Monday, 24 September 2012

Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan


PEMBINAAN BANGSA: 
KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN
(Bahagian 3)
Siddiq Fadzil




Pembinaan Bangsa:  Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan

Pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan formula kepelbagaian dalam kesatuan.  Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik,  sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.   Bangsa tidak dapat dibina menerusi formula melting pot atau kawah besar peleburan.  Tidak ada golongan yang rela jati dirinya dilebur.   Kebinekaan  atau keragaman budaya tidak menjadi masalah,  andainya ia diletakkan dalam bingkai keekaan atau kesatuan.   Formula kepelbagaian dalam kesatuan adalah selaras dan serasi dengan fitrah dan sunnatu 'Lah.  Tema inilah yang dihuraikan dengan cukup menarik oleh Dr.Muhammad `Imarah dalam bukunya, al-Islam wa al-Ta`addudiyyah:  al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fi Itar al-Wihdah (Islam dan Pluralisme:  Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan).  Segala kewujudan yang kita saksikan pada alam dan kehidupan semuanya memancarkan hakikat kepelbagaian dalam kesatuan    --  keesaan Pencipta dengan kepelbagaian makhluk ciptaan-Nya;  kesatuan keinsanan dengan kepelbagaian bangsa, warna dan bahasanya;  kesatuan agama Allah dengan kepelbagaian syari`atnya;  kesatuan syari`at dengan kepelbagaian  fiqh, mazhab dan ijtihadnya. 

Fitrah sunnatu 'Llah berupa kepelbagaian  dalam bingkai kesatuan itulah yang diaplikasikan oleh Rasulullah s.`a.w. dalam pembinaan ummah negara Madinah sebagaimana yang tercermin dalam perlembagaan ulung Sahifah Madinah,  sebuah perlembagaan yang dilatari kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya.   Lewat Sahifah tersebut  Rasulullah s.`a.w.  telah membentuk ummah:  ummah diniyyah (umat keagamaan)  dan ummah siyasiyyah (umat politik).   Ummah diniyyah bersifat  eksklusif  dan terbatas hanya untuk kaum Muslimin (annahum ummatun wahidatun min duni 'n-nas), sementara ummah siyasiyyah bersifat inklusif meliputi kaum Muslimin dan orang Yahudi  (wa anna Yahuda Bani `Awf ummatun ma`a 'l-Mu'minin).   Kata kunci dalam ungkapan pembentukan  ummah politik ini ialah kata ma`a (bersama) iaitu orang Yahudi bersama kaum Muslimin membentuk satu umat (umat Madinah).  Ungkapan ma`a  al-Muslimin (bersama kaum Muslimin), bukan min al-Muslimin (sebahagian daripada kaum Muslimin),  bererti bahawa masyarakat Yahudi tidak menjadi bahagian daripada umat (keagamaan) Islam,  tetapi  menjadi bahagian daripada umat (politik) Madinah  bersama dengan umat Islam. 

Saturday, 22 September 2012

Perpaduan Ummah & Mentaati Uli 'l-Amri


PEMBINAAN BANGSA: 
KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN
(Bahagian 2) 

Siddiq Fadzil

Perpaduan Ummah dan isu Mentaati Uli 'l-Amri

Akhir-akhir ini telah timbul wacana di sekitar isu kepatuhan kepada uli 'l-amri.  Ramai yang melihat adanya motif tersirat dan agenda terselubung di sebalik  tema yang pada zahirnya ingin membawa umat bersatu dengan mematuhi uli 'l-amri.    Terlepas dari persoalan motif apa  dan untuk kepentingan siapa,  kita perlu menyikapi isu ta`at al-umara' secara ilmiah dan jujur.  Tidak siapa pun yang dapat menafikan perlunya kepatuhan kepada pemerintah demi menghindari disintegrasi bangsa.  Namun kepatuhan dalam konteks ini harus diletakkan dalam satu pakej bersama komponen-komponen lainnya,  terutama  keadilan pemerintah dan syura antara pemerintah dan rakyat.   Apabila segala persyaratan telah dipenuhi,  agama pun mewajibkan ta`at al-umara'   (mentaati pemerintah)  seperti yang di-nass-kan dalam ayat 59 surah al-Nisa':

                          يآأيّهاالذين آمنوا أطيعواالله وأطيعواالرسول وأولى الأمرمنكم

Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah,                                  taatilah  Rasul  dan  uli 'l-amri  (penguasa)   dari  kalangan kamu.

Dalam kaitan ini perlu ditegaskan bahawa ketaatan kepada pemerintah bukan ketaatan yang mutlak.  Ia adalah taat yang bersyarat:  i.  Pemerintah melaksanakan syari`at, ii.  Pemerintah menegakkan keadilan terhadap rakyat, dan iii.  Pemerintah tidak menganjurkan  rakyat melakukan maksiat.

