Monday, 24 September 2012

Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan


PEMBINAAN BANGSA: 
KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN
(Bahagian 3)
Siddiq Fadzil




Pembinaan Bangsa:  Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan

Pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan formula kepelbagaian dalam kesatuan.  Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik,  sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.   Bangsa tidak dapat dibina menerusi formula melting pot atau kawah besar peleburan.  Tidak ada golongan yang rela jati dirinya dilebur.   Kebinekaan  atau keragaman budaya tidak menjadi masalah,  andainya ia diletakkan dalam bingkai keekaan atau kesatuan.   Formula kepelbagaian dalam kesatuan adalah selaras dan serasi dengan fitrah dan sunnatu 'Lah.  Tema inilah yang dihuraikan dengan cukup menarik oleh Dr.Muhammad `Imarah dalam bukunya, al-Islam wa al-Ta`addudiyyah:  al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fi Itar al-Wihdah (Islam dan Pluralisme:  Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan).  Segala kewujudan yang kita saksikan pada alam dan kehidupan semuanya memancarkan hakikat kepelbagaian dalam kesatuan    --  keesaan Pencipta dengan kepelbagaian makhluk ciptaan-Nya;  kesatuan keinsanan dengan kepelbagaian bangsa, warna dan bahasanya;  kesatuan agama Allah dengan kepelbagaian syari`atnya;  kesatuan syari`at dengan kepelbagaian  fiqh, mazhab dan ijtihadnya. 

Fitrah sunnatu 'Llah berupa kepelbagaian  dalam bingkai kesatuan itulah yang diaplikasikan oleh Rasulullah s.`a.w. dalam pembinaan ummah negara Madinah sebagaimana yang tercermin dalam perlembagaan ulung Sahifah Madinah,  sebuah perlembagaan yang dilatari kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya.   Lewat Sahifah tersebut  Rasulullah s.`a.w.  telah membentuk ummah:  ummah diniyyah (umat keagamaan)  dan ummah siyasiyyah (umat politik).   Ummah diniyyah bersifat  eksklusif  dan terbatas hanya untuk kaum Muslimin (annahum ummatun wahidatun min duni 'n-nas), sementara ummah siyasiyyah bersifat inklusif meliputi kaum Muslimin dan orang Yahudi  (wa anna Yahuda Bani `Awf ummatun ma`a 'l-Mu'minin).   Kata kunci dalam ungkapan pembentukan  ummah politik ini ialah kata ma`a (bersama) iaitu orang Yahudi bersama kaum Muslimin membentuk satu umat (umat Madinah).  Ungkapan ma`a  al-Muslimin (bersama kaum Muslimin), bukan min al-Muslimin (sebahagian daripada kaum Muslimin),  bererti bahawa masyarakat Yahudi tidak menjadi bahagian daripada umat (keagamaan) Islam,  tetapi  menjadi bahagian daripada umat (politik) Madinah  bersama dengan umat Islam. 


Peruntukan dalam Sahifah tersebut  jelas memberikan status kewarganegaraan penuh  (al-muwatanah al-kamilah)  kepada masyarakat Yahudi.   Sebagai warga umat dan negara Madinah status, hak dan tanggungjawab mereka sama dengan umat Islam.  Mereka bukan warganegara kelas dua.    Persamaan  hak dan tanggungjawab tersebut dicatat dengan ungkapan  li al-Yahud dinuhum wa li al-Muslimin dinuhum (Yahudi dengan agama mereka, dan kaum Mukminin dengan agama mereka).  Ertinyanya perlembagaan ini memberikan hak kebebasan beragama dan membenarkan para penganut pelabagai agama mengamalkan agama masing-masing dan mengekalkan jati diri keagamaan masing-masing.  Persamaan tanggungjawab pula dicatat dengan ungkapan wa anna al-Yahuda yunfiquna ma`a al-Mu'minin madamu muharibin (masyarakat Yahudi dan kaum Mukminin sama-sama membiayai  peperangan apabila negara Madinah diserang).  Hak dan tanggungjawab yang sama juga diberikan kepada kabilah-kabilah Arab yang ikut menjadi warga Sahifah Madinah.   Persamaan hak dan tanggungjawab kewarganegaraan antara Muslim dan bukan-Muslim itulah yang kemudiannya terumus dalam prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat,   dan memikul tanggungjawab yang sama kita pikul)   Demikianlah antara yang tercermin dalam Sahifah Madinah,  sebuah perlembagaan Islami yang disemangati kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu` fi itar al-wihdah).


Dhimmiy atau Warganegara?

