tindakan racist  akan merosak  segala  yang telah kita usahakan selama ini.  Sikap  tidak waras seperti itulah yang secara metaforik diungkapkan dalam al-Qur'an:

                                       ولاتكونوا كالّتى نقضت غزلها من بعد قوّة أنكاثا،...

                      Janganlah kamu seperti  perempuan yang  mengurai kembali
                      tenunannya yang sudah siap menjadi terurai,  …(al-Nahl:92)  


Bangsa Malaysia:  Aspirasi dan Wawasan

Setelah 55 tahun merdeka,   kita masih bertanya apakah "bangsa Malaysia"  dalam erti yang sebenarnya sudah wujud secara nyata dan tuntas?    Memang ironis,  tetapi demikianlah kenyataannya,  selama berdekad-dekad kita hanya dapat berbicara tentang  warga negara Malaysia dan tentang perpaduan kebangsaan atau integrasi  nasional,  tetapi masih belum dapat dengan yakin dan pasti berbicara tentang  "bangsa Malaysia" sebagai suatu realiti.   Tentu ada alasannya apabila Rustam A.Sani,  seorang intelektual rakyat  menulis pada tahun 2006,  "Political events in Malaysia during the last few years have convinced me that Malaysia is just a state without nation  -or at least,  a state with several competing nations".  (Rustam A.Sani, 2008: 59).    Wawasan 2020  yang diungkapkan pada tahun 1991 meletakkan pembentukan bangsa Malaysia  di puncak urutan sembilan cabaran yang harus ditangani.   Hanya tinggal lapan tahun sahaja lagi untuk kita menyaksikan terlaksana atau tidaknya wawasan pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu,  "…sejahtera,  terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan,  membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut".


Harus diakui, membentuk bangsa memang tidak mudah, apa lagi dalam konteks Malaysia  dengan kemajmukan masyarakatnya yang berpangkal dari dasar "pecah-perintah"  era penjajahan Inggeris.     Latar sejarah yang sedemikian menjadikan integrasi nasional  yang dipupuk selepas kemerdekaan suatu yang sangat rapuh.  Hubungan antara kaum banyak diasaskan pada politik akomodasi dan kompromi.  Bagaimanapun pendekatan ini tidak selamanya dapat dilaksanakan dengan lancar kerana  politik tawar-menawar antara kaum itu selalu dilatari prasangka dan kecemburuan ras yang tebal.

Kesedaran tentang keperluan penggagasan faham berbangsa dan bernegara dalam konteks kemajmukan sebenarnya telahpun tumbuh seawal tahun-tahun 1940'an lagi.  Gabungan PUTERA-AMCJA dapat dirujuk sebagai wadah gerakan politik pelbagai kaum yang dengan serius menangani isu bangsa dan negara Malaya.  Gerakan   kerakyatan tersebut telah menghasilkan  Perlembagaan Rakyat (1947),  sebuah gagasan bersama yang mencerminkan  kesepakatan rakyat pelbagai kaum tentang  kehidupan berbangsa dan bernegara pada masa hadapan,  dan sekaligus penolakan kolektif terhadap perlembagaan Malayan Union tajaan penjajah.  Antara yang perlu dicatat sebagai pencapaian penting era tersebut ialah penggagasan nation of intent,  bangsa Malaya seluruhnya disebut Melayu.

Mengenai isu kebangsaan Melayu tersebut Dr.Burhanuddin al-Helmiy,  pemikir dan pejuang politik yang serius,  telah mengemukakan faham kebangsaan Melayu sebagai ideologi nasional,  ideologi pemersatu rakyat pelbagai kaum.   Sebagai ideologi nasional, faham kebangsaan Melayu dalam konteks ini tidak  bersifat eksklusif,  terbatas hanya untuk kelompok baka Melayu sahaja.  Sebaliknya, ia bersifat inklusif,  meliputi  golongan bukan dari baka Melayu yang telah putus hubungan dengan kebangsaan asal.        Ideologi nasional pembentuk kesatuan bangsa sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmiy itu ternyata memiliki kekuatan idea dan kekentalan semangat yang terumus dalam lima "rukun jiwa kebangsaan":  i. Ketuhanan Yang Maha Esa,  ii.  Kebangsaan,  iii.  Kedaulatan Rakyat,  iv.  Persaudaraan Sejagat, dan v.  Keadilan Masyarakat. (Kamaruddin Jaffar, 1980:113-121).