Ayat al-Nisa' di atas  menyebut kata taat dua kali, pertama pada Allah dan diulang pada Rasul.  Ini menunjukkan ketaatan kepada Rasul adalah mutlak, semutlak ketaatan kepada Allah.  Tetapi kata taat (ati`u) tidak diulangi ketika menyebut uli 'l-amri.  Ini mengisyaratkan ada di antara mereka yang tidak wajib dipatuhi sebagaimana yang dijelaskan pada ayat pelengkapnya,

                                          فإن تنازعتم فى شيء فردوه إلى الله والرسول

Jika kamu berselisih tentang sesuatu, rujukkanlah kepada Allah (al-Qur'an)  dan Rasul  (al-Sunnah).

Tuesday, 18 September 2012

Bangsa Malaysia: Antara Aspirasi & Realiti


PEMBINAAN BANGSA: 
KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN
(Bahagian 1)

Siddiq Fadzil




(Amanat Pimpinan 2012,  Muktamar Nasional Keenam,
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia –WADAH,
15 September 2012/ 28 Syawal 1433)

Kali ini kita bermuktamar di tengah kehangatan iklim politik menjelang PRU13. Aturan main dalam sistem demokrasi berpilihan raya memang membolehkan kehadiran pelbagai parti dan persaingan antara parti dalam menawarkan khidmat yang lebih baik untuk rakyat.   Parti memang pelbagai, programnya juga beragam,  tetapi  semuanya bersatu dalam komitmen menjayakan prinsip dan nilai demokrasi yang bertunjang pada kuasa dan daulat rakyat.  Dalam masyarakat majmuk yang masih rapuh,   rakyat harus cukup cerdas, dewasa dan bijaksana menyikapi pelbagai kerenah perpolitikan antara parti agar tidak terseret ke  dalam silang sengketa yang memecah integrasi nasional atau keharmonian antara kaum.  Gejala pengeksploitasian sentimen perkauman harus diwaspadai demi memelihara  kerukunan hidup yang telah kita bina dengan susah payah.  Sikap dan tindakan racist  akan merosak  segala  yang telah kita usahakan selama ini.  Sikap  tidak waras seperti itulah yang secara metaforik diungkapkan dalam al-Qur'an:

                                       ولاتكونوا كالّتى نقضت غزلها من بعد قوّة أنكاثا،...

                      Janganlah kamu seperti  perempuan yang  mengurai kembali
                      tenunannya yang sudah siap menjadi terurai,  …(al-Nahl:92)  


Bangsa Malaysia:  Aspirasi dan Wawasan

Setelah 55 tahun merdeka,   kita masih bertanya apakah "bangsa Malaysia"  dalam erti yang sebenarnya sudah wujud secara nyata dan tuntas?    Memang ironis,  tetapi demikianlah kenyataannya,  selama berdekad-dekad kita hanya dapat berbicara tentang  warga negara Malaysia dan tentang perpaduan kebangsaan atau integrasi  nasional,  tetapi masih belum dapat dengan yakin dan pasti berbicara tentang  "bangsa Malaysia" sebagai suatu realiti.   Tentu ada alasannya apabila Rustam A.Sani,  seorang intelektual rakyat  menulis pada tahun 2006,  "Political events in Malaysia during the last few years have convinced me that Malaysia is just a state without nation  -or at least,  a state with several competing nations".  (Rustam A.Sani, 2008: 59).    Wawasan 2020  yang diungkapkan pada tahun 1991 meletakkan pembentukan bangsa Malaysia  di puncak urutan sembilan cabaran yang harus ditangani.   Hanya tinggal lapan tahun sahaja lagi untuk kita menyaksikan terlaksana atau tidaknya wawasan pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu,  "…sejahtera,  terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan,  membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut".