Terdapat anggapan  bahawa Sahifah Madinah tidak dapat dijadikan model sebuah negara yang moden, lengkap dan terperinci.  Memang perlembagaan nabawi tersebut tidak digubal untuk tujuan itu.  Bagaimanapun ia tetap relevan sebagai contoh penterjemahan prinsip dan nilai kenegaraan al-Qur'an ke dalam bentuk sebuah perlembagaan sesuai dengan realiti zaman dan lingkungan.    Yang perlu dilihat bukan rinciannya,  tetapi prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasarnya.  Dengan demikian   Sahifah Madinah tetap relevan sebagai acuan menangani masalah pluralisme  masyarakat,  termasuk isu persamaan status, hak dan tanggungjawab kewarganeraan antara Muslim dan bukan-Muslim.    Perlembagaan nabawi itulah yang menjadi rujukan Dr.Fathi Osman ketika membahaskan isu tanggungjawab warga bukan-Muslim dalam pertahanan negara.  Katanya,  "The military service may have some religious character for Muslims, but it meanwhile signifies national defense for nonMuslims. NonMuslims were allowed to share with  Muslims the responsibility of defending Medina in the Prophet's  Constitutional document which he drew up just after his migration  there.   This did not particularly work, but it cannot affect the validity of the principle."  (Fathi Osman, 2002:153).    Tentunya dari semangat Sahifah Madinah jugalah beliau mendapat keberanian mendukung prinsip  persamaan penuh (full equality) Muslim dengan bukan-Muslim dari segi hak dan tanggungjawab,

I do not think Muslims have  any legal problem  with regards to full  equality with  non-Muslims  in rights and  obligations. What emerged as the status of "dhimmis" (non-Muslims within the Muslim state) was historically developed rather than built in  the  permanent  laws of  the  Qur'an and  Sunnah.    Many scholars,   including the Westerners,   admit that the status of non-Muslims  in the  Muslim  world  during  the  Middle Ages, was better  than  what the  Jews or other religious  minorities received   in  the  Christian  countries  in  those   ages. The important   question is:   Are Muslims now ready to go further to secure and sanction  full  equality for  the  non-Muslim with them in a contemporary Islamic state?  When reservations and "ifs"  and  "buts"  are  raised,   how  can Muslims  expect  that non-Muslims   would  be  convinced  of,   or be  loyal  to,   the concept  of  Islamic  state,    while they are offered full equality without reservations in a secular democracy?    (Fathi Osman, 2002:152).
    

Perbincangan tentang  kewarganegaraan orang bukan-Islam selalu dikaitkan dengan status dhimmiy yang terkesan tidak disenangi oleh masyarakat bukan-Islam.   Sebenarnya telah ramai ulama dan sarjana Muslim yang menganggap pengkategorian tersebut sudah tidak relevan lagi.   Status  dhimmiy pada hakikatnya tidak membawa pengertian negatif  warganegara kelas dua.  Ia lebih membawa makna jaminan umat Islam untuk melindungi warga bukan-Islam dari sebarang bentuk penindasan.  Bagaimanapun dari segi hukum fiqh tidak ada halangan menggugurkan istilah dhimmiyyun untuk digantikan dengan istilah muwatinun.  Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa para fuqaha' silam  umumnya menganggap kaum dhimmiy sebagai ahl al-dar (warga negara Islam)  yang bererti mereka bukan orang asing.  Jika demikian mereka sebenarnya adalah ahl al-watan dan seharusnya disebut muwatinun sama seperti warga Muslim.     Seterusnya al-Qaradawiy menyarankan agar istilah-istilah tertentu dalam sejarah masa lalu seperti dhimmah dan ahl dhimmah dipadam sahaja dari kamus masa kini kerana tidak lagi dapat diterima oleh masyarakat bukan Islam.  Beliau berhujah bahawa Khalifah `Umar ibn al-Khattab r.`a. telah bersetuju memadam istilah yang lebih penting iaitu jizyah apabila kaum Nasrani Bani Taghlib meminta agar ia digantikan dengan istilah sadaqah. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 2010:40-42).   Dari segi realitinya status dhimmiy sudah tidak ada sejak abad 19 (zaman Turki `Uthmani).  Mengenai fakta ini Al Ghunaimi menyebut,  "When sultan Abdel Majid issued the Khatti-Sherif of Gulhane, in 1839, proclaiming the principal of equality between the Muslims and the Christians, the classical legal status of the dhimmis, presumably, was to disappear."    (Al Ghunaimi, Mohammad Talaat, 1968:213).  