Sayang sekali,  pemikiran tentang gagasan bangsa yang terhasil dari perahan otak, kerjasama, toleransi  dan tentunya juga pengorbanan pelbagai golongan rakyat pejuang kemerdekaan itu tidak sempat teraktualisasi akibat tindakan supresif penjajah yang mempunyai agenda sendiri,  kepada siapa kemerdekaan akan diserahkan, dan bagaimana rupa masyarakat yang akan mereka tinggalkan.       Memang demikianlah kenyataannya,   Inggeris mewariskan masyarakat pelbagai kaum korban dasar pecah-perintah yang sangat  fragile, rapuh,  terpisah-pisah dan terkurung dalam kepompong budaya kaum masing-masing.   Pembentukan satu bangsa terasa suatu yang masih terlalu jauh.   Yang dapat dilakukan hanya sebatas mewujudkan perpaduan antara kaum yang disebut integrasi nasional  melalui beberapa dasar integratif seperti Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan kemudiannya Rukun Negara.     Dasar-dasar tersebut pada umumnya memang memiliki kekuatan integratif  yang boleh menjadi landasan proses pembinaan satu bangsa,  tetapi ketegasan  pelaksanaannya yang musim-musiman menjadikannya kurang  berkesan.  Dari semasa ke semasa  sikap dan perilaku racist atau perkauman sempit terus menggejala dan akhirnya memuncak pada peristiwa  tragik 13 Mei 1969.


Dasar-dasar Integratif:  Rukun Negara dan DEB

Tragedi berdarah konfik perkauman  tersebut  telah membangkitkan komitmen baru  untuk melakukan suatu societal engineering  menerusi mekanisme Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang disemangati Rukun Negara.        Perumusan Rukun Negara adalah untuk memberikan  set nilai dan  prinsip (Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan)   sebagai landasan usaha mencapai perpaduan masyarakat,  memelihara cara hidup demokratik,  mencipta masyarakat adil dalam erti kemakmuran negara dinikmati bersama secara adil dan saksama,  menjamin sikap liberal terhadap tradisi budaya masyarakat yang kaya dan pelbagai,  dan membina masyarakat progresif berasaskan sains dan teknologi moden.

DEB adalah dasar  ekonomi  yang digubah untuk mencapai objektif integrasi nasional menerusi pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, dan penyusunan semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum dengan peranan ekonomi.     Objektif sedemikian memang memiliki justifikasi faktual dan rasionalnya sendiri,  tetapi pelaksanaannya telah semakin mangaburkan objektif integrasi nasional apabila tindakan-tindakan affirmative DEB dipersepsikan sebagai dasar diskriminatif yang meng"anak emas"kan Melayu, dan sebaliknya  meng"anak tiri"kan kaum bukan Melayu.  Untuk mencapai sasaran peningkatan saham modal Melayu dari 2.5%  pada tahun 1970 kepada 30% pada tahun 1990, pemerintah telah mencipta kelompok kapitalis Melayu yang kaya raya.  Segelintir Melayu kroni mengaut kekayaan negara hingga menjadi kelompok super-kaya  atas nama masyarakat Melayu keseluruhannya yang rata-rata hanya menerima apa yang tersisa.  Kontroversi di sekitar DEB sebenarnya sudah timbul sejak  mula ia dilancarkan.   Seawal tahun 70'an,  kita yang ketika itu aktif dalam ABIM  sudah mengkritik pendekatan perkauman dan kapitalistik DEB.  Dalam mengakui keperluan membantu masyarakat Melayu,  bagi kita keutamaan harus diberikan kepada agenda membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum,  bukan mencipta kelas kapitalis Melayu.  Yang miskin bukan cuma Melayu,  di kalangan kaum Cina juga ada yang miskin, dan demikian juga kaum India.     Kritik dan protes  berterusan hingga ke hujung  tempoh DEB  yang  berakhir pada tahun 1990.   Pada era pasca DEB kita dapat menyaksikan kesan dan implikasi dasar tersebut  terutama terhadap matlamat perpaduan kaum.  Yang jelas DEB yang menyasarkan peningkatan  pemilikan saham modal Melayu menjadi 30%, hanya mampu mencapai 19%  (atau 22% menurut satu taksiran lain).    Sebahagian masyarakat Melayu memang begitu terobsesi dengan DEB sehingga beranggapan bahawa apa pun yang mereka capai adalah kerana DEB,  lalu mereka menuntut  penerusan dasar yang pro-Melayu itu.  Di pihak lain, timbul tuntutan dari kaum-kaum bukan Melayu agar kepentingan mereka yang selama ini diabaikan diberi perhatian khusus.  Sementara itu apa jua ketidakpuasan kaum bukan Melayu yang berkaitan dengan DEB  ditanggapi oleh sebahagian masyarakat Melayu sebagai gugatan terhadap  kepentingan mereka.  Ternyata DEB tidak membantu peningkatan perpaduan nasional.