Wednesday, 12 September 2012

Krisis Pemaknaan Pendidikan


KRISIS PEMAKNAAN PENDIDIKAN:
MENANGANI GEJALA EXCELLENCE WITHOUT SOUL
Oleh: Dr Siddiq Fadzil


Kekalutan bersaing mencapai kecemerlangan akademik dan obsesi terhadap permintaan pasaran kerja telah mengakibatkan sistem pendidikan kita kehilangan visi, lalu terjebak dalam sindrom shorttermism sehingga mengabaikan  misi asasi pembinaan dan pengutuhan insan. Yang dipentingkan bukan lagi apa yang perlu untuk memperbaiki kemanusiaan atau insaniyyah anak didik, tetapi yang lebih dipentingkan adalah memenuhi permintaan semerta atau immediate demand mereka. Mungkin ungkapan judul buku Harry R. Lewis tentang bencana kependidikan yang sedang menimpa Universiti Harvard, Excellence Without a Soul (Kecemerlangan Tanpa, Roh), tepat untuk menggambarkan gelala global - krisis pendidikan yang kehilangan esensi, erti hakiki dan misi asasinya. Justeru, yang didedahkan oleh Harry R. Lewis, Profesor yang pernah menjadi Dekan di Harvard itu, pada hakikainya bukan hanya kepincangan Harvard, tetapi kepincangan universiti-universiti di seluruh dunia umumnya. Sejak terbitnya buku Excellence Without a Soul, Hairy R. Lewis banyak memenuhi undangan universiti-universiti di pelbagai rantau dunia, dari Hong Kong hingga ke New Haven. Tema pembicaraannya tidak lain adalah tentang Universiti Harvard yang kehilangan roh atau without a soul itu. Tetapi yang dirasakan oleh para professor dan khalayak pendengarnya bukan hanya sebuah kisah tragedi kependidikan di Harvard. Bagi mereka Harry R.Lewis sesungguhnya telah berbicara tentang hakikat universiti mereka sendiri dengan sangat tepat dan sekaligus sangat menakutkan, “described their situation with frightening accuracy”.

Gejala Kehilangan Arah

Memang demikianlah hakikatnya, gejala aimlessness, bencana kehilangan arah telah mengglobal. Apa yang terjadi kepada Harvard adalah cerminan apa yang terjadi kepada IPT dunia. Justeru, Harvard adalah university tertua, terkaya dan ternama yang selalu dilihat sebagai model terunggul universiti kelas dunia. Benar, institusi-institusi pengajian tinggi umumnya berjaya memberikan pengetahuan dan kemahiran, tetapi ternyata gagal melaksanakan misi asasi pendidikan - pengutuhan dan penyempurnaan insan. Dalam konteks Harvard, Harry R.Lewis menyatakan bahawa mereka telah melupakan “the fundamental job of undergraduate education, tanggungjawab dasar terhadap anak didik”, termasuk, “...to help them grow up, to learn who they are, to search for a larger purpose for their lives, and to leave college as better human beings.” Pidato-pidato pimpinan universiti umumnya lebih banyak berkisar pada masalah-masalah dunia, kepentingan ilmu, kerja kuat dan kejayaan; tetapi sedikit sekali menyentuh persoalan tentang kekuatan peribadi, integriti, kasih-sayang, kerjasama dan bagaimana untuk hidup dalam dunia yang lebih baik. Semakin besar universitinya, semakin sengit pula ia bersaing meraih kemenangan di kancah pasaran dan di lahan perebutan dana penyelidikan, tetapi ketika itu jugalah mengurangnya pembicaraan yang serius tentang pembinaan watak pelajar, “...about their development into people of good character who will know that they owe something to society for the privileged education they have received.”

Thursday, 30 August 2012

55 Tahun Merdeka


MENSYUKURI NIKMAT,
MENGINSAFI AMANAT.
(Dr Siddiq Fadzil)



Bagi orang yang memahami makna dan harga kemerdekaan, 3l Ogos adalah tarikh istimewa. Justeru, pada hari itulah, lima puluh tahun yang  lalu (1957) tercapainya cita- cita yang telah diperjuangkan turun-temurun sejak entah berapa keturunan. Sejarah merdeka bukan baru bermula pada pertengahan abad 20. Perjuangan heroik melawan penjajah sudah bermula seawal abad ke-16M dengan perang Melaka-Portugis. Sejak itulah darah dan air mata perjuangan tidak pernah berhenti mengalir. Tidak siapa berdaya menaksir berapa kawah darah yang tumpah dan berapa telaga air mata derita yang mengalir demi mempertahankan atau mendapatkan kemerdekaan. Harga kemerdekaan memang mahal tak ternilai, dan kerana itu harus dihargai secara yang benar-benar bermakna. Bagi umat beragama kemerdekaan adalah nikmat kurnia Tuhan lang wajib disyukuri dengan cara yang diredhai dan disenangi Penganugerahnya. Mensyukuri nikmat sebagaimana yang diajar oleh agama ialah menggunakannva dengan cara yang benar, dan tidak menyalahgunakannya. Dalam konteks nikmat kemerdekaan ia harus disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan setulennya. Mudah-mudahan roh para pejuang yang gugur, bahagia dalam peristirehatan apabila pengorbanan dan perjuangan mereka menghasilkan umat merdeka yang benar-benar merdeka. Dengan semangat syukur nikmat sempena berlalunya setengah abad kemerdekaan, kita bermuhasabah, menilai diri, sudah sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa telah menepati makna merdeka.