Pendidikan Wahana Integrasi Bangsa

Bagi rantau ini kepelbagaian dan kemajmukan sudah menjadi bahagian daripada sejarah dan kebudayaannya.   Hampir semua agama dan tamadun besar dunia  --   Islam, Kristian, Hinduisme, Buddhisme,  Konfusianisme    --   telah hadir dan hidup berdampingan dengan harmonis selama berabad-abad.    Keunikan  rantau ini  sebagai daerah terkaya dengan pengalaman dialog ketamadunan memberikan harapan dan optimisme kemampunan membina  kesatuan bangsa berlandaskan kalimatin sawa' dalam pengertian perkongsian suatu set nilai yang disepakati.

Pembinaan bangsa berasaskan nilai-nilai bersama sudah pasti memerlukan mekanisme yang berkesan.  Untuk itu pendidikan merupakan wahana nation building yang terbaik.  Justeru, esensi pendidikan  tidak lain adalah the tansmission of values atau pemindahan nilai dari generasi ke generas.  Nilai-nilai yang diwariskan itulah yang membentuk watak bangsa.  Dalam konteks negara kita,  Falsafah Pendidikan Kebangsaan  adalah  pencitraan watak bangsa yang diaspirasikan,  "…rakyat  Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."    Yang selalu dipermasalahkan ialah soal sejauh mana kepedulian kita terhadap falsafah tersebut?    Apakah seluruh komponen pendidikan  --   kurikum, buku teks, pengajaran dan pembelajarannya mendukung matlamat pembinaan watak bangsa seperti yang dicitrakan?   Yang jelas obsesi pendidikan kita lebih tertumpu pada pencapaian prestasi akademik dan pembinaan kemahiran,  tanpa perhatian yang secukupnya pada aspek pembinaan watak.   Seorang penuntut yang membaca falsafah pendidikan tersebut akan berasa dirinya terkeluar dari kelompok manusia yang bercitra seperti itu.   Baginya manusia yang dicitrakan dalam Falsafah Pendidikan Negara itu adalah sejenis makhluk asing.


Mewaspadai Gejala Disintegrasi

Fenomena  mutakhir dalam sejarah perkembangan masyarakat majmuk di Malaysia mengisyaratkan  tumbuhnya kesedaran tentang  idealisme dan aspirasi bersama yang merentasi persempadanan kaum.   Mereka mulai bersatu memperjuangkan nilai-nilai  kemanusiaan, keadilan,  demokrasi dan integriti.  Mereka bersatu melawan gejala kebejatan:  kezaliman,  diskriminasi,   rasuah, kronisme, pembaziran, penipuan dan kecurangan.   Sebuah parti politik pelbagai kaum muncul  sebagai suatu kekuatan baru yang tidak boleh diremehkan.  Segala perkembangan tersebut memang membawa erti dan implikasi besar terhadap eksperimen menangani pluralisme di negara ini.  Namun cabaran-cabaran yang harus dihadapi  tidak sedikit dan tidak kecil.   Masa depan eksperimen penting ini akan banyak bergantung kepada kebijaksanaan dan kewibawaan para pemimpinnya dalam membina wawasan dan gagasan nasional  yang kuat, realistik dan meyakinkan.   Kegagalan memupuk persefahaman, toleransi dan pendewasaan politik di kalangan warga  parti-parti yang berkaitan akan menjadikan fenomena ini suatu perkongsian rapuh yang hanya didasari perkiraan-perkiraan politik pragmatik semata-mata.

Demikian perkembangan yang berlaku di satu pihak,  sementara di pihak lain kita menyaksikan usaha memperlihatkan komitmen membina kesatuan bangsa.  Di mana-mana ada slogan, simbol  dan retorik serba satu.   Tetapi pada masa yang sama  timbul pula gejala disintegrasi bangsa:  membangkitkan semangat perkauman,  menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan masyarakat tertentu,  mengungkit-ungkit tragedi ngeri 13 Mei,  mengusung "fatwa" sembrono  menghukum segolongan rakyat sebagai kafir harbiy, membiarkan, kalaupun tidak menggalakkan,  tindakan-tindakan liar dan provokatif,  kekerasan,  keganasan dan kebiadaban.   Mudah-mudahan rakyat Malaysia cukup cerdas dan bijaksana menafsir dan menyikapi gejala baru:  politik pecah-perintah dan perintah memecah.

Semoga Allah berkenan mengurniakan kita petunjuk dan kekuatan  menjayakan eksperimen besar pembentukan bangsa berasaskan acuan Perlembagaan Madani:  kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

No comments:

Post a Comment