Salah satu kesan menyolok dari DEB ialah peningkatan tahap ketidaksamaan (inequality) ekonomi  baik di kalangan sesama kaum Melayu mahupun di kalangan kaum-kaum lain.  Jurang di antara golongan the have – the have not – the have a lot  semakin luas.   Kemiskinan tidak terbasmi,  sementara yang  kaya, termasuk kelompok orang kaya baru tajaan DEB terus menimbun kekayaan tanpa memperhitungkan caranya,  bermoral atau tidak, dan tanpa kepedulian terhadap masyarakat awam bangsanya.   Sementara itu dasar ekonomi ini juga dilihat sebagai biang keladi mewabaknya pelbagai  gejala  fasad   -   kronisme, nepotisme,  rasuah, politik wang, pembaziran dan sebagainya.   Gejala  yang tampaknya  sudah tidak terkawal inilah yang menimbulkan protes   pelbagai pihak,  Melayu dan bukan Melayu.

Demikianlah realiti pasca-DEB yang meninggalkan tanda tanya besar tentang   sejauh mana  dasar ekonomi tersebut dapat merealisasikan matlamat Rukun Negara,  "Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya,  memelihara satu cara hidup demokratik,  mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama,  …"    Perumusan Rukun Negara adalah usaha penting  ke arah pembinaan bangsa yang terintegrasi dalam perkongsian prinsip dan nilai hidup.   Penghayatan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menjelmakan bangsa yang religius  dan tamadun  berketuhanan yang segala aspeknya  -  politik, ekonomi dan sosial  -  adalah faith based.  Prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara  seharusnya dapat membina bangsa yang terpadu di bawah naungan  raja dalam pengertian al-Imam al-`adil,  dan bersatu dalam baldatun tayyibah dengan  pengertian negara yang berkeadilan  dan berkebajikan.   Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang pula seharusnya dapat membina  bangsa yang tertib, berdisiplin dan bersatu dalam menegakkan keadilan rule of law;  sementara prinsip Kesopanan dan Kesusilaan seharusnya dapat membina bangsa beretika, berakhlak mulia,  terpadu dalam semangat saling hormat dan saling menyayangi.

Rukun Negara dengan semangat integratifnya yang sedemikian bukan sahaja tidak dimasyarakatkan secara berkesan, malah seringkali pula dilanggar dan diselewengkan.   Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan   tidak diterjemahkan secara konsisten ke dalam dasar dan amalan hidup berbangsa dan bernegara. Kita belum benar-benar bebas dari pesona model pembangunan sekular Barat yang membina tamadun tanpa Tuhan (a civilization without God).   Program-program berunsur maksiat dan amalan yang bertentangan dengan nilai-nilai ketuhanan terus berleluasa tanpa kawalan yang bererti.   Prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara seringkali diselewengkan menjadi kesetiaan kepada parti pemerintah.   Prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang   kehilangan erti hakikinya akibat keruntuhan institusi kehakiman dan kepolisan.   Prinsip kesopanan dan kesusilaan pula semakin sering dicabul oleh amalan fitnah, caci-maki, politik samseng dan pelbagai bentuk kebiadaban lainnya. (bersambung)

No comments:

Post a Comment