Islam dan Makna Merdeka

Islam pada hakikatnya adalah agama pembebasan. Mesej liberatif-emansipatif agama Ilahi ini jelas terungkap dalam misi utamanya ikhraju ‘n-nasi mina ‘z-zulumat ila ‘nur. Dengan kata lain, risalah Islamiah dapat dirumuskan sebagai misi pembebasan dan pencerahan  (tahririy-tanwiriy).  Kerana itu kehadiran Islam dan gerakan pendakwahannya di mana-mana selalu dirasakan sebagai a liberating and enlightening force. Demikianlah citra agama ini di mata kaum peribumi rantau Melayu ketika berlakunya transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan dalam gerakan pengislaman yang memesat pada abad ke-13-16M. Ternyata pembebasan dalam konteks misi keislaman mencakupi bidang yang cukup luas, meliputi pembebasan daripada segala bentuk pembelengguan termasuk kemerdekaan daripada penjajahan. Memang al-zulumat adalah kata yang jami’ dan inklusif meliputi segala rupa bencana kemanusiaan: kesesatan, kebingungan, kejahilan, kebodohan, kebekuan, kemunduran, kebejatan, kegilaan, kezaliman, kecurangan dan lain-lain sejenisnya. Umat Islam harus dibebaskan dan dimerdekakan daripada segala bencana tersebut. Pembebasan (tahrir) dalam konteks misi pengislaman selamanya tidak terpisah daripada pencerahan (tanwir). Apalah erti bebas daripada suatu kegelapan, jika kemudiannya dijerumuskan ke dalam kegelapan yang lain.

Tuesday, 14 August 2012

Ulasan Buku


Yusuf al-Qaradhawi Dan Kebangkitan Rakyat
Oleh: Amidi Abd Manan, Presiden ABIM



Membaca  buku Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi yang  baru diterjemahkan serta diterbitkan baru-baru ini, menggamit kenangan ketika memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dahulu. Peristiwa berlaku sekitar tahun 1996, sebagai pemangku presiden, saya mewakili PKPIM, berbuka puasa dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang ketika itu Menterinya adalah Tan Sri Muhyidin Yasin.

Ketika  dalam majlis berkenaan, Sheikh Yusof al-Qaradhawi  telah ditanyakan mengenai jurang generasi (generation gap), antara yang muda dan yang tua dalam sebuah gerakan Islam. Beliau menjawab kedua-dua generasi ini amat penting dalam memastikan kejayaan sebuah perjuangan. Beliau mengungkapkan "hamasatu al-syabab wa hikmatu al-syuyukh" amat diperlukan dalam satu formula perjuangan yang ideal. Ia adalah gabungan yang diperlukan bagi menghasilkan kejayaan yang dinanti ummah.

Thursday, 2 August 2012

Tazkirah Ramadhan


KEKUATAN TRANSFORMATIF 
SEBUAH KITAB SUCI

Oleh: Dr Siddiq Fadzil


Ramadhan dengan segala kelainan dan kepelbagaian amal intensifnya telah mencetuskan suatu momentum perubahan. Momentum ini seharusnya dimanfaatkan untuk merealisasikan self-improvement yang berterusan. Untuk itu kita memerlukan kekuatan motivasi yang berkelanjutan. Andainya memang itu yang kita cari, satu-satunya sumber pencetus perubahan bertenaga mukjizat, tidak lain adalah Kitabu 'Llah. Sebagai mukjizat agung al-Qu'ran memang cukup menakjubkan. Kemukjizatannya meliputi pelbagai dimensi termasuk dimensi saintifik, kebahasaan dan kesasteraan. Tetapi yang lebih penting daripada semuanya ialah kekuatan daya rubahnya, kekuatan transformatif atau qudrah taghyiriyyahnya. Khalayak pembaca yang serius akan terkesan dengan ayat-ayatnya dan seterusnya mengalami perubahan yang mendasar pada dirinya, dan dari segala seginya - worldviewnya, sistem nilainya, pemikirannya dan seluruh watak serta perilakunya. Jelmaan paling sempurna transformasi Qur'ani adalah Nabi s.'a.w. sendiri, Muhammad penyandang gelar al-Amin yang mendapat pengiktirafan dari langit sebagai berperibadi khuluqin 'azim (pekerti agung), peribadi terjemahan nilai-nilai Qur'ani (kana khuluquhu ‘l-Qur’an). Kekuatan impak dan daya rubah al-Qur'an diberikan pemerian secara simbolik dalam surah al-Hashr:21. 

Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an kepada sebuah gunung. Pasti kamu akan melihatnya terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